Syaaban membawa maksud berpecah-pecah. Ada yang berpendapat,
ini kerana pada ketika itu, bangsa Quraisy terpaksa berpecah-pecah kepada
beberapa kumpulan untuk mencari air di padang pasir. Ada pula yang berpendapat
ia membawa maksud pemisah kerana Syaaban adalah pemisah antara bulan Rejab dan
Ramadhan.
Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:
“Tahukah kamu sekelian mengapa dinamakan dengan bulan Syaaban?” Para sahabat menjawab, “Allah dan RasulNya lebih mengetahui” Rasulullah s.a.w menjawab, “Kerana dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali.” (Dipetik dari kitab Raudatul Ulama).
Bulan Syaaban merupakan bulan kedua selepas Rejab yang penuh
dengan keberkatan. Bulan Syaaban dianggap merupakan bulan yang baik untuk kita
meminta keampunan daripada Allah, serta memperbaiki diri dari segala macam
cela. Dan bersedia untuk bulan Ramadhan yang menyuci dan membersihkan jiwa
kita.
Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:
“Keutamaan bulan Syaaban ke atas bulan-bulan yang lain adalah seperti keutamaan aku di atas semua nabi-nabi yang lain, sedangkan keutamaan bulan Ramadan ke atas semua bulan yang lain adalah seperti keutamaan Allah Taala ke atas makhlukNya.”
NISFU SYAABAN
Di dalam bulan Syaaban juga terdapat satu malam yang penuh
rahmat, iaitu Malam Nisfu Syaaban. Pada malam ke-15 bulan Syaaban ini, doa
menjadi sangat mustajab.
Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:
“Barangsiapa yang menghidupkan malam dua hari raya dan malam pertengahan bulan Syaaban, maka hatinya tidak mati biarpun semua hati mati ketika itu.”
Umat Islam disarankan untuk menghidupkan malam ini dengan
membaca surah Yaasin sebanyak 3 kali selepas solat maghrib.
Bacaan pertama
diniatkan mohon panjangkan umur dalam mentaati Allah, kemudian dibaca
doa-doanya.
Bacaan keduanya dengan diniatkan diluaskan Allah
rezekinya yang halal dan diberkati-Nya, kemudian lalu dibacakan doa-doanya.
Kemudian bacaan ketiga pula serta diniatkan minta ditetapkan
iman dan mati dalam iman, kemudian dibacakan doa-doanya.
Namun jangan lupa agar kita membaca dengan penuh tenang dan
tidak terkejar-kejar.
Pada malam Nisfu Syaaban, telah datang Jibril kepada
Rasulullah s.a.w lalu katanya:
“Angkat kepalamu kelangit, itulah malam yang dibukakan Allah padanya tiga ratus pintu rahmat dan diampunkan Allah sekalian orang yang tiada menyekutukan (syirik) dengan-Nya sesuatu, kecuali tukang nujum, kekal di dalam zina, kekal minum arak, durhaka terhadap ibubapa.” (Al-Hadis)
PUASA SUNAT DI BULAN SYAABAN
Pada bulan ini, digalakkan bagi kita untuk memperbanyak
Puasa Sunat. Rasulullah s.a.w sendiri lebih gemar berpuasa sunat pada bulan
Syaaban.
Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud:
“Sesiapa yang berpuasa 3 hari pada permulaan Syaaban, 3 hari pertengahannya dan 3 hari pada akhir Syaaban, maka Allah swt mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti beribadat tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka matinya seperti orang mati syahid.”
Sabda Rasullullah s.a.w yang bermaksud:
“Dinamakan Syaaban kerana padanya terdapat kebajikan yang amat banyak, dan puasa yang lebih afdal sesudah (selain) Ramadhan ialah puasa bulan Syaaban” (Al-Hadis)
1 hari berpuasa di bulan Syaaban akan mengharamkan tubuhnya
dari api neraka. Dia akan menjadi taulan nabi Yusof di dalam syurga, dan diberi
pahala seperti pahala Nabi Ayub dan Nabi Daud.
Sesiapa yang berpuasa sebulan pada bulan Syaaban,
dipermudahkan Allah kepadanya Sakaratulmaut, dilepaskan kegelapan dalam kubur,
dilepaskan daripada huru-hara Mungkar dan Nangkir, ditutup keaibannya di
akhirat nanti dan diwajibkan syurga baginya.
Sesiapa yang berpuasa pada awal Khamis di bulan Syaaban dan
akhir Khamis di dalam Syaaban, dimasukkannya dalam syurga. (Hadis Rasulullah
yang dipetik dari kitab al-Barokah)
DOA, ZIKIR DAN SELAWAT
Bulan ini juga kita digalakkan untuk membanyakkan doa, zikir
dan berselawat kepada Rasulullah s.a.w.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Barang siapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertakwa kepada Allah, taat kepadaNya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah swt akan mengampuni segala dosanya dan menyelamatkannya pada tahun tersebut dari segala macam bencana dan penyakit.” (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa’izhin)
BERTAUBAT
Sangat digalakkan untuk mempernyak bertaubat pada bulan ini.
Ini bagi memperbaiki diri dari segala cela, agar bersedia untuk bulan Ramadhan
yang menyuci dan membersihkan jiwa kita.
Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili Radiallahuanhu, dia
berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya:
“Manakala masuk bulan Syaaban, sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu.”
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Syaaban adalah bulanku, dan Ramadhan adalah bulan umatku. Syaaban ialah mengkifaratkan (menghapuskan) dosa dan Ramadhan ialah menyucikan dosa (jasmani rohani) (Al-Hadis)
Oleh itu, diharapkan agar kita dapat bersama-sama
memperbanyakkan amalan yang baik ini di bulan Syaaban. Banyak fadhilat dan
kelebihan yang dijanjikan oleh Allah kepada kita, insyaAllah :)
Wallahua'alam. Sekadar perkongsian.
pensil-tekan.blogspot.com
No comments:
Post a Comment
Assalamualaikum...
# Sebarang komen adalah amat dialu-alukan.
# Komen yang dihantar akan dibalas secepat mungkin.
# Terima kasih kerana sudi membaca di sini.
# Jangan lupa, datang lagi! =)