✎ Halaman ✎

18 July 2012

Bacaan Basmallah Dalam al-Fatihah Ketika Solat

Dengan nama Allah yang menjadikan segala makhluk sama ada di langit dan bumi, serta menjadikan ilmu pengetahuan terbentang luas bagi dicari dan dihayati makhluknya. Saya ingin membicarakan sedikit mengenai permasalahan yang berlaku dalam masyarakat kita kini iaitu masalah bacaan Basmallah di permulaan bacaan surah al-Fatihah ketika solat. Adakah ianya termasuk dalam bid’ah yang ditegah? Adakah jika seseorang membaca ‘Bismillah’ di permulaan al-Fatihah, akan terbatal solatnya, ataukah sebaliknya?

Gambar Hiasan

Di sini saya akan memberikan hujah-hujah yang telah dikaji dan diberikan oleh para mujtahid serta ilmuan Islam berkaitan bidang ini. Saya akan membawakan pendapat dari Imam kita yang empat iaitu Imam Hanafi, Imam Syafie, Imam Hanbali serta Imam Maliki. Ianya akan disertakan dengan dalil-dalil sama ada dari al-Quran dan as–Sunnah yang telah dijadikan hujah bagi keempat-empat Imam muktabar ini.

Amatlah diharapkan agar kita dapat menerima dan mengambil ilmu pengetahuan ini secara profesional dan ilmiah. Saya bukanlah berniat untuk mencari kesalahan atau kekurangan mana-mana mazhab, namun niatnya hanyalah untuk berkongsi ilmu pengetahuan yang begitu luas ini.

BASMALLAH MENURUT ULAMA’ HANAFI

Basmallah bukan satu daripada surah al-Fatihah dan juga surah lain kecuali surah an-Naml yang mengandungi al-Basmallah di dalamnya. Lihat hadis riwayat Anas RA:

“Aku bersembahyang bersama-sama Rasulullah, Abu Bakar, Umar dan Uthman. Aku tidak pernah mendengar salah seorang daripada mereka membaca ‘Bismillahirrahmanirrahim’.” - Riwayat Muslim dan Ahmad

Tetapi seseorang yang bersolat sendirian hendaklah membaca Basmallah di permulaan al-Fatihah dengan suara yang rendah (tidak nyaring) dalam setiap raka’at. Akan tetapi, imam tidak boleh membaca Basmallah (sama ada kuat atau senyap, maksudnya tidak menyebut langsung) supaya tidak berlaku sebarang bacaan diantara dua bacaan nyaring. Ibn Mas’ud berkata bahawa empat perkara yang disembunyikan oleh imam iaitu al-Ta’awwudz (A’uzubillah), al-Tasmiyah (Bismillah), a-Ta’min (sebutan amin) dan al-Tahmid (Rabbana lakal hamdu). Hujah mereka berdasarkan surah al-Muzammil ayat 20,

“… Maka bacalah mana-mana yang mudah kamu dapat membacanya daripada al-Quran… “

Ia adalah perintah supaya membaca secara mutlak. Oleh itu, ia terlaksana dengan sesuatu bacaan yang boleh disebut sebagai membaca al-Quran. Menurut ijma’ ulama berdasarkan maksud ayat itu, bacaan al-Quran bukanlah satu fardhu di luar solat, tetapi menjadi fardhu dalam solat.



BASMALLAH MENURUT ULAMA’ SYAFI
Menurut pendapat ulama Syafie, Basmallah ialah satu ayat daripada al-Fatihah. Ini berdasarkan riwayat al-Bukhari dalam kitab Tarikh-nya bahawa Nabi Muhammad SAW menghitung al-Fatihah dengan tujuh ayat dan menghitung Basmallah sebagai satu ayat daripadanya. Al-Daruqutni meriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Apabila kamu membaca Alhamdulillah, hendaklah kamu membaca ‘Bismillahirrahmanirrahim’. Ia adalah ummul-quran (ibu kepada al-Quran), Ummul-Kitab (ibu al-Kitab) dan tujuh al-Mathani (kunci), dan ‘Bismillahirrahmanirrahim’ salah satu ayat dalam Fatihah.” - Riwayat Ibn Abi Shaibah daripada Ibrahim al-Nakha'i

Para sahabat telah menetapkannya dalam pengumpulan al-Quran, maka ini menunjukkan ia adalah satu ayat daripada al-Fatihah. Jika dalam solat Jahriyyah (bacaan secara kuat), maka hendaklah dibaca ‘Bismillahirrahmanirrahim’ dengan suara nyaring juga sebagaimana dibaca semua ayat dalam Fatihah, berdasarkan riwayat Ibn ‘Abbas yang bermaksud, 

“Nabi Muhammad membaca ‘Bismillahirrahmanirrahim’ dengan nyaring.” - Nasb al-Rayah, Jil. 1, hlm 366.
 
Ini menunjukkan yang ia adalah sebagai satu ayat al-Quran. Justeru itu, cara membacanya sama seperti bacaan semua al-Fatihah.

Gambar Hiasan

BASMALLAH MENURUT ULAMA’ MALIKI DAN HANBALI

Menurut ulama’ Maliki, ‘Bismillahirrahmanirrahim’ bukan satu ayat daripada al-Quran. Oleh itu, tidak harus membacanya dalam solat fardhu sama ada solat Jahriyyah (bacaan secara kuat) mahupun Sirriyyah (bacaan secara perlahan) dan sama ada pada bacaan al-Fatihah atau bacaan surah lain.

Manakala bagi ulama’ Hanbali, mereka berpendapat ‘Bismillahirrahmanirrahim’ adalah satu ayat daripada al-Fatihah, maka diwajibkan untuk membacanya dalam solat. Tetapi pendapat mereka sama seperti pendapat ulama’ Hanafi iaitu sebutan Basmallah tidak dinyaringkan.



PERLU BACA ‘BASMALLAH’ ATAU TIDAK?

Bagi saya, dalam permasalahan ‘ijtihad’ seperti ini, tidak perlu untuk dijadikan sebarang pertikaian kerana ianya berkisar mengenai harus atau afdal, bukannya wajib atau haram. Setiap pendapat dari mazhab ini ada dalil dan hujah tersendiri berdasarkan pandangan masing-masing.

Sepertimana Imam Syafie yang bersolat Subuh tanpa qunut ketika beliau melawat Bahgdad, negeri di mana penduduknya berpegang pada mazhab Imam Abu Hanifah. Ini kerana Imam Syafie mahu menghormati dan menjaga perasaan mereka.

Sikap ta’asub terhadap sesuatu mazhab dan menolak pendapat golongan yang lain yang tidak sealiran dengan mereka dalam sesuatu masalah ijtihad seperti ini bukanlah suatu perbuatan orang-orang yang cerdik pandai, tetapi ia adalah perlakuan orang-orang yang jahil dan bersifat perkauman. Seperti kata-kata Ibnu Jauzi (mazhab Hanbali) di dalam bukunya ‘Rahsia Yang Terkawal’,

"Saya dapati di kalangan orang cerdik pandai, mereka melakukan sesuatu berdasarkan amalan orang awam. Apabila seorang yang bermazhab Hanbali bersembahyang di masjid golongan Syafie, dia akan mengikut mazhab itu, dan apabila seorang yang bermazhab Syafie bersembahyang di masjid golongan Hanbali dan dia biasanya menyaringkan bacaan 'Bismillah', dia akan mengikut mazhab Hanbali pula. Ini adalah masalah ijtihad, dan sifat terlalu ta’asub sekadar mengikut hawa nafsu hanya menyekat perkembangan ilmu."

Oleh itu, saya ingin menyatakan, ikutlah apa yang menjadi pegangan. Ulama Hanafi tidak membenarkan bacaan Basmallah ini, berbeza dengan ulama Syafie yang mewajibkannya. Namun, pada ulama Hanbali dan Maliki, lebih menjurus kepada Basmallah itu disenyapkan. Itu terpulang pada kita untuk mengamalkannya kerana dalam setiap hujah, adanya dalil yang digunapakai.

Gambar Hiasan

Ini hanyalah perbincangan berbentuk ilmiah. Kepada Allah SWT jualah tempat kita berserah. Hanya Allah SWT yang lebih mengetahui.

3 comments:

  1. Salam. Admin, sy nak tanya. Kalau kita dah mandi wajib, tiba2 terasa was-was seolah ada anggota / kawasan yg belum kena air. Benda ni berlaku selepas selesai mandi wajib. Tpi taktahu dah rata air pada bhgian tersebut atau belum. Camne tu ?

    ReplyDelete
  2. Ustaz dlm isu 'ijtihad' kalu seorg ikut imam syafie dan dia tidak membaca basmalallah dlm fatihah mya. Adakah solatnya dikira batal atau tidak sah?

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikom Ustaz, Dalam isu 'ijtihad' kalu seorg ikut imam syafie dan dia tidak membaca basmalallah dlm fatihah mya. Adakah solatnya dikira batal atau tidak sah?

    ReplyDelete

Assalamualaikum...

# Sebarang komen adalah amat dialu-alukan.
# Komen yang dihantar akan dibalas secepat mungkin.
# Terima kasih kerana sudi membaca di sini.
# Jangan lupa, datang lagi! =)