✎ Halaman ✎

04 July 2012

Malam Nisfu Syaaban

Antara hari yang diraikan oleh masyarakat Islam di seluruh dunia ialah hari Nisfu Syaaban iaitu pada malam 15 hari bulan Syaaban pada setiap tahun. Lazimnya apabila datangnya malam 15 Syaaban, orang ramai akan berkumpul dan membaca surah Yaasin sebanyak tiga kali diiringi dengan doa-doa tertentu sesudahnya. Doa yang dibaca itu berkaitan dengan permintaan supaya ditetapkan iman, dipanjangkan usia dalam kebaikan serta dimurahkan rezeki yang halal.

Malam Nisfu Syaaban ini dikatakan sebagai malam di mana berlakunya pertukaran buku catatan amalan setiap individu. Bagaimana buku catatan itu diganti, hanya Allah SWT yang tahu. Namun, pada kebiasaannya, masyarakat kita akan membaca al-Quran sebagai suatu cara menutup buku catatan amalan yang lama, sebelum digantikan dengan yang baru. Secara simboliknya, mereka bersedia mengakhiri dan memulakannya kembali dengan melakukan amalan kebajikan.



BANYAKKAN BUAT AMALAN

Amalan membaca surah Yaasin pada malam Nisfu Syaaban boleh menjadi bida’ah sekiranya ia hanya dilakukan pada malam tersebut sahaja. Ini kerana kita digalakkan supaya membaca surah tersebut pada bila-bila masa sahaja, tidak perlu menunggu malam Nisfu Syaaban, ataupun ketika berlaku kematian. 

Selain membaca surah Yaasin dan berdoa, kita juga digalakkan mengisi malam Nisfu Syaaban itu dengan bersedekah, memberi makan fakir miskin dan sebagainya. Dengan itu, buku catatan kita akan disi dengan beberapa amalan baik dan mulia di sisi Allah SWT.


DOA PANJANG UMUR, KUAT DAN SIHAT

Pada malam itu, kita juga memohon supaya dipanjang usia, kuat dan sihat, supaya kita dapat terus beribadat kepada Allah SWT. Doa ini dipohon dengan harapan, semakin panjang usia kita, semakin banyak amal ibadat dapat dilakukan. Kita juga memohon supaya ditetapkan iman dalam melakukan ibadat kepada Allah SWT. Ini kerana selepas bulan Syaaban, bulan Ramadhan akan menyusul, dan kita akan berpuasa selama sebulan. 

Sudah pasti, pada bulan tersebut pelbagai dugaan dan godaan harus kita tempuh. Itulah sebabnya kita perlu memohon daripada Allah SWT supaya ditetapkan iman, supaya kita mampu bertahan dalam melakukan ibadah pada bulan-bulan seterusnya.




DOA MOHON REZEKI YANG HALAL

Kita juga memohon supaya dimurahkan rezeki yang halal. Ini kerana dengan rezeki itu kita tidak menjadi hina di bumi sendiri. Rezeki yang dimurahkan oleh Allah SWT akan membolehkan kita berkorban dan berjihad ke jalanNya. Kita boleh ke sana ke sini menikmati kebesaran dan kekuasaan Allah SWT. 

Dengan rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT juga akan memberikan kita peluang untuk menunaikan perintahNya supaya berkongsi dengan mereka yang memerlukan.




SALAM NISFU SYAABAN 1433H...



pensil-tekan.blogspot.com

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum...

# Sebarang komen adalah amat dialu-alukan.
# Komen yang dihantar akan dibalas secepat mungkin.
# Terima kasih kerana sudi membaca di sini.
# Jangan lupa, datang lagi! =)