✎ Halaman ✎

26 August 2012

Faedah Tidur Terhadap Kesihatan

Ramai orang kadang kala tidak mampu menahan rasa mengantuk kerana kemungkinan telah melakukan kerja-kerja berat, melakukan perkara yang banyak menggunakan tenaga dan pemikiran, dan ada juga yang kurang mendapatkan masa tidur yang cukup. Kesannya, banyak kes-kes kemalangan yang berlaku adalah berpunca dari rasa mengantuk. Selain itu, tahap produktiviti negara juga terjejas dan mengalami kerugian juga disebabkan masalah ketiduran. Sememangnya, masalah ini telah memberikan kesan negatif kepada kualiti kerja. Diriwayatkan dari Bukhari dan Muslim, Nabi Muhammad SAW bersabda,
“Apabila salah seorang di antara kamu berasa mengantuk, hendaklah dia tidur sehingga hilang rasa mengantuknya. Apabila seseorang meneruskan solat ketika mengantuk berkemungkinan ketika sedang istigfar tanpa disedari dia mengutuk dirinya sendiri.”


TIDUR ADALAH IBADAH

Badan juga perlukan masa rehat kerana itu adalah haknya. Berehat atau tidur dapat menjadikan umat Islam sebagai umat yang melakukan segala ibadah dan aktiviti dengan cara yang terbaik. Di dalam sebuah hadis, diceritakan mengenai Abu Darda’ yang tidak mahu tidur kerana ingin melakukan ibadah secara berterusan. Menurut Bukhari, sahabatnya Salman al-Farisi menegurnya dengan berkata, 
“Tuhanmu mempunyai hak ke atasmu, badanmu mempunyai hak ke atasmu dan isterimu mempunyai hak ke atasmu. Berikan kepada semua ini haknya.” Semasa Nabi Muhammad mendengar perkataan Salman ini, beliau berkata, “Benarlah Salman.”

Dalam hadis lain, seperti yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Nabi Muhammad pernah memasuki masjid dan ternampak seuras tali merentangi dua tiang. Selepas bertanya, nabi diberitahu tali itu adalah kepunyaan Zainab yang berpaut kepadanya ketika keletihan selepas melakukan solat. Lantas nabi berkata, “Buka tali ini! Hendaklah salah seorang daripada kamu bersolat ketika cergas dan ketika mengantuk pergilah tidur.” Ini menunjukkan bahawa Nabi Muhammad mementingkan kualiti ketika beramal dan tidur dapat membantu ke arah itu. Oleh itu, tidur yang dianjurkan adalah sebahagian dari ibadah.


PEKERJA SYIF MALAM DAN KESAN PADA KESIHATAN

Tidur yang penting adalah pada waktu malam. Allah berkata dalam surah al-Furqan ayat 47,

“Dan Dia menjadikan malam sebagai pakaian bagimu dan tidur sebagai istirehat, dan dijadikan siang untuk bertebaran mencari rezeki.”

Pekerja syif malam mempunyai risiko lebih tinggi menghidap sakit jantung. Pengkaji-pengkaji dari Universiti Milan mendapati jantung manusia tidak bersedia menerima tekanan yang berlebihan pada waktu malam. Hal ini disebabkan, hormone cortisol yang berfungsi melajukan jantung dan pernafasan di waktu siang tidak begitu berperanan pada waktu malam, justeru melemahkan konsentrasi dan tumpuan pekerja-pekerja pada syif malam di samping membebankan jantung mereka.


TIDUR DAN MINDA YANG CERGAS

Tidur yang cukup memantapkan kecergasan minda. Pakar tidur, Colonel Gregory Belenky, mengkaji kesan kurang tidur ke atas tentera-tentera yang mengendalikan peralatan canggih ketenteraan. Beliau mendapati, fungsi otak terutamanya yang melibatkan bahagian membuat keputusan, perancangan dan konsentrasi, banyak terjejas apabila seseorang tidak dapat tidur dengan cukup dan otak akan mengambil masa yang lama bagi pulih seperti sedia kala. Keadaan ini dapat menyebabkan kemalangan di bilik kecemasan, tempat kerja, jalan raya dan semasa menjalankan operasi ketenteraan.


TIDUR YANG MEMULIHKAN BADAN

Semasa tidur, sel-sel di dalam badan melalui proses pemulihan. Allen Nicholson, penyelaras klinikal di Pusat Gangguan Tidur, Hospital Columbus Community Ohio menjelaskan, semasa tidur, badan seseorang mengeluarkan hormon pertumbuhan atau growth hormone yang berfungsi memperbaiki sel-sel yang rosak. Mengambil arak ataupun minuman yang mengandungi kafiena sebelum tidur mengganggu proses ini dan menambah keletihan seseorang di siang hari.



TIDUR DAN PENYIMPANAN MAKLUMAT

Penyimpanan maklumat jangka pangjang atau long-term memory di dalam otak juga berlaku semasa tidur. Namun mereka yang suka tidur lewat, sebagai contoh pelajar yang mengulang kaji pelajaran sehingga lewat tengah malam, mengganggu proses penyimpanan maklumat ini. Menurut Penolong Profesor Carla B. Green dari Pusat Sains Kebangsaan Untuk Pusingan Biologi, mengulang kaji pelajaran sehingga lewat malam menjejaskan pusingan biologi seseorang dan ini menjejaskan fungsi otak bagi mengingati semula maklumat yang dibaca, di samping menyebabkan keletihan pada waktu yang tidak menentu di siang hari.


TIDUR DAN JANTUNG

Tidur memantapkan sistem darah dan jantung. Dr Tom Mackay, seorang pakar berhubung penyakit-penyakit sistem pernafasan di Pusat Tidur Kebangsaan, Edingburgh Royal Infirmary Scotland merumuskan, kurang tidur menyebabkan beberapa perubahan kimia berlaku di dalam badan dan ini meningkatkan risiko seseorang mengidap penyakit kencing manis, jantung dan strok.


TIDUR TERBAIK DAN MENYIHATKAN

Cara dan tempoh tidur juga perlu diambil berat bagi mendapatkan tidur yang berkualiti. Tempoh optimum bagi sesetengah orang adalah lima hingga enam jam setiap malam, namun kebiasaannya bagi golongan dewasa kadarnya adalah tujuh hingga lapan jam. Manakala bagi cara dan kedudukan yang baik untuk tidur, seperti mana yang diajarkan oleh nabi, telah diriwayatkan oleh Tarmizi, 
“Nabi Muhammad melihat seorang lelaki yang tidur sambil meniarap lantas baginda berkata, ‘inilah cara tidur yang dibenci Allah’.”

Menurut Bukhari dan Muslim, Nabi Muhammad juga berkata, 
“Apabila kamu hendak tidur ambillah wuduk seperti wuduk untuk solat, kemudian baringlah di sebelah kanan.” 

Menurut Bukhari dan Muslim, Nabi Muhammad pernah tidur menelentang sambil menyilangkan kaki seperti yang dilaporkan oleh Abbad ibn Tamim, 
“Aku pernah melihat Rasulullah tidur menelentang di dalam masjid sambil menyilangkan kedua belah kaki Baginda.”

Di dalam kitab at-Tib an-Nawawi, Ibn Qaiyim al-Jauziyah merumuskan cara tidur nabi dengan berkata, 
“Nabi Muhammad tidak tidur dalam kekenyangan. Baginda berbaring berlapikkan bantal sambil mengiring ke sebelah kanan dalam keadaan berzikir kepada Allah sehingga terlena.”



Wallahua'alam... Sekadar Perkongsian

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum...

# Sebarang komen adalah amat dialu-alukan.
# Komen yang dihantar akan dibalas secepat mungkin.
# Terima kasih kerana sudi membaca di sini.
# Jangan lupa, datang lagi! =)