✎ Halaman ✎

05 August 2012

Susahnya Nak Buat Dosa


Bertemu secara sulit itu susah. Modalnya juga besar. Anda terpaksa rangka rancangan anda dengan teliti; di mana tempat yang paling selamat? Kalau di hotel selamatkah daripada serbuan pihak berkuasa?

Kalau di taman tak adakah orang nampak? Kalau di restoran apa yang hendak dimakan. Baju apa nak pakai? Itu semua duit dan berisiko. Alasan apa yang hendak diberikan kepada isteri untuk pulang lewat, atau keluar seorang diri pada hari minggu pun mengganggu fikiran.


Bukankah lebih mudah membina pahala daripada membuat dosa? Apa pun yang kurang tentu lebih mudah mendapatkannya daripada yang sedia ada daripada terpaksa mencarinya di luar. Kalau kantol satu negara akan tahu. Muka terpampang dalam paper. Jawatan mungkin hilang. Nak balik kampung pun rasa tak sanggup lagi.

Untuk berbuat jahat itu susah. Anda perlu merancang dengan teliti. Siapa yang hendak ditipu? Bolehkah dia ditipu? Apakah tindakan yang diambil apabila dia sedar dia telah tertipu. Apa yang hendak ditipu?

Berapa ratus, berapa ribu, berapa juta? Alasan apa hendak anda berikan untuk menipu? Anda perlu berlakon, mereka-reka cerita. Itu semua payah dan mengambil masa.

Bukankah lebih mudah merancang untuk cemerlang daripada membina temberang? Bukankah lebih mudah mencari alasan untuk berjaya daripada mencari alasan untuk gagal. Bukankah lebih mudah merangka perkara baik daripada merangka perkara jahat?

Untuk berbuat baik dan berbuat jahat itu sama susah. Kadang-kadang berbuat jahat itu pula lebih susah. Hampir semua perkara jahat perlu dibuat secara sembunyi-sembunyi. Benda yang perlu disembunyikan memang payah melakukannya. Tidak boleh bising sangat, nanti orang dengar; tak boleh terang sangat, nanti orang nampak; tak boleh terdedah sangat, nanti orang tahu. Itu semua susah.


Mengapa lebih suka buat yang susah daripada yang senang? Bukankah yang senang itu lebih senang sebab tak perlu sembunyi-sembunyi; tak payah tipu-tipu; semuanya boleh dibuat dengan senyum dan tawa.

Untuk buat pahala itu mudah, jauh lebih mudah untuk buat dosa. Pergi ke disko itu susah. Sekali duduk paling murah RM50. Nak pergi itu satu hal, nak buat apa dalam tu pun satu hal; dapatnya dosa. Dapatnya maruah yang tercemar. Dapatnya rasa bersalah sendiri. Kalau nasib tak baik terperangkap dalam serbuan pihak anti-dadah. Bukankah lebih baik pergi masjid atau surau? Modal tak payah, silap-silap ada makan, hati pun tenang, kalau ada kuliah dapat belajar dari tuk guru. Ilmu bertambah pahala pun dapat. Rasa confident dan terpelihara oleh ALLAH pun terasa sikit-sikit.

Daripada pergi mencuri itu bukankah lagi baik cari sendiri. Dapat duit secara halal boleh berbelanja tanpa was-was, dapat duit cara haram nak berbelanja pun rasa tak senang. Nak mencuri perlu waktu malam, orang sedap-sedap tidur, dia mengekang mata. Silap-silap tertangkap dan dipukul orang.

Bukankah lebih mudah mencari duit secara betul daripada cuba-cuba mencetak yang palsu. Yang palsu akhirnya kecundang juga. Tupai memang pandai melompat dan tak pernah jatuh, tapi kalau jatuh juga itu tentu bukan lagi pandai tapi terlebih pandai.

Hendak membina hubungan sulit itu payah, sebab ia dianggap salah oleh semua. Oleh isteri, oleh anak-anak, oleh mentua, oleh ibu bapa, oleh adik-beradik, oleh jiran, oleh tuk imam, oleh rakan-rakan, oleh bos, oleh budaya, oleh masyarakat, oleh negara dan yang terpenting sekali oleh agama.



Kenapa payah-payahkan diri buat sesuatu yang memang payah padahal yang senang dan mudah itu ada di depan mata. Memang susah nak buat dosa sekarang ini berbanding berbuat pahala.

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum...

# Sebarang komen adalah amat dialu-alukan.
# Komen yang dihantar akan dibalas secepat mungkin.
# Terima kasih kerana sudi membaca di sini.
# Jangan lupa, datang lagi! =)