Tanggal 26 Oktober 2012 tepat jam 3.28 petang, seorang
sahabat baikku, telah kembali ke rahmatullah akibat kemalangan jalan raya. Sungguh
tidak disangka, begitu cepat Allah memanggilnya pulang ke sisiNya. Perkhabaran yang
diterima sungguh mengejutkan. Tidak terduga!
Namun, semua itu sudah tertulis sejak dari azali, bahawa
hayatnya bersama keluarga, kawan-kawan, sekadar ketika itu sahaja. Tiada apa
yang boleh ditangisi, hanya doa yang dapat dihadiahi buatnya di sana, agar
tenang, aman dan sejahtera, bersama para solehin.
Kau Sahabat Sejati |
SETIAP YANG HIDUP AKAN MATI
Walau bagaimana pun kita menjaga hayat kita, walau bagaimana
pun kita berusaha untuk menjaga diri dari sebarang bencana, ingatlah, bahawa
kita semua pasti juga akan menemui kematian. Sepertimana firman Allah SWT,
“Setiap yang bernyawa pasti akan merasakan mati” (Ali Imran: 185)
Cuma yang membezakannya hanyalah masa, tempat dan keadaan
yang berbeza. Ada orang yang matinya, mulia pada pandangan kita, dan ada pula
yang matinya, kita sendiri pun tidak mahu bercakap tentangnya, malu! Tapi,
apakah kita akan mempersoalkannya? Tidak! Kerana semuanya pasti ada hikmah. Kerana
semua perancangan Allah, pasti ada rahsia disebaliknya.
“Dimanapun kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, walaupun kamu berada di dalam benteng yang tinggi dan kukuh” (An-Nisa: 78).
Kematian adalah rahsia Allah SWT. Allah SWT merahsiakan
kematian dari kita supaya kita sentiasa bersedia menghadapinya, yang apabila
sudah sampai masanya, tidak akan dilewatkan sesaat pun, dan tidak akan
dicepatkan juga walau sesaat.
“Apabila telah sampai ajal seseorang, maka sesaat pun tidak dapat ditangguhkan, dan sesaat pun tidak dapat didahulukan.” (Al-A’raf: 34)
Namun, bagi mereka yang sudah bersedia, hanyalah taqwa yang
akan dibawanya.
“Bawalah bekal, kerana sesungguhnya sebaik-baiknya bekal adalah taqwa” (Al-Baqarah: 197)
BAWALAH 3 PERKARA SEBELUM PERGI
Kalau kita hendak ke sesuatu tempat atau destinasi, kita
mesti menyediakan sebuah bekalan, tidak kiralah bekalan apa pun, makanan,
pakaian, mahupun duit. Ini semua untuk memudahkan perjalanan kita dan
persediaan di kala ada sebarang kecemasan. Kenderaan yang kita akan naiki juga
perlu untuk diservis sebaiknya supaya kita dapat tiba ke destinasi dengan
selamat, tanpa sebarang masalah.
Begitu jugalah dengan kehidupan kita di dunia ini. kita akan
menuju ke sebuah destinasi yang di sana adanya kebahagiaan dan kesengsaraan. Kebahagiaan
bagi mereka yang mempunyai bekalan yang banyak semasa di dunia, dan
kesengsaraan adalah untuk orang yang tidak bersedia menghadapinya.
Apa yang perlu kita ada? 3 perkara: sedekah jariah, ilmu
yang bermanfaat dan doa anak yang soleh.
Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Apabila seorang manusia mati, putuslah (tulisan pahala) amalan (setakat itu) Kecuali tiga perkara (yang akan berlanjutan tulisan pahalanya) iaitu sedekah jariah atau ilmu memberi kepada yang faedah orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya." (Hadith Sahih - Riwayat Imam Ahmad)
BUATMU SAHABAT
Kenangan bersamamu tak akan kami lupakan. Terlalu banyak
jasa baikmu untuk kami. Dan terlalu banyak pengorbananmu yang telah dicurahkan
buat kami. Kami sentiasa doakan, semoga rohmu dicucuri rahmat dan ditempatkan
di kalangan orang yang bertaqwa. Salam buatmu, MOHD SYAFIK BIN MAT RABI, UNIVERISITI
MALAYA 2007-2010, SUKSIS 2007-2010.
Takziah buat seluruh ahli keluarga Allahyarham. Al-Fatihah.
No comments:
Post a Comment
Assalamualaikum...
# Sebarang komen adalah amat dialu-alukan.
# Komen yang dihantar akan dibalas secepat mungkin.
# Terima kasih kerana sudi membaca di sini.
# Jangan lupa, datang lagi! =)