✎ Halaman ✎

07 April 2013

Solat Istikharah

Alhamdulillah, setinggi-tinggi rasa syukur dipanjatkan buat Pemilik Semesta, Allah SWT kerana masih lagi memberi kita peluang untuk terus menikmati hidup sebagai seorang Islam dan bernafas di muka bumi-Nya. Dalam entri kali ini, saya ingin kongsikan dengan pembaca berkenaan solat istikharah.

Bagi memudahkan pemahaman bersama, saya akan sertakan persoalan dan jawapan berkenaan permasalahan solat istikharah. Moga kita semua beroleh manfaat.




S: APA ITU SOLAT ISTIKHARAH?

J: Solat istikharah dilakukan oleh seseorang bertujuan mendapatkan petunjuk ketika berada di dalam keraguan untuk memilih mana yang terbaik di antara pilihan yang ada. Jika terdapat keraguan di dalam hati untuk memilih yang terbaik, maka disarankan untuk melakukan solat istikharah bagi memohon petunjuk dari Allah SWT. 

Contohnya, untuk menemukan jodoh, bagi memilih mana yang terbaik antara dua pilihan lelaki yang baik untuk seseorang wanita. Maka, ketika ini wanita tersebut harus melakukan solat istikharah memohon petunjuk Allah SWT, untuk memilih mana pilihan yang terbaik baginya.


S: BAGAIMANAKAH CARA MELAKUKAN SOLAT ISTIKHARAH?

J: Solat istikharah dilakukan sebanyak dua rakaat, dilaksanakan sebelum tidur atau selepas bangun tidur pada separuh malam (namun waktu khusus tidaklah ditetapkan). Sangat baik dilakukan ketika lewat malam, berkeadaan sunyi, supaya hati lebih khusyuk untuk bermunajat memohon daripada Allah SWT. Harus dilakukan bersendirian dan tidak perlu kepada azan atau iqamah.

Rakaat Pertama

1)      Berniat di dalam hati untuk mengerjakan solat sunat Istikharah
2)      Takbiratul Ihram
3)      Doa Iftitah
4)      Membaca surah al-Fatihah
5)      Membaca Surah al-Qur’an
6)      Rukuk
7)      Iktidal
8)      Sujud
9)      Duduk antara dua sujud
10)    Sujud kali kedua
11)    Bangun untuk rakaat kedua

Rakaat Kedua

1)      Ulang seperti rakaat pada pertama dari nombor (4) hingga (10)
2)      Duduk untuk tahiyyat akhir
3)      Memberi salam ke kanan dan ke kiri
4)      Membaca doa Istikharah


S: APAKAH DOA YANG BOLEH DIBACA KETIKA SOLAT ISTIKHARAH?

J: Rasulullah SAW mengajarkan kepada kita mengenai doa ketika melakukan solat istikharah. 

Baginda bersabda yang bermaksud:


Jika salah seorang di antara kalian berkeinginan untuk melakukan sesuatu, hendaklah dia mengerjakan solat dua rakaat yang bukan solat fardu kemudian membaca doa:

"Ya Allah, sesungguhnya aku memohon petunjuk kepada-Mu dengan ilmu-Mu, memohon ketetapan dengan kekuasaan-Mu, dan aku memohon kurniaan-Mu yang sangat agung kerana sesungguhnya Engkau berkuasa sedang aku tidak berkuasa sama sekali, Engkau mengetahui sedangkan aku tidak, dan Engkau yang mengetahui hal yang ghaib. Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa urusan ini (lalu menyebutkan secara langsung urusan yang dimaksudkan) lebih baik bagi diriku dalam agama, kehidupan dan akhir urusanku - atau mengucapkan: baik dalam waktu yang dekat mahupun yang akan datang - maka tetapkanlah ia bagiku dan mudahkanlah ia untukku. Kemudian, berikan berkah kepadaku dalam menjalankannya. Jika Engkau mengetahui bahawa urusan ini buruk bagiku dalam agama, kehidupan dan akhir urusanku - atau mengucapkan: baik dalam waktu yang dekat mahupun yang akan datang - maka jauhkanlah urusan itu dariku dan jauhkanlah aku darinya, serta tetapkanlah yang baik itu bagiku di mana pun kebaikan itu berada. Kemudian, jadikanlah aku orang yang redha dengan ketetapan tersebut."

Baginda bersabda: Hendaklah dia menyebutkan apa yang dihajatkannya. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1162.


S: BAGAIMANA BENTUK PETUNJUK DARI ALLAH YANG BOLEH KITA KETAHUI?

J: Ramai di kalangan kita mengetahui bahawa petunjuk yang akan diperoleh setelah melakukan solat istikharah ialah melalui mimpi. Namun, ia bukanlah secara langsung seperti mimpi dan sebagainya. Ada ketikanya Allah memberikan petunjukNya melalui ketetapan rasa hati, seperti merasa senang dengan pilihan setelah berdoa kepada Allah dan tiada rasa ragu-ragu atau was-was terhadap pilihannya tersebut.

Selain itu, Allah juga mungkin akan memberikan petunjukNya melalui rasa ketenangan atau urusan-urusan berkenaan pilihannya, dipermudahkan baginya, dengan apa yang Allah SWT tentukan dan pilih untuknya.


S: APAKAH PERKARA YANG PERLU DILAKUKAN SETELAH MELAKUKAN SOLAT ISTIKHARAH?

J: Perkara paling penting ialah serahkanlah sepenuh keyakinan kepada Allah SWT. Redha, teruskan bermohon serta tingkatkan doa kita kepadaNya agar diberikan petunjuk, sama ada petunjuk itu datangnya dari ilham, mimpi, gerak hati atau dipermudahkan urusan yang mana baik bagi kita.

Jika kita dapati Allah SWT belum memperkenankan permohonan kita, usah gusar dan khuatir kerana sesungguhnya Allah SWT masih memberi peluang buat kita untuk terus memohon kepadaNya di samping berusaha mencari dan membuat pilihan terbaik untuk diri kita sendiri. Seterusnya bertawakal kepada Allah SWT agar terus ditetapkan hati kita atas apa pun pilihan yang telah kita buat.

Jangan merasa kecewa dan bersedih andai keputusan dan pilihan yang dibuat tidak disukai oleh kita. Ingat bahawa setiap apa yang berlaku, telah ditetapkan sejak azali lagi. Mana tahu di sebalik perkara yang berlaku, dan perkara itu tidak disukai kita, namun di dalamnya terdapat hikmah yang memberikan kebaikan buat kita di kemudian hari. Sentiasa berbaik sangka dengan setiap musibah mahupun kebaikan, kerana mungkin di dalamnya terdapat hikmah yang paling tak ternilai.

Wallahua’lam.

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum...

# Sebarang komen adalah amat dialu-alukan.
# Komen yang dihantar akan dibalas secepat mungkin.
# Terima kasih kerana sudi membaca di sini.
# Jangan lupa, datang lagi! =)