Sudah menjadi satu rutin bagi kita masyarakat malaysia bila hampir
sahaja musim cuti persekolahan pasti berderet-deret kad undangan
walimatul urus yang diterima, kadang-kadang dalam satu hari ada dua atau
tiga undangan yang perlu dihadiri. Sememangnya sebagaimana yang kita
ketahui Perkahwinan itu adalah Sunnah, Dengan adanya ikatan perkahwinan,
jiwa menjadi tenang dan tenteram, mendapat keturunan yang halal lagi
sistematik, sekali gus ikatan perkahwinan juga dapat mengawal diri
daripada berlakunya pelbagai bentuk penzinaan, homoseksual, pelacuran
dan sebagainya.
Memang terdapat banyak hikmah dalam perkahwinan antaranya adalah
mampu menjaga kehormatan diri, untuk mengekalkan dan meneruskan zuriat
manusia di muka bumi ini dan seterusnya meramaikan manusia dan supaya
manusia itu dapat hidup berbahagia dengan saling berkasih sayang dan
cinta-mencintai.
Sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud:
“Dan diantara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya diantara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang yang berfikir.” – (Surah Ar-Rum:21)
Bila disebutkan tentang perkahwinan maka tak lengkap rasanya kalau
tidak diikuti dengan kendurinya, tapi tahukah kita mengadakan kenduri
kahwin bagi meraikan pasangan pengantin yang telah dinikahkan dengan
mengadakan jamuan makan kepada orang ramai, khususnya kepada saudara
mara, jiran tetangga dan sahabat handai apa hukumnya? Kenduri untuk
pernikahan sepasang pengantin ini merupakan anjuran dan sunnah
Rasulullah SAW. Hukumnya adalah sunat muakkad (sangat dituntut). Hal ini
adalah sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Anas .a katanya :
“Ketika tiba waktu pagi hari setelah Nabi SAW menjadi seorang pengantin dengan Zainab ibn Juhsy, baginda mengundang orang ramai, lalu mereka dijamu dengan makanan dan setelah itu mereka pun bersurai.” – (Riwayat al-Bukhari)
Dari Anas bin Malik ra menyebut bahawa Rasulullah SAW telah melihat
di kepala Abdul Rahman bin Auf kesan kuning, lalu baginda bertanya ;
Kesan apakah ini?
Abdul Rahman menjawab;
Wahai Rasulullah aku telah berkahwin dengan seorang perempuan bermaskahwinkan satu nawah iaitu timbangan sebanyak lima dirham emas.
Sabda Rasulullah;
Buatlah kenduri walaupun dengan seekor kambing.
Majlis perkahwinan yang dikehendaki oleh syarak sangat mudah dan
tidak menyusahkan. Oleh itu perkahwinan yang baik ialah yang ringan
perbelanjaannya, yang tidak memberatkan, tidak bermewah-mewah dan tidak
melebihi batas-batas yang diperlukan, serta tidak membawa kepada
pembaziran kerana pembaziran itu bertentangan dengan hukum syarak.
Sebenarnya mengadakan majlis perkahwinan sehingga terpaksa menanggung
beban hutang tidaklah digalakkan oleh agama, cukupla dengan sekadar yang
termampu sahaja. Kerana Antara hikmah Islam menggalakkan supaya
diadakan kenduri kahwin adalah untuk :
• Melahirkan rasa kesyukuran kepada Allah kerana dapat mendirikan rumah tangga.
• Melahirkan rasa kegembiraan atas ikatan perkahwinan.
• Mengisytiharkan kepada orang ramai bahawa pasangan telah menjadi suami isteri yang sah.
• Memberi peluang kepada para tetamu bersuai kenal di samping merapatkan hubungan silaturrahim.
Maka disini jelas kepada kita digalakkan agar mengadakan perkahwinan
secara sederhana yangmana ianya tidak membawa kepada pembaziran.
Sesungguhnya membazir itu adalah amalan syaitan. Masyarakat kita pada
hari ini kebanyakannya mengadakan kenduri kahwin sampai terpaksa
berhutang. Itulah amalan masyarakat kita hari ini yang lebih
mementingkan adat dari sunnah Nabi sendiri.
Sebaiknya laksanakanlah walimah atau kenduri kahwin sekadar yang
termampu sahaja. Apa yang penting ia dilakukan dengan niat yang ikhlas
selain untuk memanjatkan kesyukuran tanpa mengharapkan apa-apa balasan.
Bukan kerana menunjuk-nunjuk dan bermegah-megah. Mudah-mudahan majlis
yang diadakan dilimpahi berkat dan keredhaan ALLAH SWT. Kenduri yang
berkat itu amat penting , sama pentingnya akad nikah mengesahkan ikatan
suami isteri.
Apalah gunanya jika wang dihabiskan untuk majlis besar-besaran tapi
jauh daripada keberkatan Allah sehingga pengantin terpaksa berhutang dan
meminjam. Hal ini memberi implikasi dalam melaksanakan tanggungjawab
suami isteri dan membina keluarga bahagia. Justeru, laksanakanlah
walimah berlandaskan sunnah, semoga perkahwinan diberkati ALLAH SWT.
InsyaAllah.
Sumber: http://www.ukhwah.com/
Dapatkan ilmu perkahwinan anda disini:
ReplyDeletehttp://ilmu-perkahwinan.blogspot.com/