Bagaimana hendak panjang umur? Adakah dengan hanya menjaga
pemakanan? Tidak boleh makan itu tidak boleh makan ini? Tiadakah cara yang
lebih mudah untuk panjang umur? Murah rezeki pula bagaimana?
“Barangsiapa senang untuk dipanjangkan umurnya dan diluaskan rezekinya serta dihindarkan daripada kematian yang buruk, maka hendaklah ia bertaqwa kepada Allah SWT dan menyambung silaturrahim.” (Hadis riwayat at-Tabrani)
Jadi, mudah bukan? Hanya perlu menyambung silaturrahim di
samping bertaqwa kepada Allah, janji Allah untuk kita ialah panjang umur dan
murah rezeki. Bukan hanya itu, terdapat pakej, iaitu dapat dihindarkan dari
kematian yang buruk.
Allah SWT memberikan berkat sepanjang perjalanan usia
seseorang, lantaran semasa hidupnya penuh dengan amal perbuatan yang baik,
termasuk menyambung silaturrahim. Itulah usia yang panjang meski pun dalam hitungan
usia hanya sebentar. Kerana memang ukuran sebenarnya untuk kehidupan yang
diberkati itu bukan bulan atau tahun, tetapi keagungan amal perbuatan dan
banyaknya kebaikan yang ditaburkan.
Islam memandang penting jalinan tali silaturrahim. Dalam
satu hadis yang diriwayatkan Ibnu Majah, Rasulullah SAW bersabda,
“Yang paling cepat dapat mendatangkan kebaikan adalah balasan (pahala) orang yang berbuat kebajikan dan menyambung tali silaturrahim, sedangkan yang paling cepat mendatangkan kejahatan ialah balasan (seksaan) orang yang berbuat jahat dan memutuskan hubungan kekeluargaan.”
Pengertian ‘menyambungkan’ adalah suatu proses aktif
daripada sesuatu yang asalnya tidak tersambung. Rasulullah SAW bersabda,
“Yang disebut bersilaturrahim itu bukanlah seseorang yang membalas kunjungan atau pemberian, melainkan bersilaturrahim itu ialah menyambungkan apa yang terputus.” (Hadis riwayat Bukhari)
Kalau orang datang mengunjungi kita dan kita balas
mengunjunginya semula, ini hal biasa serta tidak memerlukan pengorbanan yang tinggi.
Boleh jadi, hal itu kita lakukan kerana kita berasa berhutang. Akan tetapi, ada
orang yang tidak pernah bersilaturrahim kepada kita, lalu dengan sengaja kita
mengunjunginya walaupun terpaksa menempuh jarak perjalanan yang cukup jauh dan
perlukan masa yang agak lama. Di sinilah makna silaturrahim akan sangat kita
rasakan.
Apalagi, apabila hal itu kita lakukan terhadap orang yang
membenci kita. Padahal, jelas hak-hak kita pernah terambil atau hati kita
sempat dilukainya, tetapi kita mengambil inisiatif terlebih dahulu
menziarahinya. Di sinilah kekuatan silaturrahim yang sebenarnya.
Maka, sudah semestinya silaturrahim tidak hanya dilakukan
pada bulan puasa atau hari raya sahaja, tetapi lebih baik jika dilakukan secara
berterusan. Apabila berlaku perbezaan pendapat atau salah faham, maka segeralah
melaksanakan silaturrahim. Menjalin kembali hubungan silaturrahim adalah hal
yang mudah, asal diniatkan dengan sungguh-sungguh dan tulus demi mendapatkan
keredhaan Allah SWT.
No comments:
Post a Comment
Assalamualaikum...
# Sebarang komen adalah amat dialu-alukan.
# Komen yang dihantar akan dibalas secepat mungkin.
# Terima kasih kerana sudi membaca di sini.
# Jangan lupa, datang lagi! =)