✎ Halaman ✎

29 January 2012

10 Tips Menjadi Suami Cemerlang

Satu daripada ciri-ciri rumah tangga bahagia ialah kehadiran seorang suami yang cemerlang. Suami yang cemerlang adalah asas bagi rumah tangga yang bahagia. Suami yang cemerlang memiliki keupayaan untuk mendidika ahli-ahli dalam rumah tangganya ke arah kejayaan. Sesungguhnya suami yang cemerlang adalah idaman setiap wanita bergelar isteri.



10 Tips Untuk Menjadi Suami Cemerlang

1.    Jagalah penampilan anda di hadapan isteri.
Anda mesti kelihatan bersih dan berbau harum. Sebagaimana anda ingin melihat isteri anda, maka begitulah juga seharusnya penampilan anda di hadapan isteri. Ingatlah bahawa Rasulullah SAW selalu berwangi-wangian ketika bersama isteri Baginda.
2.    Panggil dengan panggilan yang disukai
Panggillah isteri anda dengan nama yang paling disukainya. Rasulullah SAW sendiri memanggil isteri-isteri Baginda dengan gelaran-gelaran yang mereka sukai. Misalnya, Baginda memanggil Saidatina Aisyah dengan gelaran ‘Humaira’. Jangan sesekali memanggil isteri anda dengan gelaran yang tidak disukainya.
3.    Jangan melayan mereka seperti 'lalat'
Usah sesekali melayan isteri anda seperti seekor lalat. Anda tidak pernah mempedulikan kehadiran lalat sehinggalah lalat itu mengganggu anda. Anda mungkin tidak pernah mempedulikan apa yang isteri anda lakukan, sehinggalah ia melakukan sesuatu yang mengganggu anda. Usah lakukan seperti ini. Hargailah setiap perkara yang dilakukan oleh isteri anda dan ambil beratlah terhadap sesuatu perkara itu.
4.    Usah cepat mengkritik
Sekiranya anda melihat sesuatu kelemahan isteri anda, usahlah mengkritiknya dengan tergesa-gesa. Rasulullah SAW apabila melihat sesuatu kelemahan isteri Baginda, Baginda hanya mendiamkan diri.
5.   Senyum
Senyumlah selalu kepada isteri anda bila-bila masa saja anda melihatnya. Senyuman adalah sedekah dan dapat menggembirakan hatinya.

6.    Ucaplah terima kasih
Ucapkan terima kasih atas segala pengorbanannya terhadap anda. Selalulah ulangi ucapan terima kasih anda kepadanya. Ucapkan terima kasih setiap kali isteri anda menyediakan makanan, mengemas rumah dan pelbagai lagi tugas yang dilakukannya. Janganlah sampai isteri anda hanya mendengar keluhan anda tentang sup yang perlu ditambah garam, atau air kopi yang perlu ditambah gula.
7.    Tulis 10 perkara
Mintalah isteri anda menulis 10 perkara yang telah anda lakukan yang menggembirakan hatinya. Lakukanlah perkara-perkara yang disukainya itu sebaik mungkin. Sukar untuk anda mengetahui perkara yang menggembirakan hatinya, melainkan anda menyuruhnya menuliskan perkara itu di atas kertas.
8.    Usah memperkecilkan kemahuan isteri
Usah sesekali memperkecil-kecilkan kemahuan isteri anda. Isteri juga manusia biasa yang ada kemahuan dan keinginan dalam hal-hal tertentu. Seperti halnya ketika Rasulullah berhadapan dengan isteri Baginda yang bernama Safiyyah. Safiyyah menangis kerana dinaikkan di atas seekor unta yang begitu lambat jalannya. Rasulullah mendekati Safiyyah, menyapu air matanya dan menenteramkan beliau. Kemudian Rasulullah membawakan seekor unta lain kepadanya.
9.    Sentiasa bergurau senda dan berjenaka
Suami yang cemerlang tidak lokek untuk bergurau senda dan berlawak jenaka dengan isteri. Sesekali pada waktu lapang, bermainlah bersama isteri apa saja permainan yang sesuai. Rasulullah pernah berlumba lari bersama Aisyah. Bilakah kali terakhir anda bermain dengan isteri anda?
10.    Lakukanlah yang terbaik untuk isteri
Ingatlah selalu ucapan Rasulullah SAW,
“Orang yang terbaik di kalangan kamu ialah orang yang paling baik (pergaulannya) dengan ahli keluarga dan aku adalah yang terbaik di kalangan kamu dalam pergaulan dengan ahli keluargaku.”
Cubalah lakukan yang terbaik yang anda boleh lakukan.
 Untuk menjadi suami yang cemerlang, lakukanlah 10 tips di atas dengan bersungguh-sungguh. Jangan lupa berdoa kepada Allah agar perkahwinan anda direstui dan beroleh kejayaan.
# Selamat pengantin baru buat sahabat-sahabat saya yang bakal dan telah melangsungkan perkahwinan. Moga mahligai cinta kalian akan kekal hingga ke syurga. InsyaAllah...

pensil-tekan.blogspot.com

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum...

# Sebarang komen adalah amat dialu-alukan.
# Komen yang dihantar akan dibalas secepat mungkin.
# Terima kasih kerana sudi membaca di sini.
# Jangan lupa, datang lagi! =)