✎ Halaman ✎

31 January 2012

Untung Nikah Awal

Pada situasi sekarang, remaja, siswa siswi, pelajar sekolah, anak-anak, sering terdedah dengan keadaan sekeliling yang mampu menjuruskan seseorang ke arah yang tidak sihat. Gejala sosial, kes pembuangan bayi dan perkara yang sewaktu dengannya amat membimbangkan kita. Keadaan seperti ini akan menjadi lebih serius jika tidak diambil tindakan merawatnya dengan segera.

Gambar Hiasan
Sumber: Google Search
Kita tidak boleh menuding jari hanya kepada ibu bapa atas kesalahan anak-anak melakukan perkara yang tidak baik. Namun seharusnya kita perlu bermuhasabah atas setiap tindakan kita sama ada perkara tersebut mampu memberikan kebaikan dan kebahagiaan kepada orang sekeliling atau sebaliknya. Oleh itu, Islam telah memberikan garis yang begitu fleksibel bagi membendung gejala ini. Antaranya dengan ikatan pernikahan. Pernikahan ini menjurus kepada pernikahan di usia muda.

Sekarang, masih ramai yang tidak mahu untuk bernikah di usia muda. Bagi mereka, bernikah di usia muda akan menyusahkan kehidupan. Manakan tidak, sudah masih belajar, bagaimana hendak mencari nafkah buat menyara isteri. Jika sudah mempunyai anak, mahu menyara dan menjaga anak lagi. Oleh itu, antara faktor utama yang menyebabkan remaja tidak bernikah di usia muda adalah kerana tidak berkemampuan dari segi kewangan.

Menurut jumhur ulama’, kemampuan di sini bermaksud mampu untuk memberikan mahar (mas kawin). Mahar terdapat dalam pelbagai bentuk antaranya sebentuk cincin mahupun senaskah al-Quran. Penentuan nilai mahar ini adalah hak mutlak si gadis untuk menentukannya. Namun, realiti masyarakat Melayu sekarang telah meletakkan adat sebagai perkara utama. Nilai mahar terletak bahu si bapa dengan merujuk kepada nilai pasaran semasa. Jika mereka meletakkan nilai mahar yang rendah, dikatakan anak tersebut terlalu murah. Jika diletakkan pada nilai yang tinggi, dikatakan pula menjual anak.

Oleh itu, Islam telah meletakkan nilai mahar yang sepatutnya bagi seorang gadis. Benar al-Quran dan Sunnah tidak menentukan nilai tersebut, namun Rasulullah ada menasihati gadis-gadis agar tidak meletakkan nilai mahar yang terlalu tinggi, yang adakalanya membebankan si bakal suami. Maka, si gadis dan keluarganya perlu meneliti jumlah mahar yang bakal ditentukan kepada bakal suami agar institusi kekeluargaan tidak menjadi sesuatu yang membebankan dan menyusahkan.


TUNTUTAN PERNIKAHAN

Menurut ilmu psikologi, usia terbaik untuk menikah adalah sekitar usia 19 hingga 25 tahun. Namun, syariat Islam tidak membatasi usia tertentu untuk menikah. Secara dasarnya, syariat menghendaki orang yang hendak menikah adalah seseorang yang benar-benar mempunyai persiapan dari segi mental dan fizikal, dewasa dalam pemikiran dan faham erti sebuah pernikahan.

Islam dalam prinsipnya tidak melarang mengenai menikah di usia muda, namun Islam juga tidak pernah mendorong perkahwinan di usia muda (di bawah umur) tersebut. Agama sebaiknya perlu dilihat lebih jauh iaitu menekankan maksud dan intipati dari setiap tuntutan dan ajarannya. Dalam masalah perkahwninan ini, Islam mendorong hal-hal yang lebih menjamin kepada kebahagiaan sesebuah perkahwinan. Yang diperlukan adalah kematangan kedua pihak dalam menempuh kehidupan berkeluarga. Hubungan yang menciptakan perasaan saling memberi dan menerima, bertolak ansur, saling memahami dan menasihati antara keduanya dalam mengharungi rumah tangga seterusnya meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT.


NIKAH MUDA, ANAK PANJANG USIA

Menurut satu kajian, Tim, seorang pengkaji dari Universiti Chicago telah menyatakan, orang yang dilahirkan ketika ibunya berusia kurang dari 25 tahun cenderung untuk panjang usia, iaitu hingga 100 tahun atau lebih. Peluangnya usia panjang adalah dua kali ganda jika dibandingkan orang yang dilahirkan ketika ibunya berusia 25 tahun ke atas.

Kajian dijalankan kepada 198 orang di Amerika Syarikat yang usianya lebih dari 100 tahun. Mereka lahir antara tahun 1890 – 1893. Orang yang panjang usianya lebih dari 100 tahun umumnya anak pertama. Setelah dianalisis lebih mendalam, para pengkaji menyimpulkan bahawa kecenderungan ini berkait dengan kenyataan bahawa anak-anak pertama itu dilahirkan ketika ibunya baru berusia 20-an.

Namun, ini adalah kajian yang dilakukan terhadap segelintir responden. Ianya adalah terpulang kepada keadaan seseorang. Jika mampu menjaga kesihatan dengan baik, ditambah dengan berkah umur panjang yang diberikan Allah, semuanya mampu terjadi.

Gambar Hiasan
Sumber: Google Search


NIKAH MUDA, HATI SEMAKIN TENANG

Apabila sudah kahwin, hati akan semakin sejuk, tenang dan damai dengan adanya isteri dan anak-anak. Allah SWT berfirman:

“Dan orang-orang yang berkata, ‘Ya Tuhan Kami, anugerahkanlah kepada kami, isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertaqwa.” – surah al Furqan: 74

Sesungguhnya, isteri dan anak-anak adalah penyejuk di hati. Oleh itu, Allah SWT telah menjanjikan dan memberikan khabaran bahawa dengan pernikahan, dapat membuatkan jiwa semakin tenteram dan damai. Melalui pernikahan, seorang pemuda akan menemui ketenangan, dan dengan itu, bersegeralah untuk menikah.

Demikian juga dengan anak, Allah telah menyatakan bahawa anak sebahagian dari perhiasan dunia. Setiap manusia pasti menginginkan perhiasan yang menyejukkan pandangan. Sebagaimana manusia yang sukakan harta, anak juga adalah suatu perkara penting yang didambakan setiap manusia. Sebagaimana firman Allah:

“Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi soleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan.” – surah al Kahfi: 46


NIKAH MUDA, PERBANYAKKAN UMAT INI

Selain kegembiraan mendapat anak yang ramai, kegembiraan ini juga perlu diserlahkan kerana dapat memperbanyakkan umat Islam di muka bumi ini. Melalui pernikahan, umat Islam akan bertambah banyak. Oleh kerana itu, setiap umat Islam dituntut supaya bekerjasama bagi membentuk sebuah masyarakat Islami yang utuh lagi berkualiti. Nabi Muhammad SAW bersabda,

“Bernikahlah kalian. Kerana aku begitu bangga dengan banyaknya umatku pada hari kiamat.”

Konklusinya, bersegera bernikah mempunyai pelbagai manfaat. Ini adalah sebahagian dari kebanyakkan manfaat yang bakal diperoleh apabila bernikah di usia muda. Namun, ditengah-tengah kebaikan ini, terdapat pelbagai rintangan dan halangan yang perlu dilalui kini.


SULIT UNTUK BELAJAR BILA BERNIKAH AWAL?

Ada segelintir dalam masyarakat mengatakan bahawa nikah di usia muda akan membuatkan lalai dari mendapatkan ilmu dan sulit untuk belajar. Penyataan ini adalah tidak benar. Yang ada adalah sebaliknya. Kerana bersegera bernikah mempunyai keistimewaan iaitulah akan merasa lebih tenteram dan ketenangan yang dicari akan mudah menjelma. Dengan adanya ketenangan sebegini, maka akan lebih mudah untuk seseorang mencari dan menolongnya bagi mendapatkan ilmu. Apabila jiwa dan pemikirannya sudah tenang kerana adanya isteri dan anak di sampingnya, maka ia akan lebih mudah untuk mendapatkan ilmu.

Sesungguhnya, seseorang yang belum bernikah, hatinya akan berasa mudah gundah gulana, tidak tenteram, dan ketenangan yang dicari, sukar ditemui kerana tiada padanya seseorang yang mampu menghiburkan jiwanya iaitulah isteri dan anak-anak. Apabila jiwa dan fikiran terus berasa was-was, maka ia akan sulit untuk mendapatkan ilmu. Namun, apabila sudah berkahwin, maka jiwanya tenang, dan akan lebih menolongnya bagi mendapatkan ilmu.

Gambar Hiasan
Sumber: Google Search


BEBAN NAFKAH BILA SUDAH BERKELUARGA

Ada pula yang mengatakan bahawa bernikah di usia muda hanya membebani seseorang dalam mencari nafkah untuk anak dan isteri. Rintangan ini juga tidak selamanya boleh diterima. Kerana yang namanya perkahwinan akan sentiasa membawa keberkatan dan kebaikan. Melakukan pernikahan bererti melakukan ketaatan kepada Allah dan RasulNya. Ketaatan ini adalah suatu kebaikan. Oleh itu, usahanya ke arah tersebut dengan bernikah akan mengundang rezeki dan kebaikan dari Allah SWT sebagaimana firmannya dalam surah Hud ayat 6,

“Dan tidak ada suatu binatang melata pun di bumi melainkan Allah-lah yang memberi rezeki kepadanya.”

Begitu juga dalam surah al An’aam ayat 151,

“Kami akan memberi rezeki kepadamu dan kepada mereka.”

Oleh itu, pernikahan tidaklah membebani seseorang pemuda sebagaimana anggapan bahawa bernikah di usia muda dapat membebani seseorang di luar kemampuannya. Ini kerana, dengan pernikahan atau perkahwinan akan semakin mudah mendapatkan kebaikan dan keberkatan. Pernikahan adalah ketetapan Allah SWT untuk manusia yang harus dijalani. Pernikahan adalah termasuk salah satu pintu mendatangkan kebaikan bagi sesiapa yang benar pada niatnya.
 
pensil-tekan.blogspot.com