Syukur
pada Allah SWT atas segala nikmat kurnia yang dilimpahkan, yang
membolehkan kita terus merasai nikmat hidup dalam Islam dan iman. Dalam
entri kali ini, saya ingin berkongsi sedikit berkenaan dengan profesion
keguruan yang saya pilih sekarang itu, jQAF. jQAF- suatu ringkasan
kepada j – jawi, Q – Quran, A – Arab dan F – Fardhu Ain yang meliputi
seluruh aspek keperluan pengajian agama kepada pelajar sekolah rendah.
Tika
ini, saya rasa beruntung kerana diberikan amanah untuk mengajarkan
anak-anak permulaan di sekolah rendah mengenai asas-asas agama Islam
melalui status guru jQAF. Walaupun saya masih baru dalam memegang amanah
ini, namun saya dapat merasakan amat selesa apabila bersama anak-anak
kecil meniti hari-hari mereka dengan asas tarbiah Islam yang menarik,
tersusun dan professional.
Gambar Hiasan |
Dulu semasa
di universiti, mungkin ramai di kalangan guru jQAF sendiri tidak
memilih bidang perguruan, namun setelah tamat pengajian, bidang
perguruan jugalah yang telah diceburi. Termasuklah saya. Dulu, pernah
ada sahabat yang berpendapat, bila sudah tamat pengajian, kalau tiada
kerja lain, pohonlah guru. Pada waktu itu, profesion keguruan adalah
pilihan terakhir untuk mencari pekerjaan.
GURU PEKERJAAN MULIA
Pernah
juga saya terfikir begitu. Namun setelah saya sendiri ‘menjerumuskan’
diri apabila menjadi guru sandaran selama 3 bulan selepas bergraduasi,
saya amat merasakan, bidang perguruan adalah bidang yang menyeronokkan.
Pertama,
kerana sememangnya perbuatan yang terbaik ialah memberikan sesuatu yang
bermanfaat kepada orang lain. Walaupun ada juga pekerjaan lain yang
turut bersifat memberi, namun pekerjaan menjadi guru telah menjadikan
urusan memberi itu dapat dipermudahkan secara langsung mahupun tidak
langsung.
Keduanya,
kerana pekerjaan mengajarkan suatu ilmu Allah yang luas ini dan
menjadikan manusia berilmu dengan ilmu Allah SWT telah menjadikan minat
saya untuk terus menjadi seorang pendidik semakin mendalam.
Pelbagai
pengetahuan yang kita tahu dan mempunyai pengalaman dalamnya, boleh
diturunkan kepada anak murid dengan lebih baik, tanpa ada sebarang
masalah yang besar kerana sememangnya minat kita ke arah itu mendorong
kita memberikannya dengan mudah dan berkesan.
SEMAKIN DEKAT DENGAN AL QURAN
Boleh
dikatakan setiap hari, apabila adanya waktu pelajaran jQAF, al Quran
semestinya bersama. Apabila dirujuk silibus jQAF, setiap murid perlu
mengkhatamkan al Quran apabila sudah menghabiskan pengajian di sekolah
rendah, iaitu di tahun 6. Maka tidak mustahil, mereka perlu membacanya
setiap minggu mengikut ketetapan surah-surah tertentu, dengan bimbingan
guru jQAF.
Ini
secara tidak langsung, dapat memberikan peluang kepada guru jQAF bagi
lebih mendalami al Quran, untuk diajarkan kepada anak murid, juga kepada
diri sendiri. Inilah yang saya dapat rasakan. Untungnya menjadi guru
jQAF, al Quran sentiasa dibacakan dan akan diamalkan secara berterusan
dan istiqomah. Dengan izin Allah.
PERSOALAN MASALAH ASAS AGAMA
Dalam
jQAF, adanya pengajaran ulum syariah yang berkisar mengenai perkara
asas dalam Islam seperti akidah, ibadah, sirah dan sebagainya. Semuanya
ini sememangnya tidak telah ketahui, tapi adakah semuanya kita dapat
mengingatinya walaupun hanya perkara asas? Mungkin tidak bukan?
Begitulah
yang saya alami. Kadang kala ada juga perkara asas agama Islam yang
dahulunya kita sudah mempelajarinya, tapi apabila sudah jarang
diamalkan, kita sudah tidak mengingatinya lagi. Ada suatu masa, ketika
membincangkan berkaitan perkara sunat dalam solat, saya menjadi kurang
yakin dengan apa yang saya tahu selama ini. Namun, setelah melakukan
pengajaran dan perbincangan di dalam kelas, saya juga dapat ‘recall’
semula pengetahuan tersebut, walaupun tidak semuanya. Syukur pada Allah.
Saya
rasa beruntung menjadi guru jQAF kerana saya kembali mempelajari
perkara asas yang kadang kala saya tidak ingat bagaimana istilahnya,
bagaimana perbincangannya dan sebagainya. Mungkin selama saya di
peringkat universiti, terlalu banyak perkara besar berkaitan umat dan
masyarakat, sehinggakan perkara asas sebegini tidak lagi diambil berat.
Kenapa? Kerana kita sudah di’set’kan di fikiran, perkara asas,ianya
sudah kita pelajari semasa di sekolah rendah dahulu. Jadi kenapa nak
dibelajar lagi tika di peringkat lebih tinggi?
Bagi saya, pendapat sebegini sudah lagi tidak boleh diterima. Setuju dengan saya? =)
Gambar Hiasan |
MELENTUR BULUH BIARLAH DARI REBUNGNYA
Benar
kata pepatah, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Kanak-kanak,
pada usia yang muda, begitu sesuai untuk dibentuk. Mereka begitu mudah
dan cepat belajar pada sesuatu benda yang baru. Oleh itu, tugas kita lah
yang mampu mencorakkan masa depan mereka, sama ada gemilang atau
sebaliknya.
Rebung
dikiaskan dengan usia anak-anak di peringkat muda, yang apabila dididik
dengan baik, dibentuk dengan sempurna, cukup dengan ilmu agama di
samping ilmu akademik di dunia, mampu untuk melahirkan ‘rebung’ iaitu
peringkat dewasanya anak-anak tersebut, menjadi ‘rebung’ yang baik dan
cantik, dan begitulah juga dengan masa depan anak-anak, supaya menjadi
cemerlang dan gemilang.
Namun,
jika salah didikannya, salah kaedah membentuknya, maka natijahnya
begitu besar buat masa depan anak-anak tersebut. Apabila salahnya nilai
keagamaan yang diterapkan, kurangkan contoh teladan yang baik pada
mereka, berkemungkinan mereka akan membesar dalam keadaan yang kurang
baik.
Dan
pada masa itu, kita tidak boleh menyalahkan mereka atas apa yang mereka
lakukan. Semuanya adalah tanggungjawab kita bersama. Ibu bapa di rumah
dan guru-guru di sekolah.
LENGKAPKAN DIRI DENGAN NILAI KEILMUAN
Guru-guru
terutama guru jQAF, tidak boleh hanya terikat dengan silibus pengajaran
di dalam kelas sahaja. Kita perlu memainkan peranan lebih daripada itu,
dengan membuka fikiran mereka (anak-anak) seterusnya memberikan mereka
peluang untuk menyumbang idea mereka sendiri tidak kira di dalam bilik
darjah mahupun di luarnya.
Bagi
saya, jika saya terlalu mengikut silibus dan mengejarnya hingga ke
akhir pengajian mereka, saya tidak akan dapat memberikan sebarang nilai
tambah buat anak-anak tersebut. Mereka tidak boleh dibentuk hanya dengan
berpandukan buku teks semata-mata. Mereka juga tidak boleh ditekankan
pada aspek peperiksaan, yang memerlukan mereka untuk lulus, dengan
cemerlang bagi menjamin masa depan mereka.
Benar,
peperiksaan penting dalam sistem pengajian di Malaysia, namun apakah
kita sanggup melihat anak-anak kita hanya lebih dalam sistem hafalan,
tapi kurang dari aspek kefahaman? Kajian dijalankan telah menunjukkan
pelajar kita sekarang hanya mahu lulus dalam pelajaran dengan kaedah
hafalan, berbanding kefahaman yang sepatutnya perlu lebih dipentingkan.
Oleh
sebab itu, kita guru-guru, terutamanya guru jQAF sendiri, perlu
melengkapkan diri kita dengan ilmu pengetahuan yang lebih luas, bukan
semata-mata tahu bidang agama, tapi kita harus tahu bidang sains,
matematik, geografi, sejarah, dan sebagainya. Dan jika perlu, kita
masukkan isu-isu semasa umat Islam kini, untuk tujuan membuka fikiran
mereka dengan lebih berkesan dan berhikmah.
TAHU DIRI SEBAGAI CONTOH
Kita
perlu sedar yang diri kita yang digelar guru, cikgu, ustaz, ustazah,
kita sentiasa diperhatikan. Tidak kira oleh anak murid, mahupun
masyarakat sekeliling. Mereka menilai guru-guru ini sebagai suatu contoh
yang terbaik, walaupun kadang kala guru tersebut melakukan suatu
keburukan.
Anak-anak
sebenarnya lebih cenderung menjadikan guru-guru mereka di sekolah
sebagai suri tauladan mereka di rumah atau di mana sahaja. Mereka lebih
berpegang pada kata-kata guru-guru mereka di sekolah, berbanding
kata-kata ibu bapa mereka di rumah. Dan, itulah hakikatnya betapa
hebatnya kuasa seorang guru.
Gambar Hiasan |
Justeru,
marilah kita menggunakan kesempatan ini untuk memberikan pengaruh yang
baik buat anak-anak, sebagai suatu kaedah pengajaran tidak formal,
secara efektif dan professional, bagi membentuk sebuah identiti
masyarakat yang berjaya bukan sahaja di dunia, malah di akhirat kelak.
pensil-tekan.blogspot.com
Suka perkongsian ini?