02 February 2012

Untungnya Menjadi Guru

Syukur pada Allah SWT atas segala nikmat kurnia yang dilimpahkan, yang membolehkan kita terus merasai nikmat hidup dalam Islam dan iman. Dalam entri kali ini, saya ingin berkongsi sedikit berkenaan dengan profesion keguruan yang saya pilih sekarang itu, jQAF. jQAF- suatu ringkasan kepada j – jawi, Q – Quran, A – Arab dan F – Fardhu Ain yang meliputi seluruh aspek keperluan pengajian agama kepada pelajar sekolah rendah.

Tika ini, saya rasa beruntung kerana diberikan amanah untuk mengajarkan anak-anak permulaan di sekolah rendah mengenai asas-asas agama Islam melalui status guru jQAF. Walaupun saya masih baru dalam memegang amanah ini, namun saya dapat merasakan amat selesa apabila bersama anak-anak kecil meniti hari-hari mereka dengan asas tarbiah Islam yang menarik, tersusun dan professional.

Gambar Hiasan
Dulu semasa di universiti, mungkin ramai di kalangan guru jQAF sendiri tidak memilih bidang perguruan, namun setelah tamat pengajian, bidang perguruan jugalah yang telah diceburi. Termasuklah saya. Dulu, pernah ada sahabat yang berpendapat, bila sudah tamat pengajian, kalau tiada kerja lain, pohonlah guru. Pada waktu itu, profesion keguruan adalah pilihan terakhir untuk mencari pekerjaan.


GURU PEKERJAAN MULIA

Pernah juga saya terfikir begitu. Namun setelah saya sendiri ‘menjerumuskan’ diri apabila menjadi guru sandaran selama 3 bulan selepas bergraduasi, saya amat merasakan, bidang perguruan adalah bidang yang menyeronokkan. 

Pertama, kerana sememangnya perbuatan yang terbaik ialah memberikan sesuatu yang bermanfaat kepada orang lain. Walaupun ada juga pekerjaan lain yang turut bersifat memberi, namun pekerjaan menjadi guru telah menjadikan urusan memberi itu dapat dipermudahkan secara langsung mahupun tidak langsung.
Keduanya, kerana pekerjaan mengajarkan suatu ilmu Allah yang luas ini dan menjadikan manusia berilmu dengan ilmu Allah SWT telah menjadikan minat saya untuk terus menjadi seorang pendidik semakin mendalam.

Pelbagai pengetahuan yang kita tahu dan mempunyai pengalaman dalamnya, boleh diturunkan kepada anak murid dengan lebih baik, tanpa ada sebarang masalah yang besar kerana sememangnya minat kita ke arah itu mendorong kita memberikannya dengan mudah dan berkesan.


SEMAKIN DEKAT DENGAN AL QURAN

Boleh dikatakan setiap hari, apabila adanya waktu pelajaran jQAF, al Quran semestinya bersama. Apabila dirujuk silibus jQAF, setiap murid perlu mengkhatamkan al Quran apabila sudah menghabiskan pengajian di sekolah rendah, iaitu di tahun 6. Maka tidak mustahil, mereka perlu membacanya setiap minggu mengikut ketetapan surah-surah tertentu, dengan bimbingan guru jQAF.

Ini secara tidak langsung, dapat memberikan peluang kepada guru jQAF bagi lebih mendalami al Quran, untuk diajarkan kepada anak murid, juga kepada diri sendiri. Inilah yang saya dapat rasakan. Untungnya menjadi guru jQAF, al Quran sentiasa dibacakan dan akan diamalkan secara berterusan dan istiqomah. Dengan izin Allah.


PERSOALAN MASALAH ASAS AGAMA

Dalam jQAF, adanya pengajaran ulum syariah yang berkisar mengenai perkara asas dalam Islam seperti akidah, ibadah, sirah dan sebagainya. Semuanya ini sememangnya tidak telah ketahui, tapi adakah semuanya kita dapat mengingatinya walaupun hanya perkara asas? Mungkin tidak bukan? 

Begitulah yang saya alami. Kadang kala ada juga perkara asas agama Islam yang dahulunya kita sudah mempelajarinya, tapi apabila sudah jarang diamalkan, kita sudah tidak mengingatinya lagi. Ada suatu masa, ketika membincangkan berkaitan perkara sunat dalam solat, saya menjadi kurang yakin dengan apa yang saya tahu selama ini. Namun, setelah melakukan pengajaran dan perbincangan di dalam kelas, saya juga dapat ‘recall’ semula pengetahuan tersebut, walaupun tidak semuanya. Syukur pada Allah.

Saya rasa beruntung menjadi guru jQAF kerana saya kembali mempelajari perkara asas yang kadang kala saya tidak ingat bagaimana istilahnya, bagaimana perbincangannya dan sebagainya. Mungkin selama saya di peringkat universiti, terlalu banyak perkara besar berkaitan umat dan masyarakat, sehinggakan perkara asas sebegini tidak lagi diambil berat. Kenapa? Kerana kita sudah di’set’kan di fikiran, perkara asas,ianya  sudah kita pelajari semasa di sekolah rendah dahulu. Jadi kenapa nak dibelajar lagi tika di peringkat lebih tinggi?

Bagi saya, pendapat sebegini sudah lagi tidak boleh diterima. Setuju dengan saya? =)

Gambar Hiasan


MELENTUR BULUH BIARLAH DARI REBUNGNYA

Benar kata pepatah, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Kanak-kanak, pada usia yang muda, begitu sesuai untuk dibentuk. Mereka begitu mudah dan cepat belajar pada sesuatu benda yang baru. Oleh itu, tugas kita lah yang mampu mencorakkan masa depan mereka, sama ada gemilang atau sebaliknya.

Rebung dikiaskan dengan usia anak-anak di peringkat muda, yang apabila dididik dengan baik, dibentuk dengan sempurna, cukup dengan ilmu agama di samping ilmu akademik di dunia, mampu untuk melahirkan ‘rebung’ iaitu peringkat dewasanya anak-anak tersebut, menjadi ‘rebung’ yang baik dan cantik, dan begitulah juga dengan masa depan anak-anak, supaya menjadi cemerlang dan gemilang.

Namun, jika salah didikannya, salah kaedah membentuknya, maka natijahnya begitu besar buat masa depan anak-anak tersebut. Apabila salahnya nilai keagamaan yang diterapkan, kurangkan contoh teladan yang baik pada mereka, berkemungkinan mereka akan membesar dalam keadaan yang kurang baik.

Dan pada masa itu, kita tidak boleh menyalahkan mereka atas apa yang mereka lakukan. Semuanya adalah tanggungjawab kita bersama. Ibu bapa di rumah dan guru-guru di sekolah.


LENGKAPKAN DIRI DENGAN NILAI KEILMUAN

Guru-guru terutama guru jQAF, tidak boleh hanya terikat dengan silibus pengajaran di dalam kelas sahaja. Kita perlu memainkan peranan lebih daripada itu, dengan membuka fikiran mereka (anak-anak) seterusnya memberikan mereka peluang untuk menyumbang idea mereka sendiri tidak kira di dalam bilik darjah mahupun di luarnya.

Bagi saya, jika saya terlalu mengikut silibus dan mengejarnya hingga ke akhir pengajian mereka, saya tidak akan dapat memberikan sebarang nilai tambah buat anak-anak tersebut. Mereka tidak boleh dibentuk hanya dengan berpandukan buku teks semata-mata. Mereka juga tidak boleh ditekankan pada aspek peperiksaan, yang memerlukan mereka untuk lulus, dengan cemerlang  bagi menjamin masa depan mereka.

Benar, peperiksaan penting dalam sistem pengajian di Malaysia, namun apakah kita sanggup melihat anak-anak kita hanya lebih dalam sistem hafalan, tapi kurang dari aspek kefahaman? Kajian dijalankan telah menunjukkan pelajar kita sekarang hanya mahu lulus dalam pelajaran dengan kaedah hafalan, berbanding kefahaman yang sepatutnya perlu lebih dipentingkan.

Oleh sebab itu, kita guru-guru, terutamanya guru jQAF sendiri, perlu melengkapkan diri kita dengan ilmu pengetahuan yang lebih luas, bukan semata-mata tahu bidang agama, tapi kita harus tahu bidang sains, matematik, geografi, sejarah, dan sebagainya. Dan jika perlu, kita masukkan isu-isu semasa umat Islam kini, untuk tujuan membuka fikiran mereka dengan lebih berkesan dan berhikmah.


TAHU DIRI SEBAGAI CONTOH

Kita perlu sedar yang diri kita yang digelar guru, cikgu, ustaz, ustazah, kita sentiasa diperhatikan. Tidak kira oleh anak murid, mahupun masyarakat sekeliling. Mereka menilai guru-guru ini sebagai suatu contoh yang terbaik, walaupun kadang kala guru tersebut melakukan suatu keburukan.

Anak-anak sebenarnya lebih cenderung menjadikan guru-guru mereka di sekolah sebagai suri tauladan mereka di rumah atau di mana sahaja. Mereka lebih berpegang pada kata-kata guru-guru mereka di sekolah, berbanding kata-kata ibu bapa mereka di rumah. Dan, itulah hakikatnya betapa hebatnya kuasa seorang guru.

Gambar Hiasan
Justeru, marilah kita menggunakan kesempatan ini untuk memberikan pengaruh yang baik buat anak-anak, sebagai suatu kaedah pengajaran tidak formal, secara efektif dan professional, bagi membentuk sebuah identiti masyarakat yang berjaya bukan sahaja di dunia, malah di akhirat kelak.
 
pensil-tekan.blogspot.com

Suka perkongsian ini?



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Copyright© All Rights Reserved Pensil-tekan.blogspot.com