Seorang penulis Islam yang juga tokoh politik yang pernah menjadi senator, Almarhum Amaluddin Darus yakin bahawa Al-Masih Ad-Dajjal keluar menguasai seluruh manusia di dunia dan juga umat Islam tepat pada tanggal 20 Jamadil-Awwal 857 Hijriah atau bersamaan 29 Mei 1453.
Amaluddin Darus menegaskan keyakinannya itu pada tahun 1980 melalui sebuah buku yang diterbitkannya sendiri (Abad Enterprise) berjudul Impian Yahudi Menjelang Ajalnya.
Gambar Hiasan |
DAJJAL BERMULA PADA DINASTI UTHMANIAH?
Berdasarkan sebuah hadis Nabi yang terdapat dalam Sunan Abu Daud, serta perkembangan sejarah Barat dan umat Islam, Amaluddin Darus percaya bahawa tanda-tanda kemunculan Dajjal ialah apabila tertakluknya Konstantinopel (Istanbul) ke tangan umat Islam melalui Sultan Muhammad Al-Fateh – Sultan Turki Dinasti Uthmaniah.
Hal ini dinyatakan beliau bersandarkan sebuah hadis yang bermaksud,
“Kemakmuran Baitulmaqdis tanda kelumpuhan Madinah, dan lumpuhnya Madinah tanda timbulnya peperangan-peperangan dan berlakunya peperangan-peperangan yang besar tanda jatuhnya kota Konstantinopel, dan jatuhnya kota Konstantinopel tanda keluarnya Dajjal”.
Beliau menegaskan,
“Sesungguhnya kejadian-kejadian yang telah berlaku tepat seperti yang telah diberitahu oleh Rasulullah SAW seperti hadis di atas ini bermakna sudah beratus tahun lamanya, iaitu sejak selepas 20 Jamadil Awal 857 Hijriah bersamaan 29 Mei 1453 Masihi, Dajjal telah keluar menipudaya manusia Kristian dan Muslimin dan lain-lain supaya menurut jalan-jalan yang diatur olehnya bagi kehancuran manusia dan menjadikan manusia berpaling dari jalan Allah dan tidak berterima kasih kepada Allah”.
Amaluddin Darus merupakan penulis yang gemar berbicara tentang Dajjal Akhir Zaman. Beliau yakin, kuasa Dajjal merupakan kuasa konspirasi Zionisme yang menguasai dunia melalui tamadun moden Barat, yang bermula selepas Zaman Pertengahan Eropah, di mana kuasa gereja mendominasi politik Eropah.
Persoalannya, apakah pandangan Amaluddin Darus yang menegaskan bahawa Dajjal Akhir Zamantelah muncul pada tahun 1453 Masihi, iaitu bersempena kejayaan Sultan Muhammad Al-Fatih menawan kota Konstantinopel yang kemudiannya berganti nama sebagai Istanbul masih relevan sehingga sekarang.
Jawapannya adalah 'ya' jika kita mengkaji dan mendalami maksud hadis Abu Daud yang dijadikan hujah oleh Ustaz Amaluddin Darus itu bersama-sama sejarah perkembangan peradaban Barat (Dunia Kristian) moden atau Eropah, dan juga sejarah umat Islam.
BENARKAH DAKWAAN TERSEBUT?
Mari kita menganalisis hadis Abu Daud yang menegaskan bahawa kemakmuran Baitulmaqdis, tanda mundurnya Madinah (Yathrib). Kita dapati bahawa selepas kematian Khalifah Uthman, umat Islam mengalami krisis politik yang hebat, dan Madinah Al-Munawwarah tidak lagi berfungsi sebagai pusat kekhalifahan Islam atau pusat politik Islam.
Pada zaman bermulanya Dinasti Umaiyyah (661-750M) yang dipelopori oleh Mu'awiyah bin Abi Sufyan, pusat pemerintahan umat Islam atau pusat politik Islam berada di Syam. Sebagaimana yang kita tahu, Baitulmaqdis terletak di wilayah Syam.
Kemudian, Dinasti Abbasiyyah (750-1258M) yang menggantikan Dinasti Umaiyyah memindahkan pusat pemerintahan ke Iraq. Ketika itu, Baitulmaqdis mengalami pembangunan dan kemakmuran. Ahli sejarah mengatakan, pungutan cukai dari Baitulmaqdis amat memberangsangkan semasa pemerintahan Bani Abbasiyyah.
Jelaslah bahawa hadis Abu Daud yang dipetik Amaluddin Darus untuk membuktikan kelahiran Dajjal itu, mengisahkan realiti politik selepas tamatnya pemerintahan Khalifah Ar-Rasyidin (Saidina Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali RA)
Gambar Hiasan |
Kemudian hadis Abu daud mengatakan kemunduran Madinah tanda munculnya peperangan-peperangan. Peperangan-peperangan yang dimaksudkan oleh hadis ini lebih menunjukkan kepada peperangan yang dilancarkan oleh umat Islam terhadap Barat atau Dunia Kristian. Dan lambang kekuasaan Kristian pada masa itu adalah kota Konstantinopel (Istanbul).
Setelah menjadi khalifah dan mencipta Dinasti Umaiyyah, Mua'wiyah bin Abi Sufyan segera membangunkan kekuatan tentera untuk menyerang dan merebut kota Konstantinopel.
Mu'awiyah pernah memimpin angkatan tentera muslimin untuk merebut kota Konstantinopel dan usaha itu diteruskan ketika beliau menjadi khalfah selepas Saidina Ali RA. Usahanya itu bermula pada tahun 668M , iaitu tujuh tahun setelah menyandang jawatan khalifah umat Islam.
Sejak itu, cita-cita khalifah Islam untuk menakluk kota Konstantinopel tidak pernah tamat. Setelah mengambil masa lapan abad, barulah umat Islam berjaya menakluk kota Konstantinopel. Kota itu akhirnya jatuh ke dalam kekuasaan kekhalifan Islam Dinasti Uthmaniyah.
KISAH YANG SUDAH DITERANGKAN OLEH HADIS
Jadi secara rasionalnya, hadis Abu daud berkenaan kemunduran Madinah, makmurnya Baitulmaqdis, muncul peperangan-peperangan dan tertakluknya Konstantinopel merupakan hadis yang sudah menjadi realiti sejarah semenjak pusat pemerintahan politik umat Islam (Khalifah Muslimin) berpindah meninggalkan Madinah sehingga jatuhnya Konstantinopel ke tangan umat Islam.
Cuma apa yang tinggal, bagaimana untuk menghubungkaitkan kejatuhan kota konstantinopel dengan keluarnya Dajjal? Kenapa Nabi SAW tidak menyebut jatuhnya dan berakhirnya pemerintahan Islam di Sepanyol sebagai tanda keluarnya Dajjal?
Kejatuhan Sistem Khilafah Islamiyah yang terakhir (Khalifah Uthmaniyah) yang berpusat di kota Konstantinopel di tangan Mustafa Kamal Attaturk, maka bermulalah Al-Masih Dajjal menjarah dunia selama satu hari bersamaan setahun yang berpusat di sebuah pulau di Eropah. Kemudian beralih tempat di pulau baru selama satu hari bersamaan sebulan. Sebelum kembali ke Holy Land bagi memerintah dunia selama satu hari bersamaan seminggu dan diikuti hari-hari lain sama seperti hari-hari biasa selama tiga puluh tujuh hari.
Wallahu a'alam.
Gambar Hiasan |
pensil-tekan.blogspot.com
No comments:
Post a Comment
Assalamualaikum...
# Sebarang komen adalah amat dialu-alukan.
# Komen yang dihantar akan dibalas secepat mungkin.
# Terima kasih kerana sudi membaca di sini.
# Jangan lupa, datang lagi! =)