Saya ada terbaca status seseorang di Facebook yang
mengatakan sistem pendidikan di sekolah-sekolah kini tidak sesuai dengan tahap
penerimaan dan pemikiran murid-murid sekarang. Ini jelas dilihat di peringkat
sekolah rendah lagi. Benarkah? Syukur kepada Allah kerana saya telah diberi
peluang mengajar dalam 3 peringkat pengajian, di universiti, sekolah menengah
dan rendah. Dapat juga saya timba ilmu dan pengalaman berharga di setiap
peringkat pengajian tersebut.
Namun apabila disentuh sistem pendididikan di sekolah rendah
menjadi masalah utama kepada pemikiran murid-murid, saya juga ingin
membenarkannya kenyataan tersebut. Kenapa saya bersetuju dengan kenyataan itu?
insyaAllah di sini saya akan menjelaskan beberapa perkara yang saya lihat dari
kaca mata saya yang mungkin ada benarnya dan mungkin ada silapnya. Ini adalah
pendapat peribadi saya. Jika pembaca ada pendapat yang lain, amat saya
alu-alukan.
TAK PERCAYA SISTEM ATAU TIDAK PERCAYA PADA ANAK?
Ramai di kalangan ibu bapa yang menghantar anak mereka ke
pusat tuisyen. Tidak kurang juga yang membuat tusyen di rumah dengan membawa
guru dari luar untuk mengajar anak mereka di rumah sendiri. Apabila ditinjau
kenapa situasi ini terjadi, ada yang mengatakan pelajaran di sekolah tidak
mencukupi. Ada juga yang mengatakan guru yang mengajar di sekolah tidak pandai
mengajar. Benarkah?
Bagi saya, ianya ada pro dan kontranya. Kalau kita hantar
anak-anak kita ke pusat-pusat tusyen, itu merupakan usaha yang sangat baik. Masa
anak-anak pun boleh diisi dengan pelajaran bermanfaat. Mereka juga akan
mendapat ilmu pengetahuan tambahan di pusat-pusat tusyen. Baguslah. Begitu juga
dengan situasi tusyen di rumah. Mungkin ibu bapa tidak sempat untuk menghantar
anak-anak ke pusat tusyen kerana sibuk bekerja atau sebagainya. Atau mungkin
juga hal sebenarnya, ibu bapa kini tidak percayakan anak mereka sendiri untuk
belajar di sekolah atau di pusat tusyen?
Sistem yang digubal kini adalah mengikut keadaan semasa
prestasi murid di dalam pelajaran. Pelbagai usaha telah dibuat dan dirangka
bagi menjayakan matlamat ini. Oleh itu, jangan salahkan sistem jika anak-anak
kita kurang menyerlah dalam pelajaran. Semua itu adalah atas inisiatif dan
tindakan kita untuk membentuk mereka ke arah jalan sempurna.
TAHUN 1 TAK RETI BACA DAH NAIK TAHUN 2
Pernah saya terbaca dalam beberapa artikel yang mengatakan
murid sekolah rendah, jika tidak boleh mencapai tahap yang ditetapkan di
tiap-tiap tahun (contoh tahun 1 boleh membaca menulis dan mengira subjek asas),
murid tersebut perlu tetap di tahun tersebut hingga dia boleh mencapai tahap
yang diperlukan, walaupun umurnya 9 tahun! Patutkah?
Bagi saya, perlu untuk kita mengikut sistem yang sedia ada
(tahun tertentu untuk peringkat umur tertentu) bagi setiap murid. Alasan saya,
kerana motivasi murid mungkin akan terganggu jika mereka masih tetap di tahun 1
walaupun umur sudah mencapai 9 tahun yang sepatutnya berada di tahun 3. Kerana itulah
adanya sistem kelas pemulihan. Saya lihat sendiri, ada seorang murid yang dari tahun
1 tidak boleh membaca. Namun setelah masuk kelas pemulihan yang diajarkan guru
dengan cara dan kaedah yang sesuai, murid tersebut berjaya menbaca dengan baik,
pada tahun 3. Itu merupakan kejayaan yang besar untuk murid dan guru terbabit.
Ini adalah atas peranan guru sebagai pendidik dan pembimbing
anak murid untuk berjaya. Kita perlu sedar bahawa setiap murid bahkan manusia
itu sendiri mempunyai tahap penerimaan yang berbeza. Namun semuanya itu adalah
menuju matlamat yang sama iaitu untuk berjaya. Oleh itu, tugas guru yang
dibantu peranan ibu bapalah yang akan mencorak kejayaan anak-anak, yang bezanya
hanya masanya, sama ada cepat atau lambat.
PERLUKAH SISTEM PEPERIKSAAN DITERUSKAN?
Jawapan saya, perlu. Kerana sistem peperiksaan yang sudah
diamalkan dari dulu lagi yang memberikan lebih kesan positif kepada
perkembangan prestasi pelajaran individu. Setuju? Mungkin ada yang tidak. Baiklah,
bagi saya, sistem peperiksaan ini perlu diteruskan, jangan ditinggalkan semua. Seperti
contoh pelaksanaan KSSR untuk murid sekolah rendah. Bagi saya, sememangnya
sistem KSSR perlu dilakukan bagi menjana transformasi pendidikan dan membentuk
modal insan murid, namun sistem peperiksaan juga perlu diselitkan.
Mungkin saya sangat-sangat baru bergelar guru, namun apa
yang saya lihat, keberkesanan sistem pembelajaran berteraskan peperiksaan juga
mempunyai impak yang berkesan dan positif. Jikalau tidak, masakan ramai pelajar
dahulu yang sudah berjaya hasil dari sistem ini.
KSSR yang berdasarkan pembuktian hasil kerja murid dan
penilaian berterusan sebenarnya memberikan lebih kerja kepada guru berbanding
penumpuan guru terhadap prestasi pelajaran murid. Oleh kerana guru perlu
menyediakan fail-fail berkaitan untuk diselia dan sebagainya, menyebabkan
kadang-kala tugas sebenar guru untuk mendidik dan mengajar sedikit tertanggu
dan tergugat.
Setelah itu, setiap tugasan murid perlu didokumenkan bagi
setiap murid untuk menilai prestasi berterusan murid tersebut. Jika satu kelas
mungkin tidak menjadi masalah, tetapi jika dua atau tiga kelas? Fikir-fikirkan.
Ramai ibu bapa yang bertanyakan keputusan peperiksaan
anak-anak mereka apabila selesai peperiksaan bulanan atau penggal. Mereka akan
bertanyakan berapa ‘A’ yang diperoleh dan kedudukan ke berapa di dalam kelas. Akan
tetapi, sistem peperiksaan yang dijalankan tiada diberi markah, kalau ada pun,
tidak dijadikan markah tersebut sebagai markah rasmi murid tersebut. Jadi bolehkan
dinilai keputusan prestasi anak-anak mereka itu jika tiada markah pencapaian
mereka?
Maka, kesannya, murid-murid hilang rasa kurang sikap ingin bersaing
dengan rakan-rakan yang lain. Dan ibu bapa juga akan ambil sikap endah tak
endah kepada prestasi anak mereka kerana sebelum ini penilaian adalah
berdasarkan pemarkahan. Tapi bila tiada markah, tak perlulah ambil tahu kerana
bukan ada markah pun!
SISTEM MODEN VS TRADISIONAL
Sistem pengajaran moden adalah menekankan pembelajaran
interaksi yang mendorong murid berfikiran terbuka dan maju ke hadapan. Akan tetapi
bolehkan sistem ini dilaksanakan di setiap peringkat pemikiran murid. Saya telah
melalui tempoh praktikum, yang saya percaya terlalu sedikit pengalaman
berbanding guru yang telah lama mengajar. Namun apa yang saya lihat, kadang
kala sistem pengajaran berteraskan ICT dan permainan interaktif ini tidak
sesuai untuk sesetengah murid. Contohnya, untuk murid yang terlalu aktif, yang
dalam fikiran mereka hanya ingat nak bermain saja, takkan guru masih hulurkan
permainan untuk mereka?
Betul guru perlu bijak menggunakan minat dan kemahuan murid
untuk tarik mereka supaya minat dan mahu belajar. Namun guru juga perlu
fleksibel dalam mengajar. Kadang kala sistem pendidikan secara tradisional juga
berkesan kepada mereka. Penumpuan kepada pengajaran di samping menyelitkan
cerita-cerita tauladan serta memberikan hukuman atau denda sewajarkan kepada
murid, adalah perkara yang perlu juga diamalkan. Kerana apa? Kerana murid-murid
tidak boleh terlalu dimanjakan! Setuju?
DIDIK ANAK DENGAN NILAI AGAMA
Sistem pendidikan sekarang adalah bertepatan dan bersesuaian
dengan iklim pendidikan murid di negara ini. Akan tetapi, ia hanya sesuai untuk
sesetengah golongan murid dan tidak perlulah untuk mengajar hanya mengikut
kaedah sedia ada jika kaedah tersebut tidak berkesan kepada murid. Guru perlu
bijak dan kreatif dalam mengajar. Jika perlu menghukum, hukumlah demi kebaikan.
Dan kepada ibu bapa, jika suatu ketika dahulu ibu bapa kita lebih bersetuju jika
kita dihukum untuk kebaikan, takkan kita tidak boleh lakukannya sekarang demi
kebaikan anak-anak kita sekarang?
Jangan kerana terlalu sayangkan anak, semua perkara yang
anak kita buat, semuanya betul, semuanya perlu dituruti. Anak perlu dinombor
satukan, namun guru jangan dinombor duakan. Setuju? Oleh itu, sewajarnya perkara
penting yang perlu diterapkan sejak anak-anak kecil ialah nilai pendidikan agama.
Didiklah mereka mengikut acuan agama sepenuhnya dan dedahkan mereka dengan
nilai agama yang baik, tidak kira sama ada ketika di sekolah atau di mana
sahaja. Kerana Islam adalah agama yang paling tinggi, tiada yang tinggi selain
dari Islam.
Wallahu’alam.Sekadar perkongsian.
pensil-tekan.blogspot.com