25 June 2012

Sistem Pendidikan Sekarang Bermasalah?

Saya ada terbaca status seseorang di Facebook yang mengatakan sistem pendidikan di sekolah-sekolah kini tidak sesuai dengan tahap penerimaan dan pemikiran murid-murid sekarang. Ini jelas dilihat di peringkat sekolah rendah lagi. Benarkah? Syukur kepada Allah kerana saya telah diberi peluang mengajar dalam 3 peringkat pengajian, di universiti, sekolah menengah dan rendah. Dapat juga saya timba ilmu dan pengalaman berharga di setiap peringkat pengajian tersebut.

Namun apabila disentuh sistem pendididikan di sekolah rendah menjadi masalah utama kepada pemikiran murid-murid, saya juga ingin membenarkannya kenyataan tersebut. Kenapa saya bersetuju dengan kenyataan itu? insyaAllah di sini saya akan menjelaskan beberapa perkara yang saya lihat dari kaca mata saya yang mungkin ada benarnya dan mungkin ada silapnya. Ini adalah pendapat peribadi saya. Jika pembaca ada pendapat yang lain, amat saya alu-alukan.


TAK PERCAYA SISTEM ATAU TIDAK PERCAYA PADA ANAK?

Ramai di kalangan ibu bapa yang menghantar anak mereka ke pusat tuisyen. Tidak kurang juga yang membuat tusyen di rumah dengan membawa guru dari luar untuk mengajar anak mereka di rumah sendiri. Apabila ditinjau kenapa situasi ini terjadi, ada yang mengatakan pelajaran di sekolah tidak mencukupi. Ada juga yang mengatakan guru yang mengajar di sekolah tidak pandai mengajar. Benarkah? 

Bagi saya, ianya ada pro dan kontranya. Kalau kita hantar anak-anak kita ke pusat-pusat tusyen, itu merupakan usaha yang sangat baik. Masa anak-anak pun boleh diisi dengan pelajaran bermanfaat. Mereka juga akan mendapat ilmu pengetahuan tambahan di pusat-pusat tusyen. Baguslah. Begitu juga dengan situasi tusyen di rumah. Mungkin ibu bapa tidak sempat untuk menghantar anak-anak ke pusat tusyen kerana sibuk bekerja atau sebagainya. Atau mungkin juga hal sebenarnya, ibu bapa kini tidak percayakan anak mereka sendiri untuk belajar di sekolah atau di pusat tusyen?

Sistem yang digubal kini adalah mengikut keadaan semasa prestasi murid di dalam pelajaran. Pelbagai usaha telah dibuat dan dirangka bagi menjayakan matlamat ini. Oleh itu, jangan salahkan sistem jika anak-anak kita kurang menyerlah dalam pelajaran. Semua itu adalah atas inisiatif dan tindakan kita untuk membentuk mereka ke arah jalan sempurna.


TAHUN 1 TAK RETI BACA DAH NAIK TAHUN 2

Pernah saya terbaca dalam beberapa artikel yang mengatakan murid sekolah rendah, jika tidak boleh mencapai tahap yang ditetapkan di tiap-tiap tahun (contoh tahun 1 boleh membaca menulis dan mengira subjek asas), murid tersebut perlu tetap di tahun tersebut hingga dia boleh mencapai tahap yang diperlukan, walaupun umurnya 9 tahun! Patutkah?

Bagi saya, perlu untuk kita mengikut sistem yang sedia ada (tahun tertentu untuk peringkat umur tertentu) bagi setiap murid. Alasan saya, kerana motivasi murid mungkin akan terganggu jika mereka masih tetap di tahun 1 walaupun umur sudah mencapai 9 tahun yang sepatutnya berada di tahun 3. Kerana itulah adanya sistem kelas pemulihan. Saya lihat sendiri, ada seorang murid yang dari tahun 1 tidak boleh membaca. Namun setelah masuk kelas pemulihan yang diajarkan guru dengan cara dan kaedah yang sesuai, murid tersebut berjaya menbaca dengan baik, pada tahun 3. Itu merupakan kejayaan yang besar untuk murid dan guru terbabit.

Ini adalah atas peranan guru sebagai pendidik dan pembimbing anak murid untuk berjaya. Kita perlu sedar bahawa setiap murid bahkan manusia itu sendiri mempunyai tahap penerimaan yang berbeza. Namun semuanya itu adalah menuju matlamat yang sama iaitu untuk berjaya. Oleh itu, tugas guru yang dibantu peranan ibu bapalah yang akan mencorak kejayaan anak-anak, yang bezanya hanya masanya, sama ada cepat atau lambat.



PERLUKAH SISTEM PEPERIKSAAN DITERUSKAN?

Jawapan saya, perlu. Kerana sistem peperiksaan yang sudah diamalkan dari dulu lagi yang memberikan lebih kesan positif kepada perkembangan prestasi pelajaran individu. Setuju? Mungkin ada yang tidak. Baiklah, bagi saya, sistem peperiksaan ini perlu diteruskan, jangan ditinggalkan semua. Seperti contoh pelaksanaan KSSR untuk murid sekolah rendah. Bagi saya, sememangnya sistem KSSR perlu dilakukan bagi menjana transformasi pendidikan dan membentuk modal insan murid, namun sistem peperiksaan juga perlu diselitkan.

Mungkin saya sangat-sangat baru bergelar guru, namun apa yang saya lihat, keberkesanan sistem pembelajaran berteraskan peperiksaan juga mempunyai impak yang berkesan dan positif. Jikalau tidak, masakan ramai pelajar dahulu yang sudah berjaya hasil dari sistem ini. 

KSSR yang berdasarkan pembuktian hasil kerja murid dan penilaian berterusan sebenarnya memberikan lebih kerja kepada guru berbanding penumpuan guru terhadap prestasi pelajaran murid. Oleh kerana guru perlu menyediakan fail-fail berkaitan untuk diselia dan sebagainya, menyebabkan kadang-kala tugas sebenar guru untuk mendidik dan mengajar sedikit tertanggu dan tergugat.

Setelah itu, setiap tugasan murid perlu didokumenkan bagi setiap murid untuk menilai prestasi berterusan murid tersebut. Jika satu kelas mungkin tidak menjadi masalah, tetapi jika dua atau tiga kelas? Fikir-fikirkan.

Ramai ibu bapa yang bertanyakan keputusan peperiksaan anak-anak mereka apabila selesai peperiksaan bulanan atau penggal. Mereka akan bertanyakan berapa ‘A’ yang diperoleh dan kedudukan ke berapa di dalam kelas. Akan tetapi, sistem peperiksaan yang dijalankan tiada diberi markah, kalau ada pun, tidak dijadikan markah tersebut sebagai markah rasmi murid tersebut. Jadi bolehkan dinilai keputusan prestasi anak-anak mereka itu jika tiada markah pencapaian mereka? 

Maka, kesannya, murid-murid hilang rasa kurang sikap ingin bersaing dengan rakan-rakan yang lain. Dan ibu bapa juga akan ambil sikap endah tak endah kepada prestasi anak mereka kerana sebelum ini penilaian adalah berdasarkan pemarkahan. Tapi bila tiada markah, tak perlulah ambil tahu kerana bukan ada markah pun!


SISTEM MODEN VS TRADISIONAL

Sistem pengajaran moden adalah menekankan pembelajaran interaksi yang mendorong murid berfikiran terbuka dan maju ke hadapan. Akan tetapi bolehkan sistem ini dilaksanakan di setiap peringkat pemikiran murid. Saya telah melalui tempoh praktikum, yang saya percaya terlalu sedikit pengalaman berbanding guru yang telah lama mengajar. Namun apa yang saya lihat, kadang kala sistem pengajaran berteraskan ICT dan permainan interaktif ini tidak sesuai untuk sesetengah murid. Contohnya, untuk murid yang terlalu aktif, yang dalam fikiran mereka hanya ingat nak bermain saja, takkan guru masih hulurkan permainan untuk mereka?

Betul guru perlu bijak menggunakan minat dan kemahuan murid untuk tarik mereka supaya minat dan mahu belajar. Namun guru juga perlu fleksibel dalam mengajar. Kadang kala sistem pendidikan secara tradisional juga berkesan kepada mereka. Penumpuan kepada pengajaran di samping menyelitkan cerita-cerita tauladan serta memberikan hukuman atau denda sewajarkan kepada murid, adalah perkara yang perlu juga diamalkan. Kerana apa? Kerana murid-murid tidak boleh terlalu dimanjakan! Setuju?



DIDIK ANAK DENGAN NILAI AGAMA

Sistem pendidikan sekarang adalah bertepatan dan bersesuaian dengan iklim pendidikan murid di negara ini. Akan tetapi, ia hanya sesuai untuk sesetengah golongan murid dan tidak perlulah untuk mengajar hanya mengikut kaedah sedia ada jika kaedah tersebut tidak berkesan kepada murid. Guru perlu bijak dan kreatif dalam mengajar. Jika perlu menghukum, hukumlah demi kebaikan. Dan kepada ibu bapa, jika suatu ketika dahulu ibu bapa kita lebih bersetuju jika kita dihukum untuk kebaikan, takkan kita tidak boleh lakukannya sekarang demi kebaikan anak-anak kita sekarang?

Jangan kerana terlalu sayangkan anak, semua perkara yang anak kita buat, semuanya betul, semuanya perlu dituruti. Anak perlu dinombor satukan, namun guru jangan dinombor duakan. Setuju? Oleh itu, sewajarnya perkara penting yang perlu diterapkan sejak anak-anak kecil ialah nilai pendidikan agama. Didiklah mereka mengikut acuan agama sepenuhnya dan dedahkan mereka dengan nilai agama yang baik, tidak kira sama ada ketika di sekolah atau di mana sahaja. Kerana Islam adalah agama yang paling tinggi, tiada yang tinggi selain dari Islam.

Wallahu’alam.Sekadar perkongsian.



pensil-tekan.blogspot.com



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Copyright© All Rights Reserved Pensil-tekan.blogspot.com