Saya
pernah ditanya berkenaan bacaan yasiin pada setiap malam Jumaat. Mungkin
yang bertanya ingin tahu, adakah perbuatan bacaan yasiin pada
malam-malam jumaat itu dituntut dan sebahagian dari sunnah nabi. Mungkin
juga beliau ingin tahu, apakah salah orang yang menjadikan bacaan
yasiin malam jumaat, sebagai amalan mingguan atau kewajipan dalam
amalan. Jadi pada kali ini, saya akan memberikan jawapan sekadar yang
saya mampu berdasarkan dalil-dalil dan hujah yang berkaitan dengannya.
Memang
tidak dinafikan, bacaan yasiin pada setiap malam Jumaat, telah menjadi
adat kebiasaan bagi orang-orang Melayu, bahkan ia telah mula diamalkan
sejak dari dulu lagi. Tidak sah kalau tidak dibacakan yasiin pada
malam-malam Jumaat. Serba tidak lengkap. Saya pernah bertanya kepada
seorang pakcik di kampung saya, “Pakcik, kenapa perlu baca surah yasiin
pada malam Jumaat? Kenapa tidak dibacakan surah lain? Maksudnya, tidak
ditetapkan hanya surah yasiin dibacakan pada malam Jumaat.” Kata pakcik
tersebut dengan ringkas, “Dah memang dari dulu lagi orang duk baca surah
yasiin, kita ikut saja la.”
Sumber: Google Search |
Itulah
masalahnya. Sampai adakalanya, sesetengah dari kalangan kita, hanya
mengenali surah yasiin saja, bahkan ada yang terkejut, surah yasiin ini
adalah sebahagian dari al-Quran. Maklumlah, hanya baca yasiin seminggu
sekali, yang menggunakan buku yasiin itu saja. Itu pun di masjid, dan
ada jamuan makan.
Pernah
semasa saya tinggal di asrama dulu, abang-abang senior pernah berkata,
“Kita kena baca yasiin malam Jumaat, sebab yasiin boleh jadi penghalang
kejahatan, hantu-hantu. Kan hantu banyak keluar pada malam Jumaat.” Hah,
apakah???
FADHILAT BACA SURAH YASIIN
Kebanyakkan
dari masyarakat kita, beramal dengan surah yasiin atas dasar
pengetahuan berkenaan fadhilat membacanya. Namun, setelah diteliti,
kebanyakkan hadis-hadis yang diketahui umum mengenai fadhilatnya, adalah
lemah dan palsu. Perlu ditegaskan disini, apabila ditegakkan apa yang
bukan bersumberkan dari Nabi Muhammad dan berdusta atas namanya, maka
ancaman neraka adalah lebih layak baginya.
Hadis-hadis
ini selalunya membawa fadhilat yang begitu besar ganjarannya, yang
kadang kala tidak mampu diterima akal. Hanya melakukan sedikit kebaikan,
ganjaran yang diberikan, tidak setimpal dengan usaha. Contoh satu
hadis, yang diriwayatkan oleh Baihaqi dalam kitab Syu’abul Iman, yang
bermaksud,
“Sesiapa yang membaca surah yasiin satu kali, seolah-olah ia membaca al-Quran 10 kali.”
Lihat
betapa besar ganjarannya berbanding usaha yang dilakukan. Maka, hadis
ini telah dikategori sebagai hadis palsu. Lihat Dha’if Jami’ush Shagir
oleh Sheikh al-Albani.
Begitu juga dengan hadis ini,
“Sesungguhnya setiap sesuatu mempunyai hati dan hati al-Quran itu ialah surah yasiin. Siapa yang membacanya maka Allah akan memberikan pahala bagi bacaannya itu seperti pahala membaca al-Quran sepuluh kali.” Hadis riwayat at-Tirmidzi dan ad-Darimi.
Penjelasan: Di dalamnya, terdapat Muqatil
bin Sulaiman. Ayah Ibn Abi Hatim berkata, “Aku mendapati hadis ini di
awal kitab yang disusun oleh Muqatil bin Sulaiman. Dan ini adalah hadis
yang batil, tidak ada asalnya. Lihat Silsilah Hadis Dhai’f. imam Waqi’
berkata, “Ia adalah seorang pendusta.” Kata Imam Nasa’I, “Muqatil bin
Sulaiman sering berdusta.”
Mengenai
fadhilat membaca surah yasiin pada malamnya, seperti yang dinyatakan
oleh Ibnu Jauzi dalam kitabnya, al-Maudhu’arat, dengan mengambil satu
hadis, yang bermaksud,
“Sesiapa yang membaca surah Yasiin dalam suatu malam, maka ketika ia bangun pagi hari diampuni dosanya dan sesiapa yang membaca surah ad-Dukhan pada malam Jumaat maka ketika ia bangun pagi hari, diampuni dosanya.”
Ibnu
Jauzi mengatakan, hadis ini dari semua jalannya adalah batil, tiada
asalnya. Imam Daruquthni berkata, “Muhammad bin Zakaria yang ada dalam
sanad hadis ini adalah orang yang memalsukan hadis.”
Banyak
lagi hadis-hadis lemah dan palsu yang menyebut tentang fadhilat membaca
surah yasiin yang telah mengelirukan kita. Seharusnya kita perlu
berjaga-jaga dalam melakukan sebarang amalan, takut-takut amalan yang
dilakukan tidak berlandaskan syariat, maka akan sia-sia usaha kita.
Gambar Hiasan |
ADAT MEMBACA YASIIN PADA MALAM JUMAAT
Masyarakat
kita mungkin telah menjadikan kebiasaan membaca yasiin pada malam
Jumaat sebagai suatu acara wajib. Kalau tak baca surah yasiin malam
Jumaat, tak sah katanya. Inilah pegangan atau iktiqad yang salah. Mereka
telah menjadikan membaca surah yasiin pada malam Jumaat sebagai suatu
yang wajib, walhal ianya tidak pun disuruh oleh Nabi Muhammad untuk
diamalkan.
Memang
ada yang mengatakan, kenapa perlu dihentikan majlis membaca yasiin
beramai-ramai di masjid, kerana orang sekarang telah jauh dengan
al-Quran. Maka, inilah antara cara untuk mendekatkan masyarakat dengan
al-Quran. Kan ini perkara yang baik.
Jawapan
saya, memanglah masalah ini ada dalam masyarakat, akan tetapi pegangan
atau iktiqad bahawa PERLU membaca yasiin pada MALAM JUMAAT, tidak boleh
membaca surah lain, atau pada malam yang lain, adalah suatu yang tidak
bertepatan dengan ajaran Islam.
Dalam
hal ini, kita tidak perlu untuk menjatuhkan sebarang hukum yang
kadang-kadang kita sendiri pun belum pasti sumbernya. Namun, apa yang
boleh dibuat, beramallah sekadar pengetahuan kita. Jika tidak tahu atau
tidak pasti, bertanyalah pada ahlinya (orang yang mengetahui). Dan yang
paling penting, beramallah dengan nas dan dalil yang sahih, kerana
apabila kita beramal dengan sesuatu yang tidak bersumberkan dari al-Quran mahupun sunnah, kita akan tergelincir ke dalam perkara bid’ah dan sesat.
BID’AHKAH BACA YASIIN MALAM JUMAAT?
Soal
bid’ah atau tidak, saya tidak mampu untuk menjawabnya kerana saya tidak
layak untuk menjatuhkan sebarang hukum. Namun, dari pembacaan dan
penelitian saya, sememangnya tiada dalil khusus yang didapati dari
al-Quran mahupun sunnah nabi berkenaan keperluan membaca yasiin pada
malam Jumaat.
Ada
sesetengah golongan yang menyatakan, sesiapa yang beramal dengan
membaca yasiin pada malam Jumaat adalah pelaku bid’ah. Ini mungkin
kerana mereka mempunyai hujah dan alasan mereka sendiri. Namun, ada yang
menyangkal dakwaan ini, kerana menganggap bid’ah ini adalah bid’ah
hasanah, iaitu perbuatan yang tiada bersumberkan dari nabi, tapi ianya
sesuatu yang mendatangkan kebaikan kepada masyarakat.
Tidak
kurang juga dengan sesetengah golongan yang terus berpegang dengan
hadis-hadis berkenaan fadhilat membaca surah yasiin yang seperti saya
nyatakan di atas, yang kebanyakkannya adalah lemah dan palsu. Mungkin
kerana mereka masih tidak berpeluang untuk mengetahui akan hal ini. Tapi
kini, semua maklumat, ilmu pengetahuan hanya boleh didapati di hujung
jari, maka sudah tiada alasan lagi untuk tidak mengetahuinya.
KEMBALI KEPADA AL-QURAN DAN SUNNAH
Sebenarnya,
bukan sahaja masalah membaca yasiin pada malam Jumaat yang menjadi isu
di kalangan masyarakat kita sekarang, tetapi banyak lagi masalah lain
yang muncul. Antaranya soal talqin, bacaan dan kenduri tahlil untuk
arwah, sambutan maulid nabi , wirid selepas solat, qunut dan sebagainya.
Namun,
bagi saya, apa yang penting adalah pemurnian akidah kita dari sebarang
perkara bid’ah yang dicela nabi dan dimurkai Allah seperti dalam sebuah
hadis, yang bermaksud,
“ALLAH tidak menerima orang yang ada bid’ah, puasanya, solatnya, sadaqahnya, hajinya, umrahnya, jihadnya, amalan wajibnya, dan amalan sunatnya tidak akan diterima (oleh ALLAH), maka keluar dia dari ISLAM sebagaimana keluar rambut dari aajin (adunan gaulan tepung).” Hadis riwayat Ibnu Majah dalam kitab Mukaddimah, 1-19.
Juga dari sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermaksud,
“Setiap bid’ah adalah sesat, dan setiap kesesatan adalah neraka (tempatnya).”
Walaupun
niat yang murni untuk memakmurkan kembali masjid dengan membuat bacaan
yasiin pada malam Jumaat, kemudian ditambah dengan hasrat mewujudkan
kembali budaya membaca al-Quran di kalangan masyarakat dengan
melaksanakan amalan ini, akan tetapi, ianya adalah tidak bersesuaian
dengan syariat.
Ini
kerana, sudah dijelaskan, bahawa tiada satu pun nas dari nabi yang
menyuruh kita melakukan amalan ini. Maka, niat yang baik sebenarnya,
tidak boleh mengubah perkara yang tidak dianjurkan oleh nabi SAW. Jika
masyarakat tidak suka membaca al-Quran, itu adalah berpunca dari masalah
sikap masyarakat itu sendiri. Makanya, yang perlu diubah adalah sikap,
bukannya syariat.
Gambar Hiasan |
Seharusnya,
kembalilah kita kepada al-Quran dan Sunnah, serta berpegang teguhlah
dengan keduanya, seperti saranan nabi untuk memegang keduanya seperti
mana menggigit ia dengan gigi geraham (berpegang teguh dengannya). Dan
ambillah pengajaran dari pesan Allah dalam al-Quran yang bermaksud, “Dan
apabila kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka kembalilah kepada
Allah (al-Quran) dan rasulNya (sunnah).”
Wallahua'alam. Sekadar berkongsi.
No comments:
Post a Comment
Assalamualaikum...
# Sebarang komen adalah amat dialu-alukan.
# Komen yang dihantar akan dibalas secepat mungkin.
# Terima kasih kerana sudi membaca di sini.
# Jangan lupa, datang lagi! =)