✎ Halaman ✎

07 July 2012

Doa Antara Dua Khutbah Dan Doa Akhir Khutbah

Dengan izin Allah SWT, pada entri kali ini, saya ingin berkongsi kepada pembaca sekalian tentang beberapa perkara yang mungkin menjadi kekeliruan di kalangan masyarakat, iaitu berkenaan hukum menadah tangan membaca doa ketika antara dua khutbah, dan juga ketika khatib membacakan doa di akhir khutbah. Adakah sunat atau sebaliknya?

Ada sesetengah masjid yang para jemaahnya menadah tangan ketika berdoa antara dua khutbah dan doa pada akhir khutbah. Namun, ada juga yang tidak menadah tangan ketika situasi yang sama. Kenapa? Adakah terdapat percanggahan pendapat atau kesilapan kita memahami sunnah serta tuntutan agama?

Oleh itu, di sini ingin saya berikan beberapa jawapan yang saya ambil dari beberapa pendapat ilmuan dalam bidang ini, agar boleh dijadikan panduan. Jika ada salah silap dalam penyampaian saya, harap diperbetulkan oleh pembaca sekalian.

Gambar Hiasan

ASAL HUKUM BERDOA ADALAH HARUS

Umumnya, mengangkat tangan berdoa itu adalah sunnah. Rujuk hadis Nabi SAW yang bermaksud,

“Sesungguhnya Allah Yang Maha Mulia, apabila hambaNya mengangkat tangan kepadaNya, ia tidak menolak dengan tangan kosong.” (Riwayat al-Tirmidzi no 3566)

Akan tetapi, menadah tangan semasa berdoa ketika khutbah Jumaat, bagi khatib bukanlah sunnah padanya untuk menadah tangan. Khatib hanya disunnahkan menunjuk dengan menggunakan jari telunjuk. Malah, ada para sahabat yang melarang khatib menadah tangan berdoa. 

Imam Muslim (874) dan Abu Daud (1104) telah meriwayatkan,

“Dari ‘Umaarah ibn Ru’aibah melihat Bishr ibn Marwaan ketika diatas mimbar mengangkat tangan (Abu Daud menambah: apabila melakukan doa pada hari Jumaat), dan berkata,”Semoga Allah menjadikan hodoh kedua-dua tangan. Aku melihat Rasulullah SAW tidak menambah apa-apa melainkan seperti ini dengan tangannya”, dan mengisyaratkan dengan jari telunjuknya."

Imam Al-Nawawi mengatakan, yang bermaksud:

"Ini menunjukkan bahawa adalah sunnah TIDAK mengangkat tangan semasa berkhutbah dan ia adalah pandangan Malik dan yang lain-lain."

Gambar Hiasan


JEMAAH TIDAK PERLU MENADAH TANGAN KETIKA DOA KHUTBAH KEDUA

Ma'mum juga tidak digalakkan mengangkat tangan semasa Khatib membaca doa, kerana ma'mum mengikut Imam.

Akan tetapi jika Imam berdo'a agar diturunkan hujan pada hari Jumaat semasa beliau di atas mimbar, maka adalah menjadi sunnah mengangkat tangan dan begitu juga keadaan ma'mumnya, disunatkan mengangkat tangan.

Muhaddith Sheikh Nasyiruddin Al-Albani di dalam buku Bida' Al-Jumu'ah (ms 56-66) telah menyatakan bahawa mengangkat tangan:

  1. Semasa Imam duduk di antara dua Khutbah (no:42)
  2. Semasa ma'mum mengaminkan do'a khatib (no:63)
-      merupakan bid'ah-bid'ah yang biasa dilakukan oleh ma'mum yang menghadirkan diri di dalam solat Jumaat.

Beberapa ulama' mengatakan bahawa adalah menjadi kesalahan orang-orang yang bersolat mengangkat tangan mereka bagi mengaminkan do'a Imam, dan disebut oleh Ibnu Abidin (Khaasiyah Abidin 11/143), sesungguhnya jika mereka melakukannya maka mereka dosa ke atas yang sahih.


JEMAAH TIDAK PERLU MENADAH TANGAN BERDOA KETIKA IMAM DUDUK ANTARA 2 KHUTBAH

Begitu jugalah halnya kepada mereka yang mengangkat tangan mereka tatkala Imam duduk di antara dua khutbah.

Berdo'a di dalam Khutbah Jumaat adalah disyara'kan thabit dari Nabi SAW di mana ia mendoa'kan ke atas mu'minin dan mu'minat. 

Di dalam Fatwa no: 6396, Faatwa Lajhah Daa'imah Lil Buhtuth Al-Ilmiyah wa Al-Ifta' (8/233) mengatakan bahawa menyebut 'Amin' pada do'a tidaklah mengapa.


KESIMPULAN

Kesimpulannya ialah mengangkat tangan untuk berdo'a semasa Imam duduk antara 2 khutbah dan juga semasa Imam membaca do'a tidaklah terdapat di dalam syara', malah ulama' mengatakan ia adalah perbuatan bid'ah. 

Do'a boleh dibaca pada masa Imam sedang duduk diantara 2 khutbah dengan secara perlahan (sir) tanpa mengangkat tangan dan 'Amin' boleh dibaca secara perlahan semasa Imam membaca do'a.


Penjelasan Ustaz berkaitan angkat tangan berdoa semasa khutbah kedua.

# Tujuan entri ini ditulis hanyalah untuk berkongsi ilmu dan menambahkan pengetahuan. Bukan untuk niat selainnya. Sebaiknya marilah kita amalkan ilmu yang kita tahu dan yang kita pelajari dengan yakin berserah kepada Allah SWT. Dengan harapan, Allah SWT akan meredhai segala amalan baik kita kelak, insyaAllah. Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum...

# Sebarang komen adalah amat dialu-alukan.
# Komen yang dihantar akan dibalas secepat mungkin.
# Terima kasih kerana sudi membaca di sini.
# Jangan lupa, datang lagi! =)