✎ Halaman ✎

13 July 2012

Jangan Merokok!

Bila pergi ke mana-mana, mesti kita akan dapat lihat ramai orang yang merokok. Orang yang merokok ini terdiri dari pelbagai lapisan tak kira lelaki mahupun wanita. Tambah parah apabila pelajar-pelajar sekolah juga lebih ‘bergaya’ dengan merokok. Adakah mereka tidak mengetahui akan dalil pengharamannya? Adakah mereka tidak mengambil berat akan kesan yang akan dihidapi mereka kelak?

Merokok, mungkin boleh dikatakan sebagai suatu gaya hidup yang sudah menjadi kebiasaan pada sesetengah orang terutama kepada si perokok, sehingga kadang-kadang ia dianggap sebagai suatu norma yang dibanggakan. Anggapan palsu ini disebabkan mudahnya diri terpedaya dengan budaya asing, terutama seperti yang dipaparkan di media-media massa. Adakalanya golongan yang ingin bergaya demi mencapai status kecanggihan serta keunggulan yang kononnya dikaitkan dengan merokok. 
Hal seperti ini adalah sesuatu yang menyeleweng dari jalan yang benar dan kian menguasai anak-anak orang Islam kini. Sesungguhnya Nabi Muhammad telah berpesan agar tidak mengikuti kaum-kaum lagi sepertimana sabdanya,

“Bukan dari golongan kita, siapa yang menyerupai orang yang bukan dari kita. Jangan mengikut-ikut kaum Yahudi dan Nasrani.” – Riwayat at Tirmidzi


MEROKOK MENYANGGAHI SYARIAT

Sememangnya merokok tidak ada pada zaman Rasulullah, namun Islam telah menjelaskan dengan adanya al-Quran dan Sunnah bahawa semua perkara yang membahayakan diri, membawa kecelakaan kepada orang lain dan melakukan pembaziran adalah perkara yang menyanggahi syariat. Lebih mudah untuk difahami, merokok adalah suatu perkara yang haram.

Rokok adalah suatu benda yang mempunyai pelbagai kandungan yang tidak baik untuk kesihatan. Ia akan membawa bahaya kepada diri jika ianya terus diambil. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 195 bermaksud,

“Janganlah kalian mencampakkan diri kalian ke dalam kehancuran.”

Allah SWT telah menyatakan keharaman terhadap semua perkara yang buruk ini, termasuklah merokok. Firman Allah SWT dalam surah al-A’raf ayat 157 bermaksud,

“Nabi mereka menghalalkan untuk mereka semua perkara yang baik dan mengharamkan untuk mereka semua perkara yang buruk.”

Allah SWT juga mencela dan menghina orang-orang yang melakukan pemborosan sehingga menyatakan orang yang boros adalah saudara kepada musuh kita. Firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 26 – 27 bermaksud,

“Dan janganlah engkau bersikap boros. Sesungguhnya orang yang suka memboroskan hartanya merupakan saudara-saudara kepada syaitan.”

Rokok bukan sahaja membahayakan diri sendiri malah ianya juga turut membawa orang lain terlibat dalam risiko ini. Asap rokok yang dikeluarkan boleh menyebabkan orang lain yang menghidu asap tersebut berisiko mendapat penyakit. Oleh itu, merokok juga membahayakan orang lain dan hal ini amat ditegah dalam agama sepertimana sabda Rasulullah SAW,

“Tidak boleh membahayakan diri sendiri mahupun orang lain.” – Riwayat Ahmad

Maka, inilah di antara dalil-dalil pengharaman rokok yang perlu diambil berat. Namun, masih terdapat sebahagian di antara kita yang tidak dapat menerima pengharaman rokok ini. Sungguh menghairankan, jika mereka katakan merokok tidak haram, mengapa mereka tidak merokok di masjid atau tempat suci yang lain? Kenapa mereka lebih memilih untuk merokok di tempat-tempat hiburan, tempat membeli belah dan sebagainya?

Ada juga yang beralasan merokok hanya makruh. Jika hukumnya makruh, mengapa kalian hisap? Bukankah makruh itu lebih dekat kepada haram? Sebagaimana sabda Nabi Muhammad,

“Sungguh hal yang halal itu jelas dan haram pun juga sudah jelas. Namun di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang tidak jelas. Kebanyakan orang tidak mengetahui perkara-perkara tersebut. Barangsiapa berhati-hati terhadap hal yang tidak jelas statusnya, maka sungguh ia telah menjaga agama dan kehormatannya. Barangsiapa yang terjerumus dalam perkara yang tidak jelas, sungguh ia telah terjerumus dalam perkara yang haram. Seperti seorang penggembala yang menggembala ternakannya di dekat daerah larangan, ia akan segera menggembala di daerah larangan tersebut.” – Riwayat Bukhari dan Muslim


Kandungan Dalam Rokok
Sumber: Google Search


JANGAN BERALASAN UNTUK MEROKOK

Orang yang merokok selalunya beralasan bahawa tekanan sosial untuk mereka merokok. Remaja terutamanya, mudah terpengaruh untuk mula merokok. Mereka merokok untuk diterima oleh kawan atau rakan sebaya yang juga merokok. Dapat dilihat, remaja yang mempunyai rakan yang merokok, adalah lebih mungkin untuk merokok. Adakalanya, remaja menganggap dengan merokok akan memberi mereka sesuatu imej di mata rakan-rakan mereka. Ada juga yang mengaitkannya dengan sifat dewasa. Jika seseorang remaja berkawan dengan orang dewasa yang merokok, remaja itu mungkin akan mengaitkan merokok dengan sifat kedewasaan. Dalam kata lain, dengan merokok, mereka akan dilihat lebih matang atau lebih canggih.

Kebanyakkan perokok mengalami kebergantungan kepada amalan merokok secara fizikal dan psikologi. Mereka biasanya mengalami gejala-gejala seperti berasa tegang, mudah mengantuk dan mengalami sakit kepala apabila tidak merokok. Mereka yang merokok mungkin merasakan dengan merokok, dapat membuat diri berasa ‘releks’ ketika tegang. Tidak kurang juga yang menganggap dengan merokok, akan menjadi lebih peka dan pintar ketika letih. Kebiasaannya, si perokok akan merokok pada waktu-waktu tertentu seperti selepas makan, ketika menelefon, bersembang dengan kawan-kawan atau sedang berjalan-jalan.

Sesetengah orang berkata, mereka merokok supaya dapat mengelakkan kegemukan. Bagaimanapun, kajian-kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa kebanyakkan orang yang berhenti merokok tidak menjadi gemuk. Mereka yang menjadi gemuk kerana mereka akan makan dengan lebih banyak selepas berhenti merokok. Sebaiknya, seseorang yang berhenti merokok perlu menjalankan kehidupan seperti biasa dengan tidak mengubah jumlah makanan atau lebihkan bersenam.

No Smoking!
Sumber: Google Search


BERHENTI MEROKOK: KEPUTUSAN TEPAT!!

Apabila sudah berniat untuk berhenti merokok, maka teruskanlah. Lakukan segala usaha ke arah itu. Dengan tidak merokok, akan lebih mendorong semangat untuk berjaya. Selain itu, pelbagai ganjaran akan diperoleh apabila berjaya berhenti merokok. Antaranya ialah:

Menjadi teladan yang baik
Apabila sudah berkeluarga, maka kitalah yang menjadi contoh teladan kepada ahli keluarga khususnya anak-anak. Mereka secara psikologinya akan lebih mudah terpengaruh dengan orang yang rapat dengan mereka. Oleh itu, ibu bapa perlu menunjukkan contah yang baik, agar menjadi ikutan buat anak-anak.

Meningkatkan kecerdasan
Merokok boleh menjejaskan kecerdasan badan dan membuatkan badan cepat lebih dan hilang stamina apabila melakukan sesuatu perkara seperti berjalan, bergerak atau melakukan pergerakan berat yang lain. 

Kulit lebih sihat
Merokok menyebabkan kulit tidak mendapat bekalan oksigen yang mencukupi. Oleh itu, sel-sel baru tidak dapat dibentuk dengan sempurna. Perokok biasanya cepat beruban, kulit tidak berseri dan cepat berkedut terutama di kawasan mata dan mulut.

Kesuburan meningkat bagi lelaki

Kajian menunjukkan kesan daripada amalan merokok boleh menyebabkan kelainan pada sperma dari segi mobiliti atau keupayaan bergerak, struktur tidak normal dan juga bilangan sperma yang berkurangan.

Anak-anak lebih sihat

Perkara terpenting ialah anak-anak. Kanak-kanak yang mempunyai ibubapa yang merokok adalah lebih kerap menghidapi penyakit penyakit saluran pernafasan seperti pneumona, jangkitan telinga dan lain-lain. Mereka juga lebih kerap mengalami gangguann iritasi pada mata, hidung dan tekak, dan mudah mendapat gejala pernafasan kronik seperti batuk dan kahak.

Ini di antara banyak lagi faedah atau manfaat yang bakal diperoleh apabila seseorang berhenti merokok. Maka, marilah kita sama-sama tanamkan tekad untuk tidak merokok seterusnya tidak menjerumuskan diri ke lembah kebinasaan ini. Bagi yang merokok, kuatkan semangat untuk berhenti merokok kerana keputusan anda untuk berhenti merokok adalah suatu keputusan yang tepat! Tiada sesalan baginya. 
Oleh itu, ikhlaskan niat, kuatkan semangat di samping mengharapkan pertolongan Allah SWT atas usaha-usaha ini.

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum...

# Sebarang komen adalah amat dialu-alukan.
# Komen yang dihantar akan dibalas secepat mungkin.
# Terima kasih kerana sudi membaca di sini.
# Jangan lupa, datang lagi! =)