✎ Halaman ✎

15 November 2012

Faedah-Faedah Solat



Solat yang dilakukan akan menggugurkan dosa seseorang. Imam Muslim meriwayatkan, nabi bersabda, 

“Solat yang lima menghilangkan dosa sebagaimana air menghilangkan daki.” 

Dalam riwayat yang lain oleh Imam Muslim, nabi bersabda, 

“Solat menghapuskan dosa yang berlaku di antara satu solat dengan satu yang lain melainkan dosa-dosa besar.”

 
1) Solat Membina Jati Diri

Solat membina jati diri seseorang. Imam Abu Al-Aliyah berkata, 

 “Solat mempunyai tiga keistimewaan, dan jika tidak ada ketiga-tiga ini di dalam sesuatu solat, solat itu dianggap tidak berfaedah sama sekali. Keistimewaan-keistimewaan itu ialah ikhlas, khusyuk dan zikrullah. Ikhlas akan membawa seseorang kepada yang makruf, khusyuk akan mencegahnya dari perbuatan mungkar dan zikrullah akan membantunya melakukan yang makruf dan mencegahnya dari yang mungkar”. 

Hal ini disebutkan di dalam Tafsir Al-Azhar oleh Hamka.


2) Solat Menguatkan Jiwa
 
Di samping itu, solat menguatkan jiwa seseorang sehingga memampukannya meninggalkan kekejian dan kemungkaran. Dalam surah Al-Ankabut ayat 45, Allah berfirman, 

“Sesungguhnya solat dapat mencegah seseorang dari perbuatan keji dan mungkar.” 

Apabila peribadi unggul seperti ini dapat dibentuk melalui solat, keluarga dan masyarakat akan menjadi aman dan selamat.


3) Solat Mendidik Umat Mengurus Masa
 
Solat mendidik umat Islam menjadi pengurus masa yang baik. Dalam surah An-Nisak ayat 103, Allah berfirman, 

“Sesungguhnya solat adalah satu ketetapan berwaktu yang diwajibkan ke atas orang-orang mukmin.” 

Oleh kerana solat fardu yang lima terikat dengan waktu, mereka yang bersolat perlu prihatin dan peka dengan waktu kerana solat yang dilakukan di luar waktu dengan sengaja dianggap sebagai tidak sah dan bakal mendatangkan dosa. Kepekaan kepada waktu ini jika diperkembangkan kepada seluruh kehidupan akan menjadikan umat Islam satu golongan yang menghargai masa. Golongan yang menghargai masa pasti akan cemerlang.


3) Solat Membentuk Disiplin Diri
 
Solat juga membentuk disiplin. Di antara perkara yang wajib dilaksanakan sebelum bersolat ialah mengambil wuduk, dan wuduk tidak dianggap sah melainkan dengan tertib. Tertib bermaksud, yang dahulu didahulukan dan yang kemudian dikemudiankan. Demikian juga ketika bersolat, tertib wajib dipelihara.. Jika seseorang mendahulukan amalan yang sepatutnya dikemudiankan, sebagai contoh, melakukan sujud sebelum qiam dan takbiratul ihram, solatnya dianggap tidak sah. Latihan-latihan seperti ini mampu melahirkan insan yang celik prosedur lagi berdisiplin sekali gus menjadikannya efisien di dalam setiap pekerjaan.


4) Solat Mendidik Umat Mementingkan Ilmu
 
Solat mendidik umat Islam agar mementingkan ilmu. Hal ini disebabkan ketika melaksanakan solat berjemaah, imam yang memimpin solat hendaklah dipilih dari kalangan mereka yang berilmu. Mengikut Imam Muslim dan Ahmad, nabi bersabda, 

“Hendaklah yang mengimami sesuatu kaum itu mereka yang lebih tahu tentang Al-Quran. Jika kemampuan mereka sama di sudut ini, pilihlah dari kalangan yang lebih memahami sunnah..” 

Makmum yang berada di belakang imam juga perlu menguasai ilmu kerana kadangkala imam terlupakan sesuatu di dalam solatnya. Justeru, Islam mengarahkan agar makmum yang berdiri hampir dengan imam adalah dari kalangan mereka yang berilmu. Mengikut Imam Muslim, Ahmad, Abu Daud dan Tirmizi, nabi bersabda, 

“Hendaklah mereka yang pandai lagi baligh bersolat dekat denganku, kemudian mereka yang seumpama mereka, kemudian mereka yang seumpamanya..”


5) Solat Boleh Mendamaikan Jiwa
 
Tekanan jiwa atau stres sering melanda manusia dan solat mempunyai penawar yang mampu meredakannya. Hal ini disebabkan solat mengandungi zikir dan zikir jika dilakukan dengan khusyuk mampu mendamaikan hati. Dalam surah Taha ayat 14 Allah berfirman, 

“Dan tegakkanlah solat untuk berzikir kepadaKu.” 

Oleh kerana solat benar-benar mendamaikan hati nabi pernah berkata,

 “Bangunlah wahai Bilal (untuk azan) dan rehatkanlah kami dengan solat.” 

Justeru, rugilah mereka yang tidak bersolat. Kerugian mereka amat besar sekali.




Wallahu'alam.
Sekadar Perkongsian.

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum...

# Sebarang komen adalah amat dialu-alukan.
# Komen yang dihantar akan dibalas secepat mungkin.
# Terima kasih kerana sudi membaca di sini.
# Jangan lupa, datang lagi! =)