Solat yang dilakukan akan
menggugurkan dosa seseorang. Imam Muslim meriwayatkan, nabi bersabda,
“Solat yang lima menghilangkan dosa sebagaimana air menghilangkan daki.”
Dalam riwayat
yang lain oleh Imam Muslim, nabi bersabda,
“Solat menghapuskan dosa yang berlaku di antara satu solat dengan satu yang lain melainkan dosa-dosa besar.”
1) Solat Membina Jati Diri
Solat membina jati diri
seseorang. Imam Abu Al-Aliyah berkata,
“Solat mempunyai tiga keistimewaan, dan jika tidak ada ketiga-tiga ini di dalam sesuatu solat, solat itu dianggap tidak berfaedah sama sekali. Keistimewaan-keistimewaan itu ialah ikhlas, khusyuk dan zikrullah. Ikhlas akan membawa seseorang kepada yang makruf, khusyuk akan mencegahnya dari perbuatan mungkar dan zikrullah akan membantunya melakukan yang makruf dan mencegahnya dari yang mungkar”.
Hal ini disebutkan di dalam
Tafsir Al-Azhar oleh Hamka.
2) Solat Menguatkan Jiwa
Di samping itu, solat menguatkan
jiwa seseorang sehingga memampukannya meninggalkan kekejian dan kemungkaran.
Dalam surah Al-Ankabut ayat 45, Allah berfirman,
“Sesungguhnya solat dapat mencegah seseorang dari perbuatan keji dan mungkar.”
Apabila peribadi unggul
seperti ini dapat dibentuk melalui solat, keluarga dan masyarakat akan menjadi
aman dan selamat.
3) Solat Mendidik Umat Mengurus Masa
Solat mendidik umat Islam menjadi
pengurus masa yang baik. Dalam surah An-Nisak ayat 103, Allah berfirman,
“Sesungguhnya solat adalah satu ketetapan berwaktu yang diwajibkan ke atas orang-orang mukmin.”
Oleh kerana solat fardu yang lima terikat dengan waktu,
mereka yang bersolat perlu prihatin dan peka dengan waktu kerana solat yang
dilakukan di luar waktu dengan sengaja dianggap sebagai tidak sah dan bakal
mendatangkan dosa. Kepekaan kepada waktu ini jika diperkembangkan kepada
seluruh kehidupan akan menjadikan umat Islam satu golongan yang menghargai
masa. Golongan yang menghargai masa pasti akan cemerlang.
3) Solat Membentuk Disiplin Diri
Solat juga membentuk disiplin. Di
antara perkara yang wajib dilaksanakan sebelum bersolat ialah mengambil wuduk,
dan wuduk tidak dianggap sah melainkan dengan tertib. Tertib bermaksud, yang
dahulu didahulukan dan yang kemudian dikemudiankan. Demikian juga ketika
bersolat, tertib wajib dipelihara.. Jika seseorang mendahulukan amalan yang
sepatutnya dikemudiankan, sebagai contoh, melakukan sujud sebelum qiam dan
takbiratul ihram, solatnya dianggap tidak sah. Latihan-latihan seperti ini
mampu melahirkan insan yang celik prosedur lagi berdisiplin sekali gus
menjadikannya efisien di dalam setiap pekerjaan.
4) Solat Mendidik Umat Mementingkan Ilmu
Solat mendidik umat Islam agar
mementingkan ilmu. Hal ini disebabkan ketika melaksanakan solat berjemaah, imam
yang memimpin solat hendaklah dipilih dari kalangan mereka yang berilmu.
Mengikut Imam Muslim dan Ahmad, nabi bersabda,
“Hendaklah yang mengimami sesuatu kaum itu mereka yang lebih tahu tentang Al-Quran. Jika kemampuan mereka sama di sudut ini, pilihlah dari kalangan yang lebih memahami sunnah..”
Makmum
yang berada di belakang imam juga perlu menguasai ilmu kerana kadangkala imam
terlupakan sesuatu di dalam solatnya. Justeru, Islam mengarahkan agar makmum
yang berdiri hampir dengan imam adalah dari kalangan mereka yang berilmu.
Mengikut Imam Muslim, Ahmad, Abu Daud dan Tirmizi, nabi bersabda,
“Hendaklah mereka yang pandai lagi baligh bersolat dekat denganku, kemudian mereka yang seumpama mereka, kemudian mereka yang seumpamanya..”
5) Solat Boleh Mendamaikan Jiwa
Tekanan jiwa atau stres sering
melanda manusia dan solat mempunyai penawar yang mampu meredakannya. Hal ini
disebabkan solat mengandungi zikir dan zikir jika dilakukan dengan khusyuk
mampu mendamaikan hati. Dalam surah Taha ayat 14 Allah berfirman,
“Dan tegakkanlah solat untuk berzikir kepadaKu.”
Oleh kerana solat benar-benar
mendamaikan hati nabi pernah berkata,
“Bangunlah wahai Bilal (untuk azan) dan rehatkanlah kami dengan solat.”
Justeru, rugilah mereka yang tidak bersolat.
Kerugian mereka amat besar sekali.
Wallahu'alam.
Sekadar Perkongsian.
No comments: