Bersempena
dengan kedatangan tahun baru Hijrah 1434 ini, mungkin ramai di kalangan
kita yang telah menanamkan pelbagai azam. Ada yang ingin menjadi
seorang yang lebih baik dalam pekerjaan, ada yang ingin lebih berjaya
dalam pelajaran dan ada juga yang akan melangsungkan perkahwinan pada
tahun baru ini. Namun adakah kita sedar, perkara paling penting untuk
kita lakukan di tahun baru Islam ini ialah sentiasa berubah menjadi
seorang Muslim yang lebih baik, dengan sentiasa meningkatkan ketaqwaan
kepada Allah SWT di samping menonjolkan keperibadian contoh sesama
masyarakat.
Gambar Hiasan |
“Seorang Muslim yang sebenar ialah orang yang terselamat dari bencana lidahnya dan tangannya orang-orang yang Muslimin yang lain. Dan orang yang berhijrah itu ialah orang yang meninggalkan apa yang dilarang Allah melakukannya.”
Ini
bermaksud janganlah sampai ada seorang Muslim yang menggunakan lidahnya
untuk mengucapkan kata-kata caci dan nista, mengumpat orang lain dan
mengata orang itu. Itu bukanlah sifat seorang Muslim yang
sebenar-benarnya. Sebab perbuatan serupa itu tentu sekali tidak digemari
oleh saudaranya dan menyakiti hati orang lain. Dari sebab itu, dia akan
menjadi marah dan akan timbul dalam hatinya perasaan dengki dan dendam
yang akan menarik kepada perpecahan antara sesama Muslim. Padahal Islam
melarang dengan keras sikap sedemikian. Malah Islam menganjurkan umatnya
untuk saling bantu-membantu dan bersatu padu dalam segala urusan,
supaya menjadi umat yang teguh dan kuat di hadapan orang-orang
Musyrikin.
Demikian
pula jangan sampai ada di kalangan kita yang menggunakan pengaruh dan
kekuasaannya untuk menindas saudara kita yang lain. Ataupun bila dia
telah diberikan Allah kekuatan, maka dia menggunakan kekuatan itu bukan
untuk menolong manusia lain, bahkan digunakannya untuk menekan orang
lain dan menganiayanya. Ini amatlah dilarang sama sekali oleh Islam dan
akan menimbulkan kemurkaan Allah SWT ke atasnya, kerana dia telah
meletakkan kurnia Allah yang dianugerahkan kepadanya itu di tempat yang
salah. Ini boleh membawanya kepada kufur nikmat, mudah-mudahan Allah
selamatkan kita dari sifat tersebut.
Gambar Hiasan |
Berkenaan
hijrah yang dimaksudkan pada hari ini, ialah berhijrah atau menjauhkan
diri dari larangan agama, kerana yang demikian itu tentu sekali akan
menarik kepada kecelakaan diri sendiri di dunia, kemudian di akhirat
pula akan menerima balasannya yang pedih. Itulah kerugian yang paling
besar. Sudah di dunia mendapat bermacam-macam musibah dan bencana, di
akhirat pula diheret ke neraka. Bukankah itu suatu kerugian yang besar?
Di manakah pemikiran mereka sehingga tidak dapat memikirkan hal-hal
sedemikian?
Itu
semua timbul dari kekeliruan di dalam hati yang telah diselaputi oleh
hawa dan nafsu yang ammarah-bissu’ (mengajak melakukan dosa). Dalam hal
seperti ini, syaitan bekerja keras untuk menipu kita. Digambarkannya
hal-hal maksiat itu sebagai manis-manis belaka, bagus dipandang mata,
senang dirasa oleh hati, walaupun kadang-kadang kita terpaksa
membelanjakan wang yang banyak sekalipun, tidak mengapa. Akhirnya kita
terkeliru dan tidak sedarkan diri lagi. Sesudah itu barulah kita
menyesal kerana sudah terlanjur. Itu pun bukan semua orang yang bersikap
semacam itu, bahkan ada pula yang lainnya bermegah-megah dengan
maksiat-maksiat yang telah dilakukannya itu dengan menceritakannya pula
kepada khalayak ramai, nauzubillah min zalik. Firman Allah SWT dalam
surah Yusuf ayat 53,
“Dan aku tiada mampu membersihkan diriku (dari kesalahan) kerana sesungguhnya nafsu itu suka menyuruh melakukan yang buruk, kecuali orang yang dirahmati Allah.”
Dan
kita yang telah diselamatkan Allah daripada tergelincir ke dalam lembah
maksiat, janganlah pula kita mencela orang terkena bala itu, bahkan
hendaklah kita mengucapkan syukur kepada Allah yang telah menyelamatkan
kita daripadanya. Selain itu, kita hendaklah cuba menasihati orang yang
melakukan maksiat itu dengan baik dan mendoakannya kepada Allah agar dia
juga terselamat seperti kita. Mana tahu dengan nasihat kita itu
dimakbulkan Allah, orang itu akan terbimbing semula ke jalan yang lurus.
Gambar Hiasan |
Ingatlah
bahawa Islam itu sentiasa mengambil berat terhadap segala hal ehwal
kehidupan kita sama ada kaitannya di dunia mahupun di akhirat. Tidak ada
sesuatu suruhan atau larangan yang ditujukan kepada kita, melainkan
kesemuanya membawa kepada kebaikan dan keselamatan bagi diri kita. Kalau
niat kita baik dan betul, insyaAllah kita akan didorong oleh Allah
kepada maksud dan tujuan yang kita cita-citakan itu dengan baik dan
selamat. Dengan itu, akan bertambah-tambah lagilah keimanan kita kepada
Allah dan rasulNya serta subur dan kuatlah keyakinan kita kepada Islam
yang kita anuti ini.
Klik Pada Gambar Untuk Besarkan |
SALAM MAAL HIJRAH 1434
Wallahu’alam…
No comments:
Post a Comment
Assalamualaikum...
# Sebarang komen adalah amat dialu-alukan.
# Komen yang dihantar akan dibalas secepat mungkin.
# Terima kasih kerana sudi membaca di sini.
# Jangan lupa, datang lagi! =)