Dalam kehidupan kita hari-hari, kita akan tempuhi pelbagai
rintangan dan dugaan, yang kadang-kalanya boleh menyebabkan kita tersenyum
riang, dan ada waktu kita akan menangis bersendirian. Hidup tidak pernah lekang
dari keadaan yang sulit. Hidup tidak pernah sunyi dari ujian hati yang meruntuh
naluri. Hidup kadang-kala menjadikan diri kita boleh lupa akan erti kesabaran
dan kecekalan.
Manusia mana yang tidak pernah membuat salah. Manusia mana
yang terlalu sempurna untuk segala-galanya. Kita hanya manusia serta insan
biasa. Punyai salah dan khilaf diri. Oleh kerana itu, orang di sekeliling kita
akan memandah kurangnya diri dengan hanya di pandangan sisi. Kecewa bukan?
Lumrah. Bila salah kita, orang akan nampak sangat. Bila kebaikan dibuat, 10
tahun belum tentu dipandang hebat.
Bunyinya senang nak dibuat, tetapi perlu diaplikasi
berterusan. Mengaku saja kita sering merasa sedih sebab banyak kali mengingati
kenangan pahit atau selalu kembali ke memori silam yang lalu. Mulai hari ini,
tekad untuk melupakan semua itu, selupa yang mungkin. Bulatkan azam untuk
memfokus kepada masa depan kita, cita-cita kita, keluarga, kerjaya, kewangan,
ilmu dan rakan-rakan.
Kita tidak akan dapat melupakan kesemua memori pahit
sekaligus, tetapi lakukan sedikit demi sedikit dengan mengalihkan perhatian
kita kepada perkara lain. Proses ini mengambil masa, tetapi ia boleh
dipercepatkan dengan disiplin diri.
Ada 2 kesan dari sikap risau. Pertama ia menarik nasib tidak
baik, masalah dan musibah tanpa anda pinta. Kedua, memberi kesan buruk pada
kesihatan anda dari segi fizikal dan mental. Risau membuat kita selalu menjadi
sedih dan kecewa, kekadang takut. Untuk buang sikap risau, belajar untuk
bertenang dan latih diri anda mengawal emosi.
Ucap syukur atas kesemua yang kita ada. Misalnya, ucap
syukur kerana kita masih ada 5 deria yang lengkap. Kita boleh melihat dan
menarik nafas setiap kali bangun tidur. Kita ada kawan rapat yang memahami
kita. Ucap syukur seikhlas hati, sebanyak yang mungkin, seikhlas mungkin hingga
rasa syukur itu meresap jauh ke dalam diri kita. Buat banyak kali dalam sehari.
Sikap pemaaf dapat membersihkan hati dari perasaan negatif
dan emosi-emosi negatif (takut, sedih, kecewa, gusar, menyampah, marah, geram,
cemburu, tak puas hati, dendam, busuk hati). Seterusnya, meneutralkan gelombang
fikiran negatif yang melekat bersarang di minda kita. Kita selalu rasa sedih
dan kecewa kerana kita tidak memaafkan kesalahan diri kita di masa lalu ataupun
kita tidak memaafkan kesalahan orang lain tehadap diri kita satu ketika dulu.
Mungkin juga kita susah menerima hakikat perbuatan salah
orang lain terhadap diri kita, yang membuat kita sedih, kecewa dan geram.
Belajar menjadi pemaaf dan menghapus semua ini lalu menarik ketenangan datang
pada diri kita.
Apa jua masalah, apa jua musibah yang menimpa, itulah
pengaturan Allah SWT. Hikmah di sebaliknya harus digali di samping jangan lupa
terus bermohon, solat hajat, bermunajat serta memperbanyakkan taubat. Jika
masalah masih berpanjangan dan sudah putus ikhtiar kita, maka selaku hamba,
wajarlah kita kembali kepadaNya.
Terimalah hakikat bahawa itulah ujian untuk kita, agar kita
diberiNya pahala sabar dan sebagai ingatan kepada kita supaya tahu bersyukur
dengan nikmat pemberiannya. Untungnya menjadi Mukmin. Semakin banyak masalah,
semakin mustajab doanya. Bukan perjuangan tanpa kesulitan, tapi dalam kesulitan
ada ketenangan memugar kekuatan. Kita tidak bersendirian kerana Allah itu pasti
akan bersama!
Wallahua'alam. Hanya berkongsi apa yang ada.
No comments: