06 August 2012

Penghayatan Nuzul al-Quran


Sememangnya sudah menjadi tradisi bagi kita umat Islam, pada setiap tanggal 17 Ramadhan kita akan mengadakan peringatan Nuzul Al-Quran.

Bahkan hampir di seluruh negeri-negeri Islam, pemerintahan setempat secara rutin melaksanakan peringatan tersebut setiap tahun, yang sering-kali digabungkan dengan peristiwa Perang Badar Al-Kubra (terjadi pada 17 Ramadhan tahun ke 2 Hijrah, ketika umat Islam pertama kali melaksanakan shaum Ramadhan).



   BILA DAN BAGAIMANA AL-QURAN DITURUNKAN  

Terdapat dua pendapat mengikut ahli sejarah, termasuk pendapat para ahli hadis, tentang Al-Quran yang diturunkan (diwahyukan) kepada Nabi Muhammad saw.

Pendapat pertama menyatakan bahawa Al-Quran diturunkan pada malam Isnin tanggal 17 Ramadhan, 13 tahun sebelum hijrah (6 Ogos 610 M). Pendapat kedua pula menyatakan bahawa Al-Quran telah diturunkan pada malam Isnin, tanggal 24 Ramadhan (13 Ogos 610 M). Pendapat yang pertama adalah berdasarkan ayat 41 dari Surah Al-Anfaal, manakala pendapat kedua dasarnya adalah ayat 1 Surah Al-Qadr dan ayat 1-4 Surah Ad-Dukhan.

Walaupun tradisi Nuzul Al-Quran telah lazim diperingati pada tanggal 17 Ramadhan, namun sesungguhnya pendapat kedua adalah lebih kuat dan lebih mungkin benarnya. Ini adalah kerana malam Lailatul Qadar yang dipercayai sebagai malam turunnya Al-Quran bukanlah terjadi pada tanggal 17 Ramadhan.

Adapun dalam firman Allah SWT pada ayat 41 surah Al-Anfaal, iaitu: 
"…jika kamu beriman kepada Allah dan apa-apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami (Nabi Muhammad saw) pada hari Furqan,iaitu di hari bertemunya dua pasukan (diperang Badar, antara muslimin dan kafirin)…" (TTQ 8 : 41) 
Ayat tersebut tidak ada sangkut-pautnya dengan Nuzul Al-Quran.

Tetapi sebenarnya ayat tersebut merupakan penjelasan tentang hukum pembahagian harta rampasan perang (seperti yang terdapat pada awal ayat tersebut). 
"Ketahuilah sesungguhnya apa saja yang dapat kamu peroleh sebagai rampasan perang, maka sesungguhnya seperlima untuk Allah, RasulNya, kerabat-kerabat (Rasul), anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibnussabil (orang yang sedang dalam perjalanan)…" (TTQ 8 : 41).

Dan apabila diteliti dengan lebih lanjut, yakni dengan menghubungkan hadis-hadis tentang turunnya Al-Quran, iaitu pada Lailatul-Qadar dan kelahiran Rasullullah pada hari Isnin serta pada catatan-catatan waktu di dalam takwim, maka akan diperolehi kesimpulan yang lebih tepat, iaitu Al-Quran diturunkan pada hari Isnin, malam 21 bulan Ramadhan, 13 tahun sebelum Rasullulah saw berhijrah ke Madinah.

Menurut para mufassirin, Al-Quran yang diturunkan pada malam "Lailatul Qadar" sebagaimana disebut di atas adalah Al-Quran yang turun sekaligus di "Baitul Izzah" di langit dunia. Sedangkan Al-Quran yang diturunkan ke bumi dan diterima Rasullullah sebagai wahyu terjadi secara beransur-ansur selama sekitar 23 tahun.

Adapun ayat-ayat yang pertama diturunkan (diwahyukan) kepada Nabi Muhammad saw adalah ayat 1-5 surah Al-'Alaq.

Dan peristiwa ini terjadi ketika nabi saw sedang bertahannus (menyendiri) di Gua Hira. Sedangkan ayat Al-Quran yang terakhir sekali diturunkan adalah ayat-ayat riba iaitu ayat 278 sehingga 281 dari surah Al-Baqarah.




   AL-QURAN DAN PERUBAHAN DALAM KEHIDUPAN  

Sebelum turunnya Al-Quran manusia (khususnya di Benua Arab) secara amnya hidup di dalam kepelbagaian ragam kepercayaan, kebudayaan dan etika. Dan kemudian Al-Quran diturunkan dengan membawa rahmat perubahan.

Antaranya ialah:

   Bidang Akidah
Melalui pernyataan yang dibawa oleh Al-Quran tentang tuhan itu Esa dan Tunggal, maka kepercayaan bertuhan banyak (politheisme) menjadi gugur (tidak diakui oleh Islam). Sebab tidak ada tuhan selain Allah SWT, dan Dialah Yang Maha Pencipta alam semesta ini. Kepercayaan seperti ini dinamakan tauhid.

   Bidang Ibadah
Al-Quran datang dengan petunjuk bahawa yang berhak untuk disembah hanyalah Allah SWT. Dia Yang Tunggal, pencipta manusia dan alam semesta. Al-Quran dengan petunjuk yang demikian, melarang keras beribadah kepada patung, berhala, matahari, bulan atau selain Allah SWT. Sebab, tidak ada sekutu bagiNya.

   Bidang Akhlak
Al-Quran memberi petunjuk dan garis pemisah tentang kriteria antara akhlak yang baik dan terpuji dengan akhlak yang buruk dan tercela. Masalah-masalah pembunuhan, perzinaan, perjudian, pencurian dan merampas harta orang lain, tidaklah masuk dalam wawasan akhlak, justeru masalah-masalah tersebut termasuk kedalam tindakan jenayah dan pembuatnya wajib dijatuhkan hukuman.

   Bidang Siyasah (Politik)
Al-Quran dan sunnah Rasul (Al Hadits) tidak mengakui kedaulatan umat atau penguasa. Kedaulatan menurut kedua sumber tersebut dan sumber lain yang diakui kaum muslimin adalah milik Allah dan RasulNya. Hanya 'kekuasaan pemerintahan' sajalah yang dimiliki umat. Dan di dalam Islam tidak diakui (tidak ada) 'Sistem Kerajaan' atau Aristokrasi. Pemerintahan Islam adalah 'Negara Kesatuan', bukan 'Negara Bahagian'. Inilah salah satu contoh yang pernah terjadi dahulu semasa kekhilafahan masih berlaku, dan ia bukan sekadar perbandingan teoritis tetapi merupakan sebuah peraturan yang terbukti di dalam kenyataan kehidupan.

   Bidang Ekonomi
Al-Quran (dan Sunnah Rasul) telah memberikan batasan pemilikan bagi individu, masyarakat dan negara. Telah ditentukan apa yang boleh dimiliki oleh individu dan apa yang tidak. Juga telah ditentukan tentang pemilikan sesuatu (benda) yang bersifat umum, tidak boleh dimiliki oleh per individu, seperti laut, sungai dan lain-lain.

Peraturan yang terdapat pada Al-Quran (dan Sunnah Rasul) memberikan petunjuk pelaksanaan tentang jaminan pemenuhan keperluan asas setiap individu menurut kadar dan dalam keadaan seadil-adilnya.


   ADAB-ADAB MEMBACA AL-QURAN  

Di antara adab membaca Al-Quran adalah:

   Disunatkan membaca Al-Quran dalam keadaan berwudhuk dan dalam keadaan bersih kerana yang di baca adalah ayat-ayat Allah. Tangan kanan hendaklah digunakan untuk mengambil kitab ini, manakala menggunakan kedua-dua belah tangan semasa memegang Al-Quran.

   Disunatkan membaca Al-Quran di tempat yang bersih, seperti di rumah, surau, musollah dan tempat lain yang dianggap bersih. Tempat yang paling utama adalah di dalam masjid.

   Disunatkan menghadap ke arah Qiblat ketika membacanya. Bacaan hendaklah khusyu' dan tenang.

   Mulut hendaklah bersih, tidak berisi makanan. Sebaiknya sebelum membaca Al-Quran, mulut dan gigi dibersihkan terlebih dahulu.

   Sebelum membaca Al-Quran, disunatkan membaca ta'awwudz, iaitu meminta perlindungan Allah dari gangguan syaitan yang direjam. Doa bagi menerangkan hati juga boleh dibaca sebelum atau selepas membaca ta'awwudz.

   Disunatkan membaca Al-Quran dengan tartil, iaitu membaca dengan perlahan-lahan dan tenang.

  Bagi yang memahami maksud ayat-ayat Al-Quran, disunatkan membacanya dengan penuh perhatian dan pengertian tentang ayat-ayat yang di baca.

   Disunatkan membaca Al-Quran dengan suara yang merdu dan bagus bagi menambah keindahan bacaan tersebut.

Seelok-eloknya, ketika membaca Al-Quran, pembacaan hendaklah sehingga tamat tanpa ada diputuskan kerana ingin berbual-bual, ketawa dan bermain-main.Kesucian Al-Quran hendaklah di jaga.



   FADHILAT AL-QURAN  

Di dalam sebuah hadis Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: 
"Pada hari Kiamat nanti, di hadapan Allah swt tidak akan ada syafaat yang mempunyai taraf yang lebih tinggi daripada Al-Quran, bukan Nabi, bukan malaikat dan sebagainya".

Melalui hadis di atas kita dapat mengetahui bahawa Al-Quran adalah pemberi syafaat yang mana syafaatnya akan diterima Allah. Terdapat satu riwayat menyatakan bahawa 
"Apabila seseorang itu meninggal dunia dan keluarganya sibuk melakukan upacara pengkebumian, seorang yang kacak akan berdiri di bahagian kepalanya.
Apabila mayat itu dikafankan, orang itu akan datang mendiami antara dadanya dan kain kafan itu. Bila selesai dikebumikan, orang ramai akan pulang ke rumah dan datanglah dua malaikat; Munkar dan Nakir cuba untuk memisahkan orang yang kacak itu supaya mereka dapat membuat pertanyaan mengenai iman orang yang meninggal dunia itu tanpa sebarang gangguan.
Tetapi orang yang kacak itu akan berkata: "Dia adalah kawanku. Aku tidak akan meninggalkannya berseorangan walau dalam keadaan apa sekalipun. Jalankanlah tugas kamu tetapi aku tidak akan meninggalkannya sehingga aku membawanya masuk ke syurga!" Selepas itu dia berpaling ke arah mayat sahabatnya dan berkata: "Akulah Al-Quran yang mana engkau telah membacanya kadang kala dengan suara perlahan dan kadang kala dengan suara yang kuat"."
Janganlah engkau bimbang. Selepas pertanyaan Munkar dan Nakir ini, engkau tidak akan berasa dukacita lagi" Bila pertanyaan selesai, orang yang kacak itu akan mengadakan untuknya satu hamparan sutera yang penuh dengan kasturi dari malaikat - malaikat dari syurga".

Alangkah indahnya dan bahagianya sekiranya orang itu adalah kita. Kita tahu tentang tingginya syafaat Al-Quran tetapi dengan mengetahuinya sahaja tanpa berusaha untuk mendekati dan merebut syafaat itu kita adalah orang-orang yang rugi.

Cuba kita renungkan sejenak diri kita sendiri. Ajal dan maut adalah ketentuan Allah. Bila ia telah datang kita tidak akan mampu memperlambatkan atau mempercepatkannya walaupun untuk tempoh sesaat. Dan apabila berada di alam kubur siapakah lagi yang akan menemani kita jauh sekali memberi bantuan kecuali amalan-amalan kita sewaktu di dunia.

Allah telah menjanjikan Al-Quran sebagai pemberi syafaat terulung dan janji Allah itu adalah benar. Dekatilah Al-Quran dan jadikalah ia teman di dunia dan pemberi syafaat di Akhirat.

Semoga Allah swt memberikan kita restu dan hidayahNya.



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Copyright© All Rights Reserved Pensil-tekan.blogspot.com