Bertemu secara sulit itu susah. Modalnya juga besar. Anda
terpaksa rangka rancangan anda dengan teliti; di mana tempat yang paling
selamat? Kalau di hotel selamatkah daripada serbuan pihak berkuasa?
Kalau di taman tak adakah orang nampak? Kalau di restoran
apa yang hendak dimakan. Baju apa nak pakai? Itu semua duit dan berisiko.
Alasan apa yang hendak diberikan kepada isteri untuk pulang lewat, atau keluar
seorang diri pada hari minggu pun mengganggu fikiran.
Untuk berbuat jahat itu susah. Anda perlu merancang dengan
teliti. Siapa yang hendak ditipu? Bolehkah dia ditipu? Apakah tindakan yang
diambil apabila dia sedar dia telah tertipu. Apa yang hendak ditipu?
Berapa ratus, berapa ribu, berapa juta? Alasan apa hendak
anda berikan untuk menipu? Anda perlu berlakon, mereka-reka cerita. Itu semua
payah dan mengambil masa.
Bukankah lebih mudah merancang untuk cemerlang daripada
membina temberang? Bukankah lebih mudah mencari alasan untuk berjaya daripada
mencari alasan untuk gagal. Bukankah lebih mudah merangka perkara baik daripada
merangka perkara jahat?
Untuk berbuat baik dan berbuat jahat itu sama susah.
Kadang-kadang berbuat jahat itu pula lebih susah. Hampir semua perkara jahat
perlu dibuat secara sembunyi-sembunyi. Benda yang perlu disembunyikan memang
payah melakukannya. Tidak boleh bising sangat, nanti orang dengar; tak boleh
terang sangat, nanti orang nampak; tak boleh terdedah sangat, nanti orang tahu.
Itu semua susah.
Mengapa lebih suka buat yang susah daripada yang senang?
Bukankah yang senang itu lebih senang sebab tak perlu sembunyi-sembunyi; tak
payah tipu-tipu; semuanya boleh dibuat dengan senyum dan tawa.
Untuk buat pahala itu mudah, jauh lebih mudah untuk buat
dosa. Pergi ke disko itu susah. Sekali duduk paling murah RM50. Nak pergi itu
satu hal, nak buat apa dalam tu pun satu hal; dapatnya dosa. Dapatnya maruah
yang tercemar. Dapatnya rasa bersalah sendiri. Kalau nasib tak baik
terperangkap dalam serbuan pihak anti-dadah. Bukankah lebih baik pergi masjid
atau surau? Modal tak payah, silap-silap ada makan, hati pun tenang, kalau ada
kuliah dapat belajar dari tuk guru. Ilmu bertambah pahala pun dapat. Rasa
confident dan terpelihara oleh ALLAH pun terasa sikit-sikit.
Daripada pergi mencuri itu bukankah lagi baik cari sendiri.
Dapat duit secara halal boleh berbelanja tanpa was-was, dapat duit cara haram
nak berbelanja pun rasa tak senang. Nak mencuri perlu waktu malam, orang
sedap-sedap tidur, dia mengekang mata. Silap-silap tertangkap dan dipukul
orang.
Bukankah lebih mudah mencari duit secara betul daripada
cuba-cuba mencetak yang palsu. Yang palsu akhirnya kecundang juga. Tupai memang
pandai melompat dan tak pernah jatuh, tapi kalau jatuh juga itu tentu bukan
lagi pandai tapi terlebih pandai.
Hendak membina hubungan sulit itu payah, sebab ia dianggap
salah oleh semua. Oleh isteri, oleh anak-anak, oleh mentua, oleh ibu bapa, oleh
adik-beradik, oleh jiran, oleh tuk imam, oleh rakan-rakan, oleh bos, oleh
budaya, oleh masyarakat, oleh negara dan yang terpenting sekali oleh agama.
Kenapa payah-payahkan diri buat sesuatu yang memang payah
padahal yang senang dan mudah itu ada di depan mata. Memang susah nak buat dosa
sekarang ini berbanding berbuat pahala.
No comments: