27 September 2012

Kami Cinta Kamu


Subhanallah, amat tersentuh hati saya apabila melihatkan pelbagai respon dari masyarakat dunia dan umat Islam apabila keperibadian Nabi Muhammad SAW dipermainkan dan dihina sedemikian rupa. Di seluruh Negara, termasuk di Malaysia sendiri, umat Islam bersatu padu menentang dan menyuarakan rasa tidak puas hati atas tindakan golongan yang telah menyiarkan filem berunsur penghinaan ke atas Nabi Muhammad, ‘The Innocence of Muslims’ dan penerbitan karikatur lakaran yang menjatuhkan martabat seorang nabi yang begitu agung bagi kita umat Islam.

Jujur, saya sendiri seperti ingin turut serta, berjalan, menjerit mengutuk tindakan mereka, membakar bendera Negara mereka, dan membuat apa saja yang boleh meleraikan perasaan marah terhadap perbuatan mereka. Namun, apakan daya. Diri ini tidak berupaya melakukan sedemikian dek kekangan kekentalan dan ketabahan dalam diri yang lemah untuk melaluinya.

Oleh kerana itu, semenjak difikirkan apakah tindakan terbaik untuk saya turut serta, sekurang-kurangnya berusaha menyuarakan rasa cinta kepada Rasulullah, adalah dengan medium blog ini. InsyaAllah semoga apa yang saya akan kongsikan, akan memberikan manfaat dan menambahkan kecintaan kita terhadap Nabi Muhammad SAW, seterusnya kepada agama Islam itu sendiri.



AKHLAK NABI AKHLAK TERPUJI

Dari maksud namanya, ‘Muhammad’ iaitu ‘Yang Terpuji’, sudah cukup buat kita mengerti akan akhlak Baginda yang begitu agung dan besar sekali. Semenjak lahir Nabi Muhammad sudah diasuh dan diajar untuk sentiasa berakhlak dengan akhlak yang baik. Jadi, tidak hairanlah seorang manusia yang telah dipilih Allah untuk menjadi kekasihNya, begitu besar pengaruhnya kepada umat Baginda sendiri. Kerana apa? Kerana akhlaknya yang terpuji.

Allah SWT berfirman,

"Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah." (Al-Ahzab : 21).

Kita lihat sendiri bagaimana akhlak Rasulullah ketika berhadapan dengan musuh-musuhnya. Baginda tidak sesekali menggunakan sebarang kekerasan dan kekejaman hanya untuk kepentingan peribadi Baginda. Setiap tutur kata dan perilaku Baginda, segalanya berhikmah dan penuh nada kebaikan padanya.

Terlalu banyak kisah-kisah teladan yang boleh kita ambil dan jadikan panduan. Inikan pula soal akhlak Rasulullah. Di dalam setiap buku-buku agama, bahkan di dalam buku-buku di Barat sendiri, pernah menyatakan yang Nabi Muhammad merupakan manusia yang paling berpengaruh dalam sejarah peradaban manusia! Jangan hairan! Nabi Muhammad, nabi yang kata cintai selamanya!



NAK ALLAH SAYANG TAK?

Macam soalan untuk budak-budak darjah 1 pula. Tapi itulah soalan yang paling mudah ditanya, paling mudah dijawab, tapi sukar untuk dibuat. Kan? kalau ditanya, mestilah jawapannya, ya. Ya, saya sayang Allah. Tapi bagaimana hendak menunjukkan rasa sayang itu? Perlukah dengan hanya menggantungkan nama Allah di dinding-dinding rumah atau di kedai-kedai? Perlukah hanya ketika susah saja baru nak sebut nama Allah? Perlukah?

Jawapannya seperti yang saya kata tadi, mudah saja. Tapi payah nak buat. Cara nak tunjuk kita sayang Allah, ialah dengan kita mencintai juga kekasihNya. Siapa? Siapa lagi kalau bukan Nabi Muhammad SAW. Jom kita hayati firman Allah SWT ini.

Katakanlah : "Jika kamu benar-benar mencintai Allah, ikutilah aku (Rasulullah), nescaya Allah akan mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Al-Imran : 31).

Sudahlah Allah kasihkan kita apabila kita cintakan Allah dan ikut Nabi Muhammad, Allah tambah lagi bonus untuk kita, iaitu dosa-dosa kita, Allah ampunkan. Untungnya!


JANGAN CEPAT MELATAH

Betul, bagus untuk kita lihat perpaduan di kalangan umat Islam apabila ada pihak yang mencetuskan suasana tidak tenteram dengan menyentuh soal sensitiviti agama. Tapi apa yang ada sekarang, masih ramai umat Islam sendiri yang tidak kenal apa itu Islam. Bila cakap soal dakwah, semuanya ditujukan kepada orang bukan Islam. Betul, tak salah. Tapi yang salahnya ialah kefahaman kita!

Tahu tak yang ramai lagi anak-anak muda kita yang tidak tahu solat? Tahu tak yang ramai lagi orang-orang kita yang tak puasa pada bulan Ramadhan? Dan tahu tak masih ramai yang tak tahu mengucap, dan ada yang tak tahu, apa itu kalimah syahadah? MasyaAllah. Apa sudah jadi? 

Sepatutnya, hal-hal sebegini yang perlu diambil berat dan diutamakan oleh kita semua. Menjadi tanggungjawab bersama untuk menerangkan Islam sebenar pada mereka yang masih kabur tentangnya. Jelaskan kepada mereka terlebih dahulu, baru terangkan masalah-masalah besar yang amat memerlukan kefahaman Islam yang lebih mendalam kepada mereka!


ISLAM BERMULA DI RUMAH

Pernah saya bersembang dengan seorang rakan guru, beliau menyatakan kekesalan di hatinya apabila nilai akhlak di kalangan anak remaja sekarang sudah semakin hilang. Rasa malu sudah semakin nipis. Baguslah dia peka. Tapi yang kurang sedap di dengar ialah alasannya. Kata-katanya seperti terus menyalahkan guru-guru agama di sekolah, yang kurang berjaya menjelaskan dan membentuk remaja ini menjadi lebih beradab dan baik dari segala hal. Aduh!


Katanya, guru-guru agama di kebanyakkan sekolah, ramai. Tapi budak-budak ramai juga yang jadi ‘hantu’. Padahal pagi petang siang malam belajar agama. Dalam tv pun dah banyak rancangan agama. Tapi tak tahu di mana salahnya, anak-anak kita, tetap begitu, macam ‘hantu’.

Pedaskan? Itulah realitinya. Jadi, apa solusinya? Mudah saja untuk dikata, semuanya bermula dari rumah. Mudahkan bercakap? Nak buat? Fikir-fikirlah sendiri. 


PANDAI AL-QURAN, PANDAI SEMUA

Sepanjang pengalaman mengajar saya yang tak berapa panjang ini, kebanyakkan murid yang kurang boleh atau sedikit lambat untuk mendapat ilmu (atau dalam bahasa kasarnya, agak kurang pandai), selalunya al-Quran pun dia tak boleh baca. Al-Quran pun tak pandai baca, macam mana nak pandai solat? Macam mana nak pandai baca jawi? Macam mana nak hafal doa-doa untuk jadi pandai dan mudah belajar? Ini semuanya bermula dari pandai al-Quran, pandai semua!

Kalau nak harapkan pada guru agama semata-mata, memang tak terharap. Bukan tak boleh diharap, tapi fikir-fikirkanlah tentang masa, kemampuan dan tenaga yang ada pada guru tersebut. Kalau diikutkan, masa anak-anak lebih banyak bersama ibu bapa mereka. Jadi, ibu bapalah yang lebih bertanggungjawab membentuk anak-anak untuk pandai al-Quran. Apabila pandai al-Quran, pandailah baca doa makan, doa tidur dan doa untuk ibu bapa mereka sendiri. Dah pandai berdoa, pandai solat, dan Allah akan sayang, Allah akan murahkan rezeki, akan pandai pula dalam pelajaran. Kan pandai al-Quran, pandai semua!

Oleh itu, cara mudah nak berjaya dalam hidup ialah, berusaha untuk jadikan diri kita lebih disayangi Allah dan juga RasulNya. 


Cinta Allah + Cinta Nabi Muhammad = Berjaya dunia akhirat. InsyaAllah.


Jom tengok video klip Maher Zain - The Chosen One ni. Saya rasa terkesan dengan video macam ini. SubhanaAllah. Terbaik!

I LOVE ALLAH, I LOVE MUHAMMAD, I LOVE ISLAM



1 comment:

nur said...

suka artikel ni..,
betul, semuanya bermula dari rmh.=)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Copyright© All Rights Reserved Pensil-tekan.blogspot.com