Subhanallah, amat tersentuh hati saya apabila melihatkan
pelbagai respon dari masyarakat dunia dan umat Islam apabila keperibadian Nabi
Muhammad SAW dipermainkan dan dihina sedemikian rupa. Di seluruh Negara,
termasuk di Malaysia sendiri, umat Islam bersatu padu menentang dan menyuarakan
rasa tidak puas hati atas tindakan golongan yang telah menyiarkan filem
berunsur penghinaan ke atas Nabi Muhammad, ‘The Innocence of Muslims’ dan
penerbitan karikatur lakaran yang menjatuhkan martabat seorang nabi yang begitu
agung bagi kita umat Islam.
Jujur, saya sendiri seperti ingin turut serta, berjalan,
menjerit mengutuk tindakan mereka, membakar bendera Negara mereka, dan membuat
apa saja yang boleh meleraikan perasaan marah terhadap perbuatan mereka. Namun,
apakan daya. Diri ini tidak berupaya melakukan sedemikian dek kekangan
kekentalan dan ketabahan dalam diri yang lemah untuk melaluinya.
Oleh kerana itu, semenjak difikirkan apakah tindakan terbaik
untuk saya turut serta, sekurang-kurangnya berusaha menyuarakan rasa cinta
kepada Rasulullah, adalah dengan medium blog ini. InsyaAllah semoga apa yang
saya akan kongsikan, akan memberikan manfaat dan menambahkan kecintaan kita
terhadap Nabi Muhammad SAW, seterusnya kepada agama Islam itu sendiri.