05 October 2013

Kisah Rasulullah Dan Limau

Sedang Rasulullah dan sahabat-sahabatnya duduk bersama, mereka telah didatangi seorang wanita kuffar. Lalu diberikan beberapa biji buah limau sebagai hadiah kepada Baginda dan para sahabat.

Sesiapa yang melihat pasti teringin untuk merasainya. Luaranya tampak elok dan sempurna. Baginda terus menikmatinya seulas demi seulas sambil diiringi lirikan senyuman di bibir Baginda. Para sahabat hanya memerhatikan dalam kehairanan.


Tiada sebiji limau pun yang Baginda tawarkan kepada para sahabat. Sedangkan Baginda amat terkenal dengan sikap dermawan. Habis semuanya dimakan oleh Baginda.

Seusai Baginda makan dan mengucapkan terima kasih, wanita itu beredar. Para sahabat bertanya kepada Baginda mengenai sikapnya itu.

Sambil tersenyum Baginda menjawab: "Sebenarnya limau yang aku makan sebentar tadi amat masam rasanya. Aku khuatir sekiranya kalian makan bersamaku tadi, pasti ada antara kalian yang akan tidak tahan dengan rasa masam limau itu dan akan memarahinya. Aku bimbang sikap itu akan menyinggung perasaan wanita itu, sebab itu aku habiskan semuanya."

Sebenarnya wanita itu pulang dalam keadaan sangat kecewa kerana misinya untuk memburukkan Baginda dan para sahabat tidak berjaya. Baginda hanya tersenyum dan langsung tidak memperkecilkan pemberiannya. Bahkan Baginda mengucapkan terima kasih pula.

Hikmah Dari Kisah: "Akhlak yang baik menunjukkan jiwa dan hati yang baik. Jiwa dan hati yang baik mewujudkan jasad dan tubuh yang sihat. Akhlak baik = hati baik = jasad sihat! InsyaAllah..."



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Copyright© All Rights Reserved Pensil-tekan.blogspot.com