16 June 2012

Rajin VS Malas

Dalam kehidupan kita sebagai seorang insan, kita tidak akan terlepas dari melakukan sesuatu pekerjaan yang kadang kala mengundang rasa rajin dan malas. Perasaan ini akan menyebabkan kualiti sesuatu kerja itu sama ada bermutu tinggi atau sebaliknya. 

Jika kita rajin dan tekun melakukan tugas tersebut, maka hasilnya juga akan baik. Namun, jika kita melakukan sesuatu pekerjaan itu hanya untuk ‘melepaskan batuk di tangga’, dalam erti kata lain, malas, maka natijah kepada kualiti kerja adalah tidak memuaskan.

Gambar Hiasan
Sudah semestinya apabila kita diberikan sebarang amanah, hendak melakukan yang terbaik bagi menyelesaikannya. Namun, jika sikap malas yang bermahajalela dalam diri, sebarang impian menjadi yang terbaik, hanya tinggal impian semata-mata.

Dalam setiap solat, apabila berdoa, kita disarankan untuk berdoa kepada Allah SWT untuk dihindarkan dari sikap malas. Namun, kenapa masih ada dalam diri kita sikap sebegitu. Kadang-kala saya juga tidak terlepas dari siap negative ini.


RAJIN BUAH KEBAHAGIAAN

Rajin adalah suatu sikap yang bukan datangnya dibuat-buat. Malah sikap rajin juga kadang-kala adalah sukar untuk dibentuk, bahkan sukar untuk dilaksanakan. Namun, apabila hati yang tekun berusaha, berbekalkan sifat ikhlas yang membenih di hati, adalah mampu untuk menghasilkan sikap rajin yang ingin dicari. 

Sesungguhnya buah kepada sifat ikhlas juga adalah datangnya dari sikap rajin melakukan sesuatu usaha untuk mencapai matlamat. Orang yang ikhlas melakukan sesuatu kerana minat terhadap sesuatu yang diusahakan. Namun yang mendorongnya menjadi rajin dan ikhlas ialah iman yang tinggi terhadap Allah SWT.

Dan apabila bersatunya sikap rajin yang ditanam dan dibenihkan dengan keikhlasan di hati, maka kita akan beroleh hasil yang bukan semua orang mampu mengecapinya iaitu kebahagiaan. Kebahagiaan ini merangkumi kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Dengan adanya kerajinan dan keikhlasan ini, akan lahirlah semua masyarakat yang harmoni dan mendapat kejayaan di dunia dan akhirat.


CIRI-CIRI KERAJINAN SESEORANG


1.   Melakukan ibadah secara istiqamah terutama perkara sunat

Seseorang yang bersifat rajin semestinya tidak jemu-jemu untuk terus melakukan amal ibadah. Tiada sikap malas dalam kamus hidupnya. Dan dia sentiasa melakukan ibadah dengan penuh taqwa kepada Allah SWT secara istiqamah (berterusan) terutama dalam perkara-perkara sunat.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,

“Lakukanlah kerja atau amal yang kamu mampu, sesungguhnya sebaik-baik pekerjaan atau amal adalah istiqamah walaupun sedikit.” – Riwayat Ibn Majah daripada Abu Hurairah.

2.   Membuat sesuatu yang diamanahkan dengan tekun

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,

“Sesungguhnya Allah suka apabila seseorang daripada kamu melakukan sesuatu amalan atau kerja dengan tekun.”

Tekun di sini bermaksud bersungguh-sungguh. Apabila kita tekun melakukan sesuatu tugas, tidak hairanlah apabila hasil yang diperoleh juga memuaskan hati. Contohnya apabila kita melakukan tugasan yang diberikan tidak kira sama ada di pusat pengajian mahupun di tempat kerja, dengan tekun dan penuh usaha, dengan tidak ‘curi tulang’ mahupun selalu bertangguh, maka kita akan berasa puas dengan apa yang diusahakan. Dan ingatlah pesan Nabi Muhammad, Allah suka pada orang yang tekun melakukan tugas yang diberikan.


3.   Tidak terpengaruh dengan pujian atau penghinaan orang lain terhadap usahanya

Saya pernah terkesan dengan satu kata-kata, ‘orang yang ikhlas tidak akan terkesan dengan pujian atau cacian’. Sememangnya kata-kata ini selalu saya pegang dalam usaha membentuk keikhlasan di hati dalam melaksanakan tugas berdasarkan kemampuan saya.

Maka, sahabat saya yang lain juga boleh menjadikan kata-kata perangsang untuk membina kekuatan dalam diri bagi menjadikan hati terus bersifat rajin dan ikhlas. Dan ingatlah, usaha kita yang walaupun hanya sedikit, tidak mengharapkan upah atau ganjaran, dan jika diberikan sekalipun, usahlah kita pertikaikannya.

Gambar Hiasan


MALAS PENYAKIT HATI

Sifat malas ialah kesan daripada sikap tidak ikhlas dalam apa yang diamanahkan kepadanya. Umat Islam diminta supaya menjauhkan diri daripada sifat itu kerana sifat tersebut adalah salah satu penyakit hati yang ada kalanya sukar untuk diubati melainkan dengan berdoa dan berusaha untuk berubah.

Nabi Muhammad SAW telah mengajar kita suatu doa untuk menghindarkan diri dari sikap malas ini, iaitu

“Ya Allah, aku mohon perlindungan Engkau daripada sifat lemah dan malas.”

Sifat malas dalam bahasa Arab ialah kasal. Mereka yang malas adalah termasuk dalah sifat riyak. Riyak ini termasuklah dalam soal ibadah sampailah dalam soal kemasyarakatan. Sifat ini dikeji oleh Allah SWT dan RasulNya malah manusia sendiri tidak menyukainya.


CIRI-CIRI SIFAT MALAS


1.   Rajin ketika ramai, malas ketika bersendirian

Inilah yang dikatakan sebagai sifat riyak. Apabila ramai orang yang melihat, dia menjadi rajin dan tekun melakukan kerja, tetapi apabila bersendirian, dia sudah mula malas untuk berusaha menyelesaikan tugas tersebut. Nabi Muhammad SAW pernah menyebut berkenaan soal ini seperti dalam sebuah hadis yang bermaksud,

Daripada Ali bin Abi Talib r.a berkata, Rasulullah bersabda, “Orang yang riyak memiliki beberapa ciri, malas jka sendirian dan rajin jika di hadapan banyak orang. Semakin ghairah dalam beramal jika dipuji dan semakin berkurang jika dicela.”


2.   Bekerja untuk kepentingan diri sendiri

Orang yang malas sentiasa merasakan setiap tugasnya adalah hanya untuk dirinya sahaja. Dia tidak memikirkan kepentingan orang lain. Yang penting, tugasnya siap dan tiada lagi kerja lain yang perlu dilakukannya. Sikap seperti inilah yang boleh menjejaskan kualiti nilai kerja seseorang.

Kita sering melihat, apabila adanya orang sebegini, selalunya nilai kerjanya tidak memuaskan. Dan adakalanya tidak dapat disiapkan dalam suatu tempoh yang ditentukan. Hal ini kerana adanya sikap malas dalam diri. Yang selalunya hanya menyusahkan orang lain.

Gambar Hiasan


3.   Tidak ada matlamat dalam hidupnya

Hidup ini perlu mempunyai matlamat yang dilandasi syariat dan nilai-nilai Islam. Apabila tiadanya matlamat yang ingin dicapai, maka tiadalah sebarang usaha untuk mencapai matlamat tersebut. Lihatlah pada burung-burung dan ambillah iktibar darinya. Mereka sanggup terbang ke sana ke mari, yang di sana terdapat pelbagai kesusahan dan kepayahan. 

Namun dengan adanya matlamat untuk mencari makanan buat alas perut baginya dan bagi anak-anaknya, burung-burung tersebut sanggup bersusah payah dan berkorban dengan segala kudrat yang telah dikurniakan Allah padanya.

Hayatilah pada sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,

“Aku takut apa yang menakutkan bakal berlaku kepada umatku, besar perut (kuat makan), banyak tidur, malas dan lemah keyakinan.” – Riwayat al-Daruqutni dan al-Dailani.


Peringatan untuk diri sendiri dan sahabat. Sekadar perkongsian.
Wallahua’alam.  
 
pensil-tekan.blogspot.com



3 comments:

izzah atirah said...

Rajin!

reward bebasbayar said...

Malas kadang jadi penyakit, pegang hp mau sholat aja ntar ntaran. Hehehehe

reward bebasbayar said...

Oh ya...
Buat para blogger, ayo gunakan aplikasi penghasil uang dengan sistem afiliasi. Bisnis afiliasi adalah bisnis yang wajib diikuti setiap blogger. Ada banyak sekali komisi yang bisa didapat dari aplikasi ini. Produknya dibutuhkan setiap hari. Tinggal gunakan aplikasinya secara rutin, dan ajak temanmu, maka komisi siap ditransfer ke kamu.
Untuk lihat detailnya ada di blog saya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Copyright© All Rights Reserved Pensil-tekan.blogspot.com