28 January 2012

Petua Panjang Umur Dan Murah Rezeki

 
Bagaimana hendak panjang umur? Adakah dengan hanya menjaga pemakanan? Tidak boleh makan itu tidak boleh makan ini? Tiadakah cara yang lebih mudah untuk panjang umur? Murah rezeki pula bagaimana? 

Nak tahu petuanya? Mari kita hayati sabda Nabi Muhammad SAW ini. Hadis yang diriwayatkan dari Ali bin Abi Talib menjelaskan,

“Barangsiapa senang untuk dipanjangkan umurnya dan diluaskan rezekinya serta dihindarkan daripada kematian yang buruk, maka hendaklah ia bertaqwa kepada Allah SWT dan menyambung silaturrahim.” (Hadis riwayat at-Tabrani)
Jadi, mudah bukan? Hanya perlu menyambung silaturrahim di samping bertaqwa kepada Allah, janji Allah untuk kita ialah panjang umur dan murah rezeki. Bukan hanya itu, terdapat pakej, iaitu dapat dihindarkan dari kematian yang buruk. 
Allah SWT memberikan berkat sepanjang perjalanan usia seseorang, lantaran semasa hidupnya penuh dengan amal perbuatan yang baik, termasuk menyambung silaturrahim. Itulah usia yang panjang meski pun dalam hitungan usia hanya sebentar. Kerana memang ukuran sebenarnya untuk kehidupan yang diberkati itu bukan bulan atau tahun, tetapi keagungan amal perbuatan dan banyaknya kebaikan yang ditaburkan.

Islam memandang penting jalinan tali silaturrahim. Dalam satu hadis yang diriwayatkan Ibnu Majah, Rasulullah SAW bersabda,

“Yang paling cepat dapat mendatangkan kebaikan adalah balasan (pahala) orang yang berbuat kebajikan dan menyambung tali silaturrahim, sedangkan yang paling cepat mendatangkan kejahatan ialah balasan (seksaan) orang yang berbuat jahat dan memutuskan hubungan kekeluargaan.”

Pengertian ‘menyambungkan’ adalah suatu proses aktif daripada sesuatu yang asalnya tidak tersambung. Rasulullah SAW bersabda,

“Yang disebut bersilaturrahim itu bukanlah seseorang yang membalas kunjungan atau pemberian, melainkan bersilaturrahim itu ialah menyambungkan apa yang terputus.” (Hadis riwayat Bukhari)
Kalau orang datang mengunjungi kita dan kita balas mengunjunginya semula, ini hal biasa serta tidak memerlukan pengorbanan yang tinggi. Boleh jadi, hal itu kita lakukan kerana kita berasa berhutang. Akan tetapi, ada orang yang tidak pernah bersilaturrahim kepada kita, lalu dengan sengaja kita mengunjunginya walaupun terpaksa menempuh jarak perjalanan yang cukup jauh dan perlukan masa yang agak lama. Di sinilah makna silaturrahim akan sangat kita rasakan.

Apalagi, apabila hal itu kita lakukan terhadap orang yang membenci kita. Padahal, jelas hak-hak kita pernah terambil atau hati kita sempat dilukainya, tetapi kita mengambil inisiatif terlebih dahulu menziarahinya. Di sinilah kekuatan silaturrahim yang sebenarnya.
Maka, sudah semestinya silaturrahim tidak hanya dilakukan pada bulan puasa atau hari raya sahaja, tetapi lebih baik jika dilakukan secara berterusan. Apabila berlaku perbezaan pendapat atau salah faham, maka segeralah melaksanakan silaturrahim. Menjalin kembali hubungan silaturrahim adalah hal yang mudah, asal diniatkan dengan sungguh-sungguh dan tulus demi mendapatkan keredhaan Allah SWT.



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Copyright© All Rights Reserved Pensil-tekan.blogspot.com