14 November 2012

Hijrah Muslim Sejati

Bersempena dengan kedatangan tahun baru Hijrah 1434 ini, mungkin ramai di kalangan kita yang telah menanamkan pelbagai azam. Ada yang ingin menjadi seorang yang lebih baik dalam pekerjaan, ada yang ingin lebih berjaya dalam pelajaran dan ada juga yang akan melangsungkan perkahwinan pada tahun baru ini. Namun adakah kita sedar, perkara paling penting untuk kita lakukan di tahun baru Islam ini ialah sentiasa berubah menjadi seorang Muslim yang lebih baik, dengan sentiasa meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT di samping menonjolkan keperibadian contoh sesama masyarakat.

Gambar Hiasan

Seperti mana sabda Nabi Muhammad SAW yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud,

“Seorang Muslim yang sebenar ialah orang yang terselamat dari bencana lidahnya dan tangannya orang-orang yang Muslimin yang lain. Dan orang yang berhijrah itu ialah orang yang meninggalkan apa yang dilarang Allah melakukannya.”

Ini bermaksud janganlah sampai ada seorang Muslim yang menggunakan lidahnya untuk mengucapkan kata-kata caci dan nista, mengumpat orang lain dan mengata orang itu. Itu bukanlah sifat seorang Muslim yang sebenar-benarnya. Sebab perbuatan serupa itu tentu sekali tidak digemari oleh saudaranya dan menyakiti hati orang lain. Dari sebab itu, dia akan menjadi marah dan akan timbul dalam hatinya perasaan dengki dan dendam yang akan menarik kepada perpecahan antara sesama Muslim. Padahal Islam melarang dengan keras sikap sedemikian. Malah Islam menganjurkan umatnya untuk saling bantu-membantu dan bersatu padu dalam segala urusan, supaya menjadi umat yang teguh dan kuat di hadapan orang-orang Musyrikin.

Demikian pula jangan sampai ada di kalangan kita yang menggunakan pengaruh dan kekuasaannya untuk menindas saudara kita yang lain. Ataupun bila dia telah diberikan Allah kekuatan, maka dia menggunakan kekuatan itu bukan untuk menolong manusia lain, bahkan digunakannya untuk menekan orang lain dan menganiayanya. Ini amatlah dilarang sama sekali oleh Islam dan akan menimbulkan kemurkaan Allah SWT ke atasnya, kerana dia telah meletakkan kurnia Allah yang dianugerahkan kepadanya itu di tempat yang salah. Ini boleh membawanya kepada kufur nikmat, mudah-mudahan Allah selamatkan kita dari sifat tersebut.

Gambar Hiasan

Berkenaan hijrah yang dimaksudkan pada hari ini, ialah berhijrah atau menjauhkan diri dari larangan agama, kerana yang demikian itu tentu sekali akan menarik kepada kecelakaan diri sendiri di dunia, kemudian di akhirat pula akan menerima balasannya yang pedih. Itulah kerugian yang paling besar. Sudah di dunia mendapat bermacam-macam musibah dan bencana, di akhirat pula diheret ke neraka. Bukankah itu suatu kerugian yang besar? Di manakah pemikiran mereka sehingga tidak dapat memikirkan hal-hal sedemikian?

Itu semua timbul dari kekeliruan di dalam hati yang telah diselaputi oleh hawa dan nafsu yang ammarah-bissu’ (mengajak melakukan dosa). Dalam hal seperti ini, syaitan bekerja keras untuk menipu kita. Digambarkannya hal-hal maksiat itu sebagai manis-manis belaka, bagus dipandang mata, senang dirasa oleh hati, walaupun kadang-kadang kita terpaksa membelanjakan wang yang banyak sekalipun, tidak mengapa. Akhirnya kita terkeliru dan tidak sedarkan diri lagi. Sesudah itu barulah kita menyesal kerana sudah terlanjur. Itu pun bukan semua orang yang bersikap semacam itu, bahkan ada pula yang lainnya bermegah-megah dengan maksiat-maksiat yang telah dilakukannya itu dengan menceritakannya pula kepada khalayak ramai, nauzubillah min zalik. Firman Allah SWT dalam surah Yusuf ayat 53,

“Dan aku tiada mampu membersihkan diriku (dari kesalahan) kerana sesungguhnya nafsu itu suka menyuruh melakukan yang buruk, kecuali orang yang dirahmati Allah.”

Dan kita yang telah diselamatkan Allah daripada tergelincir ke dalam lembah maksiat, janganlah pula kita mencela orang terkena bala itu, bahkan hendaklah kita mengucapkan syukur kepada Allah yang telah menyelamatkan kita daripadanya. Selain itu, kita hendaklah cuba menasihati orang yang melakukan maksiat itu dengan baik dan mendoakannya kepada Allah agar dia juga terselamat seperti kita. Mana tahu dengan nasihat kita itu dimakbulkan Allah, orang itu akan terbimbing semula ke jalan yang lurus.

Gambar Hiasan
Ingatlah bahawa Islam itu sentiasa mengambil berat terhadap segala hal ehwal kehidupan kita sama ada kaitannya di dunia mahupun di akhirat. Tidak ada sesuatu suruhan atau larangan yang ditujukan kepada kita, melainkan kesemuanya membawa kepada kebaikan dan keselamatan bagi diri kita. Kalau niat kita baik dan betul, insyaAllah kita akan didorong oleh Allah kepada maksud dan tujuan yang kita cita-citakan itu dengan baik dan selamat. Dengan itu, akan bertambah-tambah lagilah keimanan kita kepada Allah dan rasulNya serta subur dan kuatlah keyakinan kita kepada Islam yang kita anuti ini. 
Klik Pada Gambar Untuk Besarkan

SALAM MAAL HIJRAH 1434

Wallahu’alam…



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Copyright© All Rights Reserved Pensil-tekan.blogspot.com