09 November 2012

Pesanan Buat Bakal Pengantin

Minggu cuti sekolah telah pun. Dalam kemeriahan pelajar sekolah bercuti, tak ketinggalan juga bagi pasangan-pasangan yang akan melangsungkan perkahwinan pada musim cuti sekolah ini. Mungkin dalam sehari, akan ada dua atau tiga kenduri kahwin yang perlu dihadiri. Adakalanya sehingga tidak termampu untuk memenuhi undangan yang diterima. Namun, itulah kemeriahan yang terdapat dalam kalender setiap kali musim cuti sekolah yang menjelma.

Akan tetapi, dalam kemeriahan pasangan melangsungkan majlis perkahwinan, janganlah terlalu berbelanja dengan berlebihan. Perlu diingat bahawa Islam ada mengharuskan padanya hebahan mengenai perkahwinan, namun perlu pada batasan dan had yang harus diikuti. Bermula dari aspek perbelanjaan perkahwinan, jamuan makan sehingga ke perhiasan dan keperluan buat pengantin itu sendiri, yang perlu distrategikan sebaiknya agar tidak terkeluar dari kehendak syariat dan agama.

Gambar Hiasan
Maka, di sini saya ingin berkongsi beberapa perkara berkaitan perkahwinan yang kadang kala menjadi keraguan dan kemusykilan di hati bakal mempelai di hari perkahwinan nanti. Iaitulah hal berkaitan persandingan yang dibuat padanya pelamin untuk setiap pengantin baru. Walaupun bukan semua, akan tetapi tetap ada. Persoalannya, adakah ianya bersesuaian dengan hukum agama atau sebaliknya?


ADAT VS IBADAT

Tidak dinafikan salah satu kemestian dalam perkahwinan masyarakat kita ialah majlis persandingan di atas pelamin. Malah ramai yang beranggapan tidak sempurna majlis perkahwinan tanpa majlis persandingan. Tidak meriah majlis tersebut jika tiada pelamin yang cantik-cantik yang mengikut tema pakaian pengantin.

Perlu dijelaskan bahawa budaya bersanding tiada dalam Islam, ia budaya ikutan daripada adat Melayu lama atau Hindu. Akan tetapi, jika masyarakat Melayu masih mahu berpegang pada adat bersanding ini, adalah perlu dipastikan bahawa ianya telah bebas dari bercanggah dengan syariat Islam.

Sebenarnya tidak ada cacat celanya kalau berkahwin tanpa bersanding. Ada juga yang membuat pelamin di dalam bilik pengantin secara tertutup di hadapan ahli keluarga sahaja. Ini kerana tujuan sebenar bersanding ialah memperkenalkan pengantin lelaki dan pengantin perempuan kepada orang ramai. Bukan untuk mempamerkan kecantikan dan kemewahan si pengantin itu kepada khalayak.


BERSANDING YANG BERSYARIAT

Jika dinilai pada maksud sebenar bersanding seperti yang diterangkan di dalam Kamus Dewan Edisi Keempat tersebut maka ianya adalah HARUS. Sekadar pengantin lelaki dan perempuan duduk bersebelahan maka tiada masalah padanya. Cuma jika dibahaskan daripada sudut adat dan budaya yang diamalkan sekarang, yang kemungkinan ada padanya unsur-unsur yang dilarang oleh agama, maka itulah yang akan menyebabkan keharusan ini akan berubah hukumnya.

Untuk menjaga keharusan mengadakan persandingan ini, masyarakat  sewajarnya memenuhi syarat-syarat tertentu antaranya:

1.   Tidak membazir dan bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk. Dalilnya, 

“Janganlah kamu membazir secara melampau” – Surah al-Isra’, ayat 26.

2.   Tidak memperlihatkan aurat dan perhiasan kepada bukan mahram. Berhias untuk tujuan mempamerkan kecantikan kepada khalayak dengan berlebihan (tabarruj) juga adalah dilarang. Dalil hadis Nabi SAW dari Abdullah bin Mas’ud yang bermaksud,

“Allah melaknat wanita yang mencucuk tangan dan menaruh warna (membuat tattoo) dan yang meminta berbuat demikian, wanita-wanita yang menghilangkan bulu kening di muka, wanita yang mengikir gigi dan menjarangkannya supaya kelihatan cantik yang merubah kejadian Allah.” – Hadis Riwayat Muslim.

3.   Tiada pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan tanpa kawalan.

4.   Tiada unsur khurafat. Contoh: adat merenjis, tepung tawar, menabur beras kunyit, dan sebagainya.


Gambar Hiasan


JAGA SYARIAT DEMI KEBERKATAN

Berusahalah untuk menjaga syariat agama walaupun pada saat bergelar raja sehari untuk mengukir kenangan indah sekali seumur hidup. Hidup bersyariat membawa keberkatan dalam alam rumah tangga.

Walau apa jua yang bakal diperkatakan orang di sekeliling yang tidak memahami urusan agama, namun kita perlu tetap berpegang teguh dengan syariat yang lebih berhak diutamakan.

Baginda SAW bersabda yang bermaksud,

“Sesiapa yang telah bernikah, maka dia telah melengkapi separuh daripada agamanya dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah dalam memelihara yang separuh lagi.” – Hadis Riwayat al-Tabrani dan al-Hakim.

Wallahua’alam. Sekadar Perkongsian. Untuk peringatan semua dan diri sendiri.



4 comments:

ilham said...

bagus pesanan ni...ustaz bila lagi...

nur said...

Tidak memperlihatkan aurat dan perhiasan kepada bukan mahram. Berhias untuk tujuan mempamerkan kecantikan kepada khalayak dengan berlebihan (tabarruj) juga adalah dilarang. Dalil hadis Nabi SAW dari Abdullah bin Mas’ud yang bermaksud,

“Allah melaknat wanita yang mencucuk tangan dan menaruh warna (membuat tattoo) dan yang meminta berbuat demikian, wanita-wanita yang menghilangkan bulu kening di muka, wanita yang mengikir gigi dan menjarangkannya supaya kelihatan cantik yang merubah kejadian Allah.” – Hadis Riwayat Muslim.

mcm mn pula, hukum membuat ukiran inai di tangan pengantin?
mohon pandngan...=)

Administrator said...

@ilham

insyaAllah akan menyusul... =)

Administrator said...

@nur

tq ats s0alan... jawapan:

1) perempuan yg nk pkai inai pd kdua2 tgn dan kaki - harus slgi x menimbulkn fitnah
2) kadar - terhad sehingga pergelangan tangan dan buku lali shja.
warna - tidak bersifat kekal
corak - dilarang melukis corak haiwan, lambang dewa atau apa jua gambaran yang bertentangan dgn syarak
3) lelaki - tak diharuskan kec pd sebilangan jari pengantin smsa perkahwinan dan utk perubatan.

rujukan: http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-pemakaian-inai-bercorak-mengikut-syarak

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Copyright© All Rights Reserved Pensil-tekan.blogspot.com