Keadaan atau masa yang menimbulkan stres selalu berlaku.
Perkara ini tidak dapat dielakkan memandangkan gaya hidup di dunia moden yang
serba pantas ini.
Adakah anda tahu mengenai pelbagai kesan stres ke atas
sistem tubuh kita? Ia boleh merosakkan beberapa sistem. Ia malah mampu
melemahkan tubuh kita hingga ke satu tahap di mana sistem imun berputus asa.
Daripada hanya membaca maklumat ini begitu sahaja, adalah
penting untuk kita mengambil pendirian. Buatlah keputusan untuk membuat apa
saja yang terdaya untuk mengurangkan kesan buruk stres. Stres boleh membunuh,
justeru jangan biarkan ia membunuh anda atau orang yang anda sayangi. Individu
yang mengalami stres sentiasa kehilangan tenaga yang diperlukan untuk menjalani
kehidupan seharian. Jika ini berlaku, ianya boleh menyemai sikap negatif dalam
kehidupan mereka. Kemurungan akan berlaku dan mencetuskan kesan negatif kepada
kehidupan individu berkenaan.
Kegagalan menangani stres juga boleh membawa kesan buruk ke
atas kesihatan seseorang. Lazimnya sistem imun dapat mempertahankan tubuh dari
penyakit. Namun begitu, stres boleh melemahkan sistem imun. Jika ini berlaku,
individu berkenaan akan lebih mudah mendapat penyakit berbahaya seperti kanser
dan masalah jantung. Pada masa yang sama, jika dia sedang berhadapan dengan
masalah kesihatan, ianya boleh memburukkan lagi keadaan.
Umum mengetahui penyakit jantung merupakan penyebab kematian
nombor satu di dunia. Sebahagian dari simptom atau pertanda penyakit jantung
mempunyai kaitan dengan stres. Peningkatan tekanan darah yang mendadak dan
debaran jantung berterusan adalah antara tanda-tandanya. Berasaskan fakta-fakta
tersebut, adalah penting untuk seseorang untuk berbuat sesuatu sekiranya mereka
mendapati diri mereka tidak berupaya menangani stres. Mereka perlu mengatasi
masalah tersebut secepat mungkin untuk mengelakkan diri dari menjadi mangsa
stres yang boleh membunuh.
Cara Mudah untuk Mengatasi Stres
Ada beberapa langkah yang perlu diambil untuk mengelakkan
kesan buruk stres. Dengan mengamal langkah-langkah berikut, risiko untuk
mendapat kesan buruk stres dapat dikurangkan.
1. Pemakanan yang Betul
Makan makanan yang betul membantu kita menghadapi cabaran
kehidupan seharian. Pastikan anda tidak terlupa untuk makan pada waktu makan
agar anda mempunyai tenaga yang cukup untuk melaksana tugas seharian. Pada masa
yang sama, mengambil diet yang seimbang akan menjamin tubuh mendapat zat
makanan yang diperlukan. Justeru pastikan anda mengambil makanan yang
menyumbang kepada kesejahteraan anda. Ambil protein, vitamin B (B6 dan B12),
asid folik dan mineral.
2. Jangan Membebankan Diri
Kadangkala seseorang itu terlalu bercita-cita tinggi dan
terlupa akan kemampuan diri. Justeru penting untuk kita mengelak diri dari
mengambil tugas lebih dari yang mampu dilaksanakan. Laksanakan tugas sedikit
demi sedikit. Pecahkan tugas yang besar kepada beberapa tugas kecil yang boleh
diselesaikan dalam tempoh yang lebih pendek. Dengan cara ini, ia akan
meringankan beban tubuh dan minda kita.
3. Berehat
Jika anda selalu sibuk dan tidak cukup tidur, fikir semula
baik-baik. Badan kita perlu rehat selepas bekerja untuk beberapa ketika.
Justeru jangan biarkan seminggu berlalu tanpa rehat dan tidur yang nyenyak.
Cubalah ambil cuti selepas melaksana beberapa siri tugas berat. Mendengar musik
klasik yang baik atau mengambil masa untuk bersendirian dan merehatkan minda
akan membantu kita dalam jangka masa yang panjang.
4. Berinteraksi dengan Famili dan Rakan
Adalah bagus menjadi seorang yang kuat kerja. Namun begitu
jangan lupa, sebagai seorang manusia kita memerlukan sokongan orang di
sekeliling kita. Pastikan anda meluangkan masa untuk melakukan aktiviti masa
lapang bersama famili dan juga rakan-rakan. Ini akan menghilangkan sebarang
kerungsingan yang bermain di minda. Dalam masa yang sama ianya akan menolong
anda membina pandangan positif apabila anda kembali bertugas.
Stres sebenarnya boleh membunuh tetapi ianya tidak perlu
begitu. Penting untuk seseorang itu mempunyai kawalan ke atas kehidupannya.
Lindungi diri dan kesihatan dengan mengamalkan langkah-langkah yang akan
membantu mengurus stres dengan baik.
pensil-tekan.blogspot.com
No comments: