16 June 2012

Asal Wanita Dari Rusuk Lelaki?

Dalam sebuah hadis sohih yang direkodkan oleh Bukhari dan Muslim, nabi berkata, 
“Aku berwasiat kepada kamu supaya menjaga wanita dengan sebaik-baiknya kerana mereka dijadikan daripada tulang rusuk dan sebengkok-bengkok tulang rusuk adalah yang di bahagian teratas. Sekiranya kamu cuba meluruskannya, kamu akan mematahkannya dan sekiranya kamu biarkan sahaja dia akan terus bengkok selama-lamanya. Justeru, berpesan-pesanlah tentang wanita (dengan kebaikan).”

Gambar Hiasan


Adakah ayat ini bermaksud kaum wanita secara umumnya dijadikan Allah daripada tulang rusuk kamu lelaki? Sebenarnya, di dalam al Quran Allah menyatakan dengan jelas manusia sebenarnya berasal daripada nutfah iaitu air mani yang sedikit bercampur dengan benih wanita kecuali Nabi Adam yang berasal daripada tanah. Berhubung dengan ini dalam surah al Haj ayat 5, Allah menjelaskan, 

“Wahai manusia, apabila kamu meragui hari kebangkitan, (maka ingatlah) kami menciptamu daripada tanah, kemudian daripada nutfah.”

Oleh kerana kenyataan Quran berhubung kejadian manusia begitu jelas sekali, hadis tidak dapat mencanggahinya. Justeru hadis ini, yang menyatakan wanita berasal daripada tulang rusuk lelaki, tidak dapat ditafsirkan dalam bentuk yang mencanggahi Quran. Sebenarnya, fokus hadis ini bukannya berkenaan asal usul kejadian wanita sebaliknya berkenaan kepentingan menghormati dan menjaga wanita dengan baik. Justeru, di dalam kitab Riadus Salihin, Imam Nawawi meletakkan hadis ini dalam bab ‘Wasiat Untuk Menjaga Kaum Wanita Dengan Baik’.

Di dalam kitab Dilalul Falihin, diriwayatkan bahawa Imam Qurtubi berkata, “Wanita dicipta dalam batas dan keadaan seperti tulang rusuk,” dan bukan dicipta daripada tulang rusuk. Dalam bentuk kiasan ia bermaksud, tulang rusuk dalam keadaan bengkok adalah berbeza daripada kaum lelaki. Perbezaan ini mempunyai kepentingannya justeru tulang rusuktidak boleh dicaci kerana keadaan seperti itu kerana tanpanya manusia menghadapi masalah. 

Begitu juga dengan kaum wanita, tanpanya kehidupan tidak sempurna. Kaum wanita adalah cantik dalam keadaan semula jadinya walaupun dalam aspek-aspek tertentu mereka berbeza daripada kaum lelaki. Pihak lelaki perlu menerima wanita dengan sifat semula jadinya dan tidak boleh bersikap keras kepada mereka. Mereka disuruh menghormati wanita dan bekerjasama dengannya bagi mencapai matlamat yang Allah tetapkan. Wanita ada peranannya dan kadangkala peranan itu berbeza daripada kaum lelaki. Perbezaan peranan tidak melambangkan kehinaan.

Gambar Hiasan

Berbalik kepada isu yang berkaitan dengan kejadian kaum wanita daripada tulang rusuk lelaki, sebahagian ulama berpendapat hadis ini membicarakan berkenaan kejadian Hawa secara khusus. Mengikut pandangan mereka, Hawa berasal daripada tulang rusuk Nabi Adam. Antara ulama yang berpegang dengan pendapat ini adalah sahabat Abdullah bin Abbas, Abdullah bin Mas’ud, Imam Mujahid, Ibn al Munzir, Ibn Humaid dan ramai lagi. 

Namun, apabila Quran dirujuk berhubung perkara ini, tidak kita menemui sebarang dalil yang menyokong pandangan ini. Sebagai contoh, berhubung dengan penciptaan Hawa, dalam surah an Nisa’ ayat 1 Allah menjelaskan yang bermaksud, 

“Wahai manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu yang menciptakan kamu daripada diri yang satu (Adam) dan daripadanya Allah menciptakan isterinya (Hawa) dan daripada kedua-duanya Allah mengembangbiakkan lelaki dan perempuan yang banyak”. 

Dalam ayat ini dan yang seumpamanya kejadian Hawa tidak langsung dikaitkan dengan tulang rusuk Nabi Adam.

Gambar Hiasan

Rujukan: Dr Danial Zainal Abidin (2009), Quran Saintifik: Meneroka Kecemerlangan Quran daripada Teropong Sains, Kuala Lumpur: PTS Millennia Sdn Bhd, m/s 122 - 124
 
 
pensil-tekan.blogspot.com



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Copyright© All Rights Reserved Pensil-tekan.blogspot.com