Satu daripada ciri-ciri rumah tangga bahagia ialah kehadiran
seorang suami yang cemerlang. Suami yang cemerlang adalah asas bagi rumah
tangga yang bahagia. Suami yang cemerlang memiliki keupayaan untuk mendidika
ahli-ahli dalam rumah tangganya ke arah kejayaan. Sesungguhnya suami yang
cemerlang adalah idaman setiap wanita bergelar isteri.
10 Tips Untuk Menjadi Suami Cemerlang
1. Jagalah penampilan anda di hadapan isteri.
Anda mesti kelihatan bersih dan berbau harum. Sebagaimana anda
ingin melihat isteri anda, maka begitulah juga seharusnya penampilan anda di
hadapan isteri. Ingatlah bahawa Rasulullah SAW selalu berwangi-wangian ketika
bersama isteri Baginda.
2. Panggil dengan panggilan yang disukai
Panggillah isteri anda dengan nama yang paling disukainya. Rasulullah
SAW sendiri memanggil isteri-isteri Baginda dengan gelaran-gelaran yang mereka
sukai. Misalnya, Baginda memanggil Saidatina Aisyah dengan gelaran ‘Humaira’. Jangan
sesekali memanggil isteri anda dengan gelaran yang tidak disukainya.
3. Jangan melayan mereka seperti 'lalat'
Usah sesekali melayan isteri anda seperti seekor lalat. Anda
tidak pernah mempedulikan kehadiran lalat sehinggalah lalat itu mengganggu
anda. Anda mungkin tidak pernah mempedulikan apa yang isteri anda lakukan,
sehinggalah ia melakukan sesuatu yang mengganggu anda. Usah lakukan seperti
ini. Hargailah setiap perkara yang dilakukan oleh isteri anda dan ambil
beratlah terhadap sesuatu perkara itu.
4. Usah cepat mengkritik
Sekiranya anda melihat sesuatu kelemahan isteri anda,
usahlah mengkritiknya dengan tergesa-gesa. Rasulullah SAW apabila melihat
sesuatu kelemahan isteri Baginda, Baginda hanya mendiamkan diri.
5. Senyum
Senyumlah selalu kepada isteri anda bila-bila masa saja anda
melihatnya. Senyuman adalah sedekah dan dapat menggembirakan hatinya.
6. Ucaplah terima kasih
Ucapkan terima kasih atas segala pengorbanannya terhadap
anda. Selalulah ulangi ucapan terima kasih anda kepadanya. Ucapkan terima kasih
setiap kali isteri anda menyediakan makanan, mengemas rumah dan pelbagai lagi
tugas yang dilakukannya. Janganlah sampai isteri anda hanya mendengar keluhan
anda tentang sup yang perlu ditambah garam, atau air kopi yang perlu ditambah
gula.
7. Tulis 10 perkara
Mintalah isteri anda menulis 10 perkara yang telah anda
lakukan yang menggembirakan hatinya. Lakukanlah perkara-perkara yang disukainya
itu sebaik mungkin. Sukar untuk anda mengetahui perkara yang menggembirakan
hatinya, melainkan anda menyuruhnya menuliskan perkara itu di atas kertas.
8. Usah memperkecilkan kemahuan isteri
Usah sesekali memperkecil-kecilkan kemahuan isteri anda. Isteri
juga manusia biasa yang ada kemahuan dan keinginan dalam hal-hal tertentu. Seperti
halnya ketika Rasulullah berhadapan dengan isteri Baginda yang bernama
Safiyyah. Safiyyah menangis kerana dinaikkan di atas seekor unta yang begitu
lambat jalannya. Rasulullah mendekati Safiyyah, menyapu air matanya dan
menenteramkan beliau. Kemudian Rasulullah membawakan seekor unta lain
kepadanya.
9. Sentiasa bergurau senda dan berjenaka
Suami yang cemerlang tidak lokek untuk bergurau senda dan
berlawak jenaka dengan isteri. Sesekali pada waktu lapang, bermainlah bersama
isteri apa saja permainan yang sesuai. Rasulullah pernah berlumba lari bersama
Aisyah. Bilakah kali terakhir anda bermain dengan isteri anda?
10. Lakukanlah yang terbaik untuk isteri
Ingatlah selalu ucapan Rasulullah SAW,
“Orang yang terbaik di kalangan kamu ialah orang yang paling baik (pergaulannya) dengan ahli keluarga dan aku adalah yang terbaik di kalangan kamu dalam pergaulan dengan ahli keluargaku.”
Cubalah lakukan yang terbaik yang anda boleh lakukan.
Untuk menjadi suami yang cemerlang, lakukanlah 10 tips di
atas dengan bersungguh-sungguh. Jangan lupa berdoa kepada Allah agar
perkahwinan anda direstui dan beroleh kejayaan.
# Selamat pengantin baru buat sahabat-sahabat saya yang bakal dan telah melangsungkan perkahwinan. Moga mahligai cinta kalian akan kekal hingga ke syurga. InsyaAllah...
pensil-tekan.blogspot.com
No comments: