28 January 2012

Terapi Rindukan Si Dia

Tak dapat disangkal bahawa setiap insan pasti mahu menemui cinta. Sememangnya, apabila cinta sudah bertemu, pasti akan membuahkan kerinduan. Orang yang mencinta akan rindu kepada orang yang dicintainya.

Kerinduan kepada kekasih selalunya memberikan duka kerana kerinduan tersebut bukanlah suatu jalan halal untuk ditempuh. Maka, sebaik-baik jalan adalah jalan pernikahan. 

Gambar Hiasan
Namun, si pemuda belum mampu memberikan nafkah zahir. Begitu juga dengan si gadis yang masih muda dan menjadi sandaran keluarga untuk meneruskan pengajian. Akhirnya, dek kerana cinta tidak dapat disalurkan dengan betul maka percintaan bukan atas dasar yang betul dijadikan jalan keluar kepada masalah ini. 

Ber’chatting’ ditambah dengan fenomena facebook dan sebagainya, menjadi salur alternatif untuk berhubung antara pasangan kekasih. Mungkin juga para pendakwah tidak terlepas dari masalah ini. 

Maka seharusnya, rasa rindu ini perlu dikawal dan diselia dengan melakukan beberapa perkara yang mungkin boleh dijadikan panduan bersama.


TERAPI RINDU DENGAN SEGERA BERKAHWIN

Kahwinlah ubat yang paling mujarab apabila rindukan si dia. Dengan berkahwin, segala rasa kerinduan, rasa ingin bersamanya setiap waktu, rasa ingin mendengar suaranya selalu, akan terubat dengan berkesan sekali. Sabda Nabi Muhammad, seperti diriwayatkan Bukhari dan Muslim yang bermaksud,

“Wahai para pemuda, barangsiapa yang berkemampuan (zahir dan batin), maka nikahlah kerana itu lebih akan menundukkan pandangan dan lebih menjaga kemaluan. Barangsiapa yang belum mampu, maka berpuasalah kerana puasa itu sebagai ubat pengekang baginya.”

Seorang pemuda yang telah berkemampuan dari sudut zahir dan batin amat dituntut untuk berkahwin kerana inilah syarat utama seperti yang disebutkan oleh Nabi Muhammad. Berkahwin tidak semestinya dengan orang selalu dirindui. Boleh jadi dengan orang lain, kerana dengan berkahwin itu telah mencukupi segala keperluan jiwa di samping menemui keberkatan di dalamnya. Jika jodoh mempertemukan dengan orang yang selalu dirindui, maka berkahwinlah dengannya dengan hati dan niat yang ikhlas.



BERUSAHA UNTUK IKHLAS DALAM BERIBADAH

Ikhlas adalah terapi mujarab penyakit rindu. Jika seseorang benar-benar ikhlas menghadapkan diri pada Allah dan ikhlas padaNya, maka ia dia tidak akan menemukan perkara lain yang lebih manis dan lebih indah dari Allah. Manusia tidak akan meninggalkan sesuatu yang dicintainya, melainkan setelah memperoleh kekasih lain yang lebih dicintainya. Cinta yang buruk akan digantikan dengan cinta yang baik.

Hati yang tidak ikhlas akan sentiasa dipengaruhi hawa nafsu yang menuntut segala keinginan yang kemahuan hanya di atas dasar nafsu semata-mata. Keadaan ini tidak ubah seperti ranting-ranting pada dahan yang meliuk ke sana ke mari mengikut arah angin.


Gambar Hiasan


BANYAK MEMOHON KEPADA ALLAH

Setiap doa yang kita panjatkan pasti akan membawa manfaat. Mungkin doa yang dipinta itu akan segera dikabulkan Allah. Boleh jadi sebagai bekalan di akhirat nanti atas kesabaran dan keikhlasan kita dalam berdoa. Yang pasti, Allah akan sentiasa bersama hambaNya yang sentiasa mengingatiNya.

Telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud,

“Tidaklah seorang Muslim memanjatkan doa pada Allah selama tidak mengandungi dosa dan memutuskan silaturrahim, melainkan Allah akan berikannya tiga perkara, Allah akan segera mengabulkan doanya, Allah akan menyimpannya baginya di akhirat kelak dan Allah akan menghindarkan darinya sebarang kecelakaan.” Para sahabat lantas mengatakan, “Kalau begitu, kami akan memperbanyakkan berdoa.” Nabi Muhammad kemudian berkata, “Allahuakbar (Allah Maha Besar).”

Ketika seseorang berada dalam kesusahan dan dia bersungguh-sungguh berdoa mengharapkan Allah, nescaya Allah akan mengabulkan doanya. Termasuklah apabila seseorang memohon pada Allah agar dilepaskan dari penyakit rindukan kekasih hati. Penyakit yang menyebabkan dirinya gundah gulana, sedih dan sengsara. Oleh itu, perbanyakkanlah berdoa.



GIAT UNTUK MENYIBUKKAN DIRI

Apabila seseorang dalam keadaan kosong, biasanya seseorang lebih mudah untuk berangan memikirkan si dia. Dalam keadaan sibuk pula, pelbagai fikiran tersebut mudah untuk hilang begitu saja. Oleh kerana itu, untuk menangkis rasa rindu adalah dengan menyibukkan diri dengan perkara yang bermanfaat. Sebenarnya, rasa rindu lebih mudah hadir apabila seseorang tidak sibuk atau ‘free’. 

Di kala itulah segala perkara muncul, baik dari segi wajah si kekasih, gerak geri hinggalah segala perkara yang berkaitan dengannya. Ianya hanyalah sekadar bayangan dan khayalan yang berakhir dengan kesedihan diri. Tiada manfaat darinya sedikit pun.

Ibnu Qayyim menyebutkan nasihat seorang sufi yang ditujukan pada Imam Syafie. Ia berkata,

“Jika dirimu tidak tersibuk dengan hal-hal yang baik, pasti akan tersibukkan dengan hal-hal yang sia-sia.”


MENGHINDARI LAGU-LAGU DAN FILEM CINTA

Lagu dan filem cinta amat berpotensi untuk menebarkan rasa rindu yang lebih kuat pada si dia. Apa lagi bila lagu tersebut dibuai dengan bait-bait puitis, mendayu-dayu yang akan menggetarkan hati orang yang ditimpa kerinduan. Akibatnya, rasa rindu padanya semakin memuncak. 

Berbagai angan-angan pun akan terdetik di hati dan fikiran. Jika demikian keadaannya, sebaiknya dihindarkan lagu-lagu dan filem yang berbentuk kecintaan sesama manusia, demi keselamatan dan kejernihan hati.


Gambar Hiasan


BAYANGKAN KEKURANGAN SI DIA

Ingatlah, orang yang selalu dirindui itu juga punya kelemahan dan kekurangan, sehingga tidak layak untuk dipuja, disanjung atau sentiasa dirindui. Dalam khayalan, semuanya indah, semuanya sempurna, namun pada hakikatnya, ia hanyalah lamunan semata.

Ibnu Jauzi berkata,
“Sesungguhnya manusia itu penuh dengan najis dan kekotoran. Sementara orang yang mabuk cinta senantiasa melihat kekasihnya dalam keadaan sempurna. Disebabkan cinta, ia tidak lagi melihat adanya aib.”

Kita mampu menghukumi sesuatu dengan timbangan keadilan, sedangkan orang yang sedang dikuasai kerinduan yang membara, mampu untuk tidak berlaku adil lagi. Kecintaannya menutupi seluruh aib yang dimiliki pasangannya. Hukamak pernah berkata, “Mata yang dilipuit oleh hawa nafsu akan menjadi buta.”

Semoga Allah memberi taufik dan hidayah buat kita semua. Segala puji bagi Allah yang dengan nikmatNya segala kebajikan menjadi sempurna. Juga peringatan tuk diri ini. InsyaAllah.

pensil-tekan.blogspot.com




No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Copyright© All Rights Reserved Pensil-tekan.blogspot.com