Hari
kiamat itu pasti akan tiba, tidak boleh diragui lagi. Semua makhluk akan
dibangkitkan, sama ada yang hidup mahupun yang sudah mati untuk
menerima pengadilan dari Allah Maha Adil lagi Maha Bijaksana. Bila
dikenang-kenang akan hari yang dahsyat itu, tentulah hati perut kita
akan menjadi kecut dan gerun sekali dan fikiran kita akan menjadi
kelam-kabut. Tetapi bagi orang yang sudah menyediakan dirinya untuk hari
itu, dia akan merasa gembira dan senang, sebab dari situ dia akan
merasakan suatu kehidupan yang baru, kehidupan yang abadi dalam Syurga
Jannatul Na’im. Allah SWT telah menjanjikan demikian, sekiranya kita
tergolong dari makhluk-makhlukNya yang memilih jalanNya yang benar dan
sentiasa dalam ketaatan kepada perintahNya, dan bersabar dalam
meninggalkan laranganNya.
Gambar Hiasan |
Itulah
kehidupan yang kekal abadi dalam kenikmatan yang tiada bandingannya di
dalam dunia ini. Setiap manusia tentu mencita-citakan kehidupan itu,
tetapi mencita-cita sahaja tidaklah cukup untuk mencapai kehidupan yang
abadi itu. Hendaklah kita bekerja dan berusaha dari sekarang di dunia,
mengerjakan segala amalan-amalan yang dengannya kita dapat menerima
keredhaan Allah dan rasulNya. Jalan-jalan dan cara-cara untuk
menyampaikan kita kepada tingkat ini jelas dan terang dan tidaklah
terlalu susah. Hanya kita memerlukan kesabaran dan ketekunan, agar
sempurna semua amalan-amalan itu dan dilakukan dengan baik dan dapat
diterima oleh Allah SWT.
HARI KIAMAT SUATU KEPASTIAN
Sebelum
berlaku kiamat, bencana dan pancaroba menyelimuti manusia. Peperangan,
pembunuhan dan persengketaan berlaku sesama manusia dengan dahsyatnya.
Akhirnya berlakulah kiamat dengan tiupan sangkakala yang pertama diikuti
dengan kebangkitan semula selepas tiupan sangkakala yang kedua oleh
malaikat Israfil. Allah menyatakan di dalam surah al-Kahfi ayat 99
bermaksud,
“Kami biarkan mereka di hari iru bergelumang di antara satu dengan lain, kemudian ditiup sangkakala sekali lagi, lalu kami kumpulkan mereka semua.”
Selepas
itu bumi ini berubah digantikan dengan alam yang baru seperti yang
dikehendaki Allah. Allah menyatakan di dalam surah Ibrahim ayat 48 yang
bermaksud,
“Iaitu pada hari bumi digantikan dengan bumi yang lain dan demikian dengan pula langit dan mereka semuanya dihimpunkan (di padang Mahsyar) menghadap Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa.”
Imam
Tirmizi dan Muslim melaporkan sebuah hadis, semasa Aishah membaca ayat
48 daripada surah Ibrahim ini, beliau terus bertanya Nabi Muhammad,
“Ya Rasulullah, dimanakah manusia semasa itu?” beliau berkata, “Di atas sirat (jambatan)”.
Gambar Hiasan |
Di
padang Mahsyar, keadaan manusia berbeza-beza, mengikut iman dan amalan
yang dilakukan. Sebagai contoh, dalam sebuah hadis, Nabi Muhammad
bersabda,
“Pada Hari Kiamat manusia dikumpulkan menjadi tiga golongan iaitu yang berjalan kaki, yang berkenderaan dan yang berjalan di atas muka-muka mereka. Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimanakah manusia berjalan di atas muka-muka mereka?” beliau menjawab, “Yang maha berkuasa yang menjalankan manusia di atas kaki-kaki mereka juga berkuasa menjalankan manusia di atas muka-muka mereka. Alangkah sukarnya mereka semasa itu kerana mereka terpaksa menjaga diri mereka daripada bonggol dan duri di atas tanah.” - Riwayat Tirmizi.
Allah
mengizinkan golongan tertentu memberikan syafaat bagi membantu orang
lain pada Hari Kiamat. Syafaat bermaksud permohonan kepada Allah supaya
manusia mendapat kebaikan dan kesejahteraan. Namun syafaat yang paling
agung yang dikenali sebagai syafaat uzma dikhususkan hanya kepada Nabi
Muhammad. Beliau berkata,
“Sesungguhnya matahari mendekat pada Hari Kiamat dan kepanasannya menyebabkan keringat keluar sehingga ke paras telinga manusia. Pada saat itu, mereka menemui Nabi Adam bagi meminta tolong dan Adam berkata, “Aku tidak mampu menolongmu.” Mereka pun pergi menemui Nabi Musa dan beliau menjawab seperti yang dikatakan oleh Nabi Adam. Kemudian mereka pergi menemui Nabi Muhammad dan beliau terus menggunakan syafaat beliau supaya dipercepatkan perhitungan ke atas semua manusia. Di kala itu Allah mengurniakan tempat yang terpuji kepada Nabi Muhammad. Beliau mendapat pujian daripada seluruh makhluk.” – Riwayat Abu Daud dan al-Hakim.
Selepas
itu perhitungan pun dilakukan secara adil oleh Allah. Segala amalan
manusia ditimbang dan dibalas oleh Allah dan manusia tidak dizalimi.
Allah menyatakan di dalam surah al-Anbiya’ ayat 47 yang bermaksud,
“Kami meletakkan timbangan secara adil pada Hari Kiamat dan setiap jiwa tidak dizalimi sedikit pun. Sekiranya amalan itu hanya seberat biji sawi, pasti kami mendatangkan pahalanya. Cukuplah kami sebagai pembuat perhitungan.”
Gambar Hiasan |
TANDA-TANDA BESAR HARI KIAMAT
Kiamat
ini terbahagi kepada dua bentuk iaitu lah Kiamat Kecil dan Kiamat
Besar. Adapun Kiamat Kecil itu ialah kiamat yang menyentuh setiap
peribadi dan makhluk Allah ketika dia meninggalkan dunia iaitulah
kematian. Rasulullah mengatakan bahawa kiamat itu bermula apabila
seseorang bertemu dengan kematiannya. Dan dari hari itu untuk seseorang
sampai kepada Hari Kiamat Besar adalah terlalu jauh masanya.
Hadis-hadis Rasulullah banyak kali memberikan tanda-tandanya akan kedatangan Kiamat Besar itu. Antaranya ialah,
1. Kelahiran Mahdi
Mahdi
atau lebih dikenali sebagai Imam Mahdi, iaitu seorang lelaki dari
keturunan Rasulullah yang akan mengembalikan keadilan ke atas muka bumi
ini, setelah ianya dipenuhi dengan penganiayaan dan kezaliman
sebelumnya.
2. Kedatangan Dajjal
Dajjal
ialah seorang lelaki yang mengaku dirinya tuhan, dapat menciptakan
berbagai perkara yang ajaib dan luar biasa. Matanya buta sebelah dan
tugasnya ialah menipu manusia dan menyesatkannya sehingga banyak
orang-orang yang lemah imannya dan cetek agamanya terpikat dengan seruan
Dajjal. Orang yang menurut katanya diberikan segala macam kenikmatan
dan mengingkarinya disiksa dan dianiaya.
3. Kemunculan Nabi Isa
Kemunculan
semula Nabi Isa ke dunia sebagai seorang yang menganut agama Islam. Di
tangannya lah Dajjal itu akan menerima ajalnya. Dengan terbunuhnya
Dajjal, maka dunia sekali lagi akan kembali kepada keadilan dan
ketenteraman.
4. Lahirnya Ya’juj dan Ma’juj
Kelahiran suatu kaum yang dinamakan Ya’juj dan Ma’juj yang membanjiri dunia ini dengan kerosakan dan kezaliman semula.
5. Keluarnya Dabbah
Iaitu
seekor binatang yang keluar dari perut bumi yang boleh berkata-kata
seperti manusia. Dia boleh menentukan kepada setiap orang yang
ditemuinya sama ada orang itu mukmin atau kafir.
6. Terbit Matahari Dari Barat
Apabila
terbitnya matahari dari arah barat, maka bermulalah saatnya malapetaka
yang paling hebat. Dan ketika itu, tertutuplah semua pintu taubat bagi
seluruh manusia.
No comments: