Pertama kali saya tengok video tentang seorang ibu yang
sanggup memukul anak kecilnya dengan bantal dan mencubitnya beberapa kali, amat
menyentap perasaan saya. Ditambah pula dengan dua tiga kali ‘tamparan wanita’
hinggap di muka kanak-kanak malang tersebut, perasaan saya terus bercampur
baur. Marah, sedih, kecewa dan macam-macam lagi. Saya percaya,
penonton-penonton lain juga merasakan sebegitu kerana sifat dan nilai
kemanusiaan telah hilang dari naluri seorang ‘ibu’, amat mendukacitakan dan
mendatangkan pelbagai reaksi.
[Video ini bukan bertujuan untuk membuka aib sesiapa, tetapi ingin berkongsi pengajaran dan panduan untuk kita bersama]
Dapat dilihat dari pelbagai komen-komen yang telah dihantar
ke laman Youtube dan Facebook, boleh dikatakan majoriti penonton mengecam
tindakan ‘si ibu’ tersebut. Tidak kurang ada yang terus memaki hamun perbuatan
tersebut dek kerana tidak sanggup melihat dan mendengar tangisan insan yang
bergelar kanak-kanak yang masih belum mengerti apa-apa.
HANYA BOLEH MELIHAT
Saya berasa hairan, dalam paparan video tersebut, saya
percaya bukan seorang (perakam video) yang bersama ‘si ibu’, ada lagi
orang lain yang turut melihat perbuatan ‘si ibu’ mendera anaknya. Namun,
apa tindakan mereka yang melihat perlakuan tersebut? Hanya melihat dan
mengatakan, “Cukup Ira”, “Sudah Ira”? Ya Allah, amat menyedihkan. Saya tengok
kanak-kanak itu hanya menangis saja, dia bukan berbuat apa-apa pun pada ibunya. Jadi,
apakah salahnya hingga diperlakukan sedemikian rupa? Mungkin ibunya seorang pesakit mental. Mungkin!!
Dikhabarkan, wanita ini berusia lingkungan 20-an yang sedang mengalami tekanan perasaan kerana suaminya telah berlaku curang. Namun, rasa marahnya telah dilampiaskan kepada kanak-kanak yang tidak berdosa ini. Dan wanita ini telah ditahan dan sedang menjalani hukuman penjara 18 bulan kerana kesalahan mendera kanak-kanak.
Ini status sebenar kes video penderaan tersebut.
Berhubung dengan penyebaran video penderaan bayi melalui media sosial, PDRM telah menerima hampir 300 aduan dan komen daripada orang ramai yang rata-rata bersimpati dan prihatin dengan nasib bayi tersebut.
Untuk makluman, kes tersebut telah dilaporkan di IPD Petaling Jaya pada 29 Mei 2011 dan tangkapan telah dibuat pada hari yang sama. Pelaku merupakan ibu kandung kepada bayi perempuan yang didera.
Wanita tersebut kini sedang menjalani hukuman penjara selama 18 bulan bermula pada tarikh tangkapan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Sememangnya, realiti masyarakat kini begitu serius dengan
keruntuhan dan rosakkan moral dan nilai akhlak manusia itu sendiri. Namun begitu, sensitiviti
masyarakat terhadap masalah sebegini masih kuat. Masyarakat amat mengecam
tindakan-tindakan sebegini, sehinggakan telah diberitakan ada 300 panggilan telah
dilaporkan kepada pihak polis untuk mendesak polis mengambil tindakan terhadap ibu tersebut.
SYURGA DI BAWAH TELAPAK KAKI IBU
Walau bagaimanapun ibu kita, jagalah hati dan perasaan
mereka dengan sebaiknya. Mungkin ada di kalangan kita yang mungkin pada usia
kecilnya, si ibu pernah melakukan kesalahan atau kesilapan (lumrah manusia),
namun dia tetap ibu kita. Terimalah mereka seadanya dan selagi ada masa, ada peluang, berbaktilah
kepada mereka selagi terdaya. Peliharalah hati mereka, jasad mereka, jiwa
mereka dan perasaan mereka supaya kehidupan kita untuk masa-masa yang akan datang,
akan lebih diredhai Allah SWT. Berikan keampunan kepada sesiapa sahaja dan
mohonlah ampun juga dari sesiapa sahaja.
Betapa besar dan mulianya insan bernama ibu (dan juga bapa) di
sisi Allah, firman Allah SWT dalam surah Luqman ayat 31 yang bermaksud,
“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).”
Dan
untuk para ibu, peliharalah amanah yang diberikan Allah SWT iaitu anak-anakmu
dengan sebaiknya. Berilah mereka kasih sayang dengan sepenuhnya dan lengkapkan
diri mereka dengan akhlak dan nilai Islam yang sempurna. Amanah itulah saham
kita di akhirat nanti. InsyaAllah.
pensil-tekan.blogspot.com
No comments: