28 May 2013

Berakhlaklah Kepada Ibu Bapa Kita

Assalamualaikum buat semua pengunjung yang sudi membaca dan berkongsi ilmu di blog saya ini. Terima kasih sudi melawat blog saya yang tak seberapa. Untuk entri kali ini, saya akan cuba menulis bagi menjawab satu persoalan yang telah ditanya kepada saya di Facebook oleh seorang sahabat saya mengenai isu seorang pelakon yang dikatakan telah derhaka kepada ibunya. Isu ini telah heboh dan hebat diperkatakan di media-media sekarang. Oleh kerana itu, saya ingin memberikan beberapa respon mengenai isu ini. 

Persoalan yang utama dari kisah ini ialah kebenaran cerita yang telah didedahkan kepada kita iaitu siapa yang salah dan siapa yang patut dipersalahkan? Jika mengikut cerita yang bermain di media-media, memang jelas bahawa pelakon tersebut yang bersalah dan telah mendapat reaksi pelbagai pihak yang mengatakan bahawa beliau boleh dilabel sebagai seorang anak yang derhaka kepada ibunya. 

Persoalan kedua ialah bagaimana isu ini diselesaikan? Jika dilihat dari laporan-laporan media, apa jua pendapat mahupun luahan yang ingin disampaikan, tidak kira sama ada dari pihak pelakon tersebut atau pihak ibunya, mereka menggunakan media yang sememangnya begitu mudah untuk disebarkan. Pertelingkahan antara kedua beranak ini menjadi satu isu besar apabila dimainkan di media-media seperti di Facebook dan blog-blog.

Respon saya dalam isu ini, sudah sememangnya seorang anak kepada ibunya, tak kisahlah siapa pun dia, pelakon, penerbit, pelajar, guru, ahli politik atau sebagainya, setinggi mana pun jawatan yang dipegang, semulia mana pun dia di pandangan orang, tanggungjawabnya terhadap ibu bapanya tidak boleh diabaikan. Inikan pula berkenaan maruah dan air muka ibu bapa. Seorang anak sangat perlu menjaga tatacara akhlak supaya tidak memalukan ahli keluarga di khalayak masyarakat.

KISAH SI TANGGANG DAN IBUNYA

Sejak kecil kita dididik supaya menghormati ibubapa kita. Mereka telah bersusah payah berkorban harta dan nyawa demi membesarkan anak-anaknya supaya suatu hari nanti, anak-anaknya inilah yang akan menjaganya apabila mereka sudah tidak berdaya lagi. Wang ringgit, titik peluh mereka langsung tidak terkira banyaknya mereka laburkan untuk membesar dan mendidik kita, anak-anak mereka. Jangan suatu hari apabila kita telah besar, telah cukup dewasa untuk hidup sendiri, ibubapa kita, kita tolak ketepi.

Jangan jadi seperti sebuah kisah dongeng Melayu lama, kisah Si Tanggang. Sejak kecil ibunya membesarkan anaknya dengan penuh kasih sayang, anaknya ‘ditatang bagai minyak yang penuh’. Namun apabila si anak telah dewasa, sudah berjaya, sudah mempunyai harta pangkat dan rupa, ditambah pula disisinya isteri yang jelita, maka si ibu yang sudah tua itu telah dilupanya. Jangankan hendak diingat bahawa itulah ibunya, bahkan dicerca dan dihendik pula si tua itu. Alangkah malangnya anak yang begitu lupa akan asal usulnya. Dek kerana harta, syurga di kaki ibunya, dianggap tak mengapa, dia hanya ‘si ibu tua’.

Akhirnya, balasan Tuhan datang sekejap saja, menghancurkan segala impian yang dicita si anak Tanggang derkaha. Hanya kerana doa si ibu tua, bala untuk si anak derhaka terus menimpa. Ratapan untuk kita generasi muda, jangan sesekali derhaka kepada ibu bapa, kerana kita perlu ingat, segala kebaikan yang kita buat, adalah untuk mencari redha Allah SWT. Namun jika tidak redha ibu bapa kepada kita, maka tiadalah jua redha Allah buat kita.


KEPUTUSAN IBUBAPA KITA ADALAH SUMBER KEPUTUSAN KITA

Berbalik kepada isu pelakon tadi, pergolakan yang terjadi adalah berpunca dari ibunya yang tidak bersetuju dengan wanita pilihan pelakon tersebut. Itu adalah antara mereka anak-beranak. Namun di sini, ingin saya tekankan bahawa sebarang keputusan yang hendak kita buat, tidak kiralah sama ada keputusan itu untuk kebaikan kita atau sebaliknya, perkara paling utama yang perlu kita buat ialah bawa berbincang dengan ibu bapa kita, minta pandangan dan persetujuan mereka. Dengan itu, apa pun keputusan yang dapat, kita menjadi redha dan berlapang dada, yang kadang-kadang keputusan itu, tidak menyenangkan kita.

Namun kita perlu lihat bahawa ibu bapa kita yang lebih berpengalaman dari kita. Mereka lebih tahu selok belok kehidupan kerana mereka lebih dahulu merasa jerih perit membesarkan kita. Mereka lebih banyak melihat reaksi kehidupan dunia yang penuh ujian dan pancaroba. Maka, tidaklah kita boleh menilai keputusan yang mereka berikan, walaupun pada pandangan kita, keputusan mereka itu ‘kolot’ dan hanya sesuai untuk zaman mereka sahaja.

Kita harus ingat bahawa apa jua keputusan yang mereka beri kepada kita, adalah untuk kebaikan kita juga. Tidak ada ibu bapa di dunia ini yang mahukan anaknya hidup sengsara di kemudian hari. Semua ibu bapa hendak melihat anaknya hidup bahagia, walaupun kadang-kala mereka sendiri tidak dapat merasa wang ringgit dari anaknya. Namun, cukup dengan bahagianya seorang anak, itu lebih bermakna buat mereka.

Jadi, tidakkah kiranya kita mengambil sedikit masa dan peluang yang ada untuk memberi kebahagiaan buat mereka. Tidakkah kiranya kita mengambil kesempatan yang ada untuk berbakti kepada mereka, walaupun dengan hanya menurut kata-kata mereka. Saya yakin bahawa kita sememangnya mahukan yang terbaik untuk diri kita, namun janganlah dikemudiankan soal ibu bapa kita.



REDHA ALLAH TERLETAK PADA REDHA IBUBAPA

Persoalan pada perjalanan kehidupan ini tidak pernah lekang dari salah dan silap kita sebagai insan biasa. Soal jodoh, soal harta, wang ringgit dan segala-galanya boleh menyebabkan kita gelap hati yang adakalanya sanggup mengorbankan ‘syurga’ yang dijanjikan Allah buat kita. Perkara utama yang perlu kita letakkan untuk hidup di dunia ini ialah mencari redhanya Allah dalam hidup kita. Nak cari redha Allah itu bagaimana? Kita kena ikut segala perintah Allah, kita kena solat 5 waktu sehari semalam, puasa di bulan Ramadhan yang sebagainya. Selain itu, kita perlu tinggalkan segala perkara yang dilarang olehNya. Itulah caranya hendak mencari redha Allah SWT. Tapi, nak dapat redha Allah itu ada syaratnya. Apa syaratnya? Syaratnya, kita perlu ada redha ibu bapa kita juga. Pakej! Bila adanya redha ibu bapa, maka redha Allah juga akan menyusul buat kita!

Sebagaimana sebuah hadis, Rasulullah s.a.w bersabda:

"Sesiapa yang memancing kemarahan ibu bapanya bererti dia memancing kemurkaan Allah dan sesiapa yang menyukakan hati ibu bapanya bererti dia membuat Allah redha kepadanya." (Riwayat Baihaqi)

Mudah bukan hendak mendapatkan redha Allah? Dapatkan terlebih dahulu redha ibu bapa kita, berbuat baik pada mereka, dengan izin Allah, syurga Allah untuk kita. Namun jika sebaliknya, murkanya ibu bapa pada kita, maka murkalah Allah dan nerakalah tempat pengakhiran bagi anak yang ibu bapanya murka padanya.


SENTIASA MENDOAKAN KESEJAHTERAAN IBUBAPA KITA

Sebagai pengakhiran dari perkongsian saya, marilah sama-sama kita mendoakan kesejahteraan buat ibu bapa kita. Mungkin ada di antara kita yang sudah tiada berbapa atau beribu, namun tanggungjawab kita sebagai seorang tidak terlepas dari mensedekahkan kebaikan buat mereka ‘di sana’. Berdoalah semoga mereka diberi keampunan dan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah al-Isra’ ayat 24 yang bermaksud,

"...dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."

Ingat bahawa apa yang kita lakukan kini adalah cerminan anak-anak kita di kemudian hari. Jika baik akhlak dan budi pekerti kita kepada ibu bapa kita, maka akan baiklah juga perilaku anak-anak kita terhadap kita. Namun jika sebaliknya akhlak kita terhadap orang tua kita, maka jangan diharapkan kebaikan untuk kita dari anak-anak kita kelak.


Tak rugi pun buat baik kepada mak ayah kita!



2 comments:

Anonymous said...

syukran..imu yg bermanfaat utk dikongsikan

DJ Islamik said...

@Anonymous
Afwan.. semoga bermanfaat yaa.. :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Copyright© All Rights Reserved Pensil-tekan.blogspot.com