24 February 2012

Nota Buat Wanita Bekerjaya

Sekarang, apabila bercakap mengenai wanita yang telah menamatkan pengajian, tak kiralah sama ada di peringkat SPM, sijil, Diploma, Ijazah atau sebagainya, perkara utama yang dibincangkan ialah semestinya pekerjaan. Apakah kerja yang sesuai dengan kelulusan yang ada? Adakah gaji yang diterima berbaloi dengan penat lelah, usaha dan wang dikeluarkan hanya untuk mendapatkan sekeping sijil?

Baru-baru ini saya telah menghadiri Kuliah Dalam Cuti di IPG Perlis. Dalam suatu kelas yang saya hadiri, suatu topik menarik telah dibincangkan oleh pensyarah iaitu, perlukah wanita bekerja? Tak kiralah kerja itu secara sambilan atau tetap. Yang pastinya, kerja tersebut mendedahkan wanita kepada pekerjaan di luar rumah.

Gambar Hiasan
Dan kesimpulan yang dibuat pensyarah tersebut ialah, wanita tidak perlu untuk bekerja, kerana wanita lebih sesuai duduk di rumah, menguruskan rumah tangga dan menjaga anak sebaiknya di rumah. Perlukah begitu?


Boleh saya katakan, terdapat pelbagai jawapan, pro dan kontra kepada persoalan ini. Dan di antara jawapan ini ada yang boleh diterima umum dan ada yang boleh diperbincangkan semula. Semua ini adalah bergantung kepada situasi atau keadaan seseorang mahupun tempat tersebut.



HUKUM WANITA BEKERJA

Menuntut keadaan sekarang yang serba mengundang nilai wang yang semakin hari, semakin meningkat, telah menyebabkan perihal wanita yang bekerja semakin tinggi. Alasan mereka hendak membantu si suami mencari rezeki, menanggung hutang yang berganda, menampung kehidupan bersama dan sebagainya. Ditambah pula apabila seseorang wanita tersebut keluaran pendidikan yang tinggi. Semestinya mereka berkehendakkan suatu pulangan yang baik atas usaha tersebut dan ingin membalas jasa ibu bapa mereka.

Namun, adakah itu perkara yang sepatutnya dilakukan wanita masa kini? Islam telah menggariskan beberapa panduan mengenai perkara ini. Sungguh Islam tidak melarang wanita untuk bekerja, bahkan ianya harus menurut syara’, namun terdapat beberapa aspek yang perlu dititikberatkan agar niat murni untuk sama-sama mencari rezeki dengan suami, berubah menjadi jalan yang tidak diredhai Allah SWT.

1.  Pekerjaan Itu Tidak Menjurus Kepada Pelanggaran Syara’ 

Contohnya wanita tidak boleh bekerja dengan lelaki yang bukan mahramnya dalam suatu tempat yang tertutup seperti bilik, secara berdua-duaan yang terasing dan sunyi. Jika keadaan ini berlaku, ianya jelas melanggar hukum syara’ seperti sabda Nabi Muhammad,

“Hendaklah jangan seseorang lelaki itu bersunyi-sunyi dengan seorang perempuan.” Hadis riwayat Bukhari.


2.   Pekerjaan Itu Tidak Mengkehendakkan Wanita Itu Mendedahkan Aurat 

Islam menyuruh wanita menutupi auratnya apabila keluar dari rumah sebagai memenuhi tuntutan agama seperti yang dijelaskan dalam surah an-Nur ayat 31,

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan-perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.”

Maka apabila suatu pekerjaan itu telah mendorong wanita mendedahkan aurat, maka ianya telah terkeluar dari adab-adab seorang Muslim dan jelas melanggar hukum syara’.  


3.   Pekerjaan Itu Sesuai Dengan Kemampuan Fizikal Dan Fitrah Semulajadi Wanita 
 
Secara fitrahnya, wanita adalah bersifat lemah lembut. Maka pekerjaan yang lasak dan berat adalah tidak sesuai kepada wanita sekalipun kadang-kala pekerjaan tersebut dianggap sebagai kerjaya yang mencabar dan mampu menunjukkan kekuatan, kegagahan dan daya saing wanita.


4.   Pekerjaan Itu Mendapat Restu Suami/Wali 
 
Bagi wanita yang sudah berkahwin, adalah perlu untuk meminta izin daripada suaminya untuk keluar dari rumah untuk bekerja. Suami berhak menghalang isteri untuk bekerja jika kerja itu boleh menyebabkan isteri cuai untuk menjalankan tanggungjawabnya sebagai isteri. 
Suami juga berhak menegah isterinya bekerja apabila terdapat unsur-unsur yang boleh mendatangkan fitnah seperti pekerjaan yang tiada batasan agama, pergaulan bebas lelaki dan perempuan, dan sebagainya. Manakala bagi wanita yang belum bersuami, mereka wajib meminta kebenaran wali untuk bekerja.



PILIH WANITA BEKERJA KERANA WANG?

Mungkin ramai di antara kita, apabila ditanya tentang status pekerjaan calon isteri, ramai yang memilih wanita yang bekerjaya sebagai calon isteri. Mungkin juga ada yang sebaliknya, yang hanya ingin mencari wanita yang rela duduk di rumah menguruskan rumahtangga dan anak-anak. Tidak dinafikan, keperluan material amat penting dalam kehidupan, namun apakah dengan melimpahnya kemewahan mampu untuk menjamin kebahagiaan rumahtangga?

Jika dilihat, kebanyakkan masalah sosial yang dilaporkan, adalah berpunca dari rumah. Iaitu masalah kurangnya kasih sayang dari ibu bapa di rumah. Ibu bapa hanya sibuk dengan kerja masing-masing hingga mengabaikan anak-anak di rumah.

Bagi menjawab persoalan di atas, bagi saya sememangnya benar dan tepat, mengatakan suami yang memilih isteri yang bekerja, hanya untuk keperluan wang. Betul wanita perlu ‘turun padang’ membantu suami meneguhkan ekonomi rumahtangga. Namun, apakah yang lebih penting? Keteguhan ekonomi atau keteguhan hubungan rumahtangga?

Ada orang yang mempunyai rumah yang besar, kenderaan yang selesa dan sebagainya, namun kehidupan rumahtangga mereka porak peranda. Hidup yang sentiasa dipenuhi kerisauan dan kebimbangan, takut-takut wang tak cukup hendak menyara kehidupan. Jadi, mereka memilih untuk suami isteri sama-sama bekerja mencari rezeki. Padahal rezeki tersebut sudah ditentukan Allah. Yang perlu, hanyalah berusaha semampunya, bersyukur dengan apa yang ada.

Gambar Hiasan


RUMAH TEMPAT TERBAIK BAGI WANITA

Bekas Sheikh al-Azhar, al-Allamah al-‘Alim al-Imam Abdul Halim Mahmud Rahimahullah pernah membicarakan tentang wanita bekerja di luar rumah seperti dalam fatwanya,

“Mana-mana wanita tidak ditegah bekerja di luar rumahnya apabila dia terpaksa berbuat demikian. Akan tetapi apabila wanita berkenaan telah mendapat limpah kurnia rezeki yang cukup daripada Allah, maka rumah, mengasuh anak-anak dan berusaha memberikan kebahagiaan kepada keluarga adalah lebih baik untuk sepanjang masa…. “

Jadi, tidak menjadi masalah jika wanita bekerja di luar, namun banyak perkara yang perlu diambil berat seperti yang telah dijelaskan. Dan perlu diingat, walaupun mempunyai pekerjaan, tugasan dan tanggungjawab di rumah sebagai suri rumah tidak boleh diabaikan. Jangan beralasan penat atau letih bekerja untuk tidak memberikan perhatian dan tanggungjawab pada kerja-kerja di rumah termasuk melayani suami dan anak-anak.

Suami juga perlulah faham akan tugas seorang isteri. Tidak menyerahkan sepenuhnya tugas mengurus rumahtangga ke bahu isteri iaitu suami bersama-sama membantu isteri menguruskannya. Ini dapat membantu mempereratkan lagi hubungan rumahtangga di samping mengharmonikan hubungan yang sedia terjalin.



NOTA UNTUK WANITA BEKERJA

Setiap apa yang dipilih wanita sama ada bekerja atau duduk di rumah itu sebenarnya tanggungjawab yang perlu dipikul sebaiknya. Jika mereka memilih untuk bekerja, maka mereka telah memilih untuk menanggung lebih banyak tanggungjawab. Sekiranya berlaku sebarang kecacatan terhadap semua tanggungjawab ini (keluarga dan kerjaya), wanita tersebut berisiko menanggung dosa dari kesilapannya.

“Tangan yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia”. Itulah pepatah yang sesuai bagi wanita yang ditempatkan di suatu kedudukan yang sangat penting dalam mencorakkan dunia. Mungkin ramai yang mengenali tokoh besar dunia. Namun adakah kita mengenali siapakah watak di sebalik kejayaan tokoh besar tersebut? Sudah tentu watak seorang ibu, nenek serta isteri yang prihatin dalam mengurus rumahtangganya.

Gambar Hiasan
Tugas seorang ibu dan isteri amat besar ganjarannya di sisi Allah SWT. Allah telah menyediakan syurga kepada wanita yang hanya perlu taat kepada suami selain menguruskan keluarga tanpa perlu bersusah payah di luar untuk mencari syurga Allah itu.

pensil-tekan.blogspot.com



Suka perkongsian ini?



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Copyright© All Rights Reserved Pensil-tekan.blogspot.com