Ghibah
adalah salah satu perbuatan keji yang mempunyai impak negatif. Benarlah
pepatah yang mengatakan, “kerana lidah, badan binasa.” Allah SWT telah
berfirman yang bermaksud,
“Wahai orang yang beriman, jauhilah kebanyakkan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagiaan daripada sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain, dan janganlah setengah kamu mengumpat setengah yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh sebab itu, patuhilah larangan-larangan tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.” – Surah al-Hujurat ayat 12.
Ayat
ini menjadi dalil utama pengharaman ghibah. Pasti tiada seorang pun
yang mengidam untuk menyantap daging saudaranya sendiri. Sungguh jijik
perbuatan itu, jijik lagi perbuatan mengumpat yang sering dianggap
remeh.
Gambar Hiasan |
Terdapat
banyak dalil lain yang mengharamkan ghibah. Bagi penulis, amat penting
dalil sebegini diketengahkan bagi mencipta kesedaran dalam diri dan
sebagai sumber muhasabah. Firman Allah SWT yang bermaksud,
“Dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukanya menjadi fasiq, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasiq (kepada seseorang) sesudah ia beriman.” – Surah al-Hujurat ayat 12
Allah berfirman yang bermaksud,
“Celakalah bagi taip-taip pencaci, pengeji” – Surah al-Humazah ayat 1.
APA ITU GHIBAH?
Bagi
mengelakkan kekeliruan dalam menentukan skop atau apa yang dikira
sebagai ghibah, Rasulullah SAW berteka-teki dengan para sahabat melalui
sebuah hadis yang biasa kita dengar.
Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW menyoal sahabat pada suatu hari, “Tahukah kamu apa itu ghibah?” Para sahabat menjawab: “Allah dan rasulNya lebih mengetahui.” Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud): “Ghibah adalah apabila engkau menceritakan tentang saudaramu sesuatu yang ia benci.” Bertanya seorang lelaki, “Ya Rasulullah, bagaimanakah jika apa yang diceritakan itu benar ada padanya?” Rasulullah menjawab: “Kalau memang benar ada padanya, maka itulah ghibah. Jika tida benar, beerti engkau berbuat buhtan (mengada-ngada).” – Riwayat Muslim.
Ghibah
berasal daripada perkataan ghaba, yang bermaksud ‘ghaib’. Oleh sebab
itu, ghibah itu berlaku apabila empunya badan yang diumpati tiada
bersama orang yang sedang mengumpat itu.
Gambar Hiasan |
PENGECUALIAN
Agama
Islam yang turun sebagai rahmatan lil a’lamin telah mengecualikan
beberapa keadaan yang membolehkan ghibah seperti berikut:
1. Menceritakan kezaliman
Orang
yang teraniaya boleh menceritakan kezaliman orang yang menganiayanya,
namun konsep ghibah di sini terbatas dalam konteks menuntut keadilan.
Allah berfirman yang bermaksud,
“Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang), kecuali oleh orang yang teraniaya.” – Surah an-Nisaa’ ayat 148.
2. Membantu orang yang ingin bertaubat
Dibolehkan juga ghibah bagi membantu seseorang yang berbuat maksiat, kembali ke pangkal jalan yang benar.
3. Tujuan meminta fatwa
Si penanya boleh menceritakan keburukan orang lain, tetapi terhad kepada skop permasalahan yang ditanya sahaja.
4. Memberi amaran
Memberi
amaran kepada Muslimin yang lain tentang sesuatu kejahatan seperti jika
ada perawi hadis yang cacat atau buruk akhlaknya, atau jika ada pelajar
yang belajar daripada seorang guru yang jelas kefasiqannya dan pelbagai
lagi contoh lain.
Gambar Hiasan |
ELAKKAN GHIBAH
Secanggih
teknologi kini, teknik mengumpat juga tidak terbatas kepada ucapan
melalui bibir semata, malah boleh jadi melalui tulisan, SMS, e-mel,
online forum, Facebook, bahasa badan (body language) dan sebagainya.
Oleh sebab itu, wanita kini perlu lebih berhati-hati agar sekali-kali
tidak “menikmati bangkai saudaranya.”
Elaklah
daripada ghibah dengan rasa takut dan malu kepada Allah, sayang sesama
saudara, tidak bercakap perkara-perkara yang sia-sia, sibukkan diri
menilai keaiban diri sendiri sebelum melihat keaiban orang lain, bergaul
dengan orang yang soleh dan sebagainya.
*diambil dari Majalah SOLUSI isu 19, muka surat 85. Tulisan: Husna Hassan
No comments: