“Kadang-kadang ALLAH hilangkan sekejap matahari kemudian dia datangkan pula guruh dan kilat. Puas kita mencari di mana matahari, rupa-rupanya ALLAH nak hadiahkan kita pelangi yang indah”
Kalaulah
kita boleh selalu berfikir sebalik kepada sebalik, kita menjadi lebih
kuat untuk mendepani apa juga cabaran dan dugaan. Masalahnya kita selalu
melihat apa yang terlihat oleh kita, langsung tidak mahu menduga apa
yang tersembunyi di sebaliknya.
Kalau
dilihat semua kesusahan itu kesedihan, yang dapat ialah kesusahan dan
kesedihan belaka. Andainya ingin dilihat kepayahan sebagai kemudahan
yang mungkin tersembunyi di mana-mana hati kita akan lebih berbaik
sangka.
Bukan
semua yang menggembirakan itu baik untuk kita, ada kalanya menjadi
masalah yang sangat menyusahkan. Dan bukan semua yang tidak kita sukai
baik untuk kita, ada kalanya itulah punca berbahagianya kita.
Gambar Hiasan |
Hidup
perlu dilihat dari perspektif yang berbeza-beza. Bukan ALLAH tidak
kasih apabila menurunkan ujian tetapi kita yang gagal melihat kebaikan
yang terselindung.
Apabila
cuaca dikatakan buruk, ia mungkin baik untuk kitaran, tumbuhan dan
serangga. Hujan yang keterlaluan dan panjang, tidak semestinya tidak
baik untuk manusia. Mungkin di situlah letaknya keseimbangan pada musim
yang mendatang.
Kalau
dilihat semua perkara buruk sebagai buruk, hidup tidak akan lebih indah
daripada ketakutan-ketakutan kita terhadap kehidupan itu sendiri. Hidup
tidak perlu ditakuti. Memang wajahnya pelbagai. Tetapi takut pada hidup
selalunya akan memperhodoh pandangan dan pendirian.
Kadang-kadang
hidup perlu dilalui dengan selamba. Anggap semua masalah sebagai
perencah. Yang menggembirakan pula sebagai kebetulan agar yang pahit
tidak terlalu dirisaukan.
Hakikatnya
tiada manusia bebas daripada masalah. Sejak seseorang manusia itu
dilahirkan ke bumi dia menghadapi masalah. Maka itu, dia menangis hingga
ditenteramkan oleh sang ibu dalam pelukan erat yang memperlindung.
Apabila dia membesar sebagai kanak-kanak dia sering jatuh dan bangun.
Walaupun luka, sakit dan geram, dia berusaha lagi untuk berjalan.
Akhirnya dia benar-benar boleh berdiri di atas kaki sendiri.
Apakah
masalahnya telah selesai? Tidak. Tatkala dia telah pandai berjalan, di
situlah bermulanya pelbagai lagi masalah dalam hidupnya. Dia mengorak
langkah mahu membina kehidupan, tapi langkah-langkah yang sumbang
menyebabkan dia ditimpa petaka. Sehinggalah nafasnya yang terakhir, dia
menghadapi masalah untuk menyudahkannya.
Gambar Hiasan |
Lalu,
‘kehidupan’ selepas itu juga tidak menentu. Jika baik amalannya semasa
hidup di dunia, dia bakal menikmati kebaikan di alam sana, jika
sebaliknya dia menderita sepanjang masa tanpa penghujung.
Sama
ada nikmat atau tidak hidup di dunia, kesudahannya serupa. Yang nikmat
jika tidak pandai mensyukuri bakal menjadi petaka di neraka; derita jika
tahu menilainya menjadi ibadah lalu bertukar menjadi nikmat di syurga.
Tidak
ada manusia yang dilimpahi nikmat sepanjang masa. Ada kalanya menderita
juga. Tidak ada manusia yang menderita sepanjang masa. Ada kalanya
bahagia juga. Yang membezakan adalah bagaimana seseorang itu melihat apa
yang dikatakan derita dan apa yang dikatakan bahagia. Yang membezakan
adalah persepsinya serta dari sudut apa dia melihatnya. Yang membezakan
adalah pegangan apa yang dianutinya.
pensil-tekan.blogspot.com
No comments: