Dengan izin Allah SWT, bermula minggu depan, 30 Januari
2012, saya dan kawan-kawan di IPG Perlis akan menghadapi saat-saat genting
sebagai pelajar maktab, iaitu saat praktikum atau dalam bahasa yang selalu disebut,
praktikal.
Praktikum ini akan dilalui selama lebih kurang 3 bulan. Pelbagai cerita
dan kisah yang ustaz ustazah senior sudah cerita mengenai ‘kegerunan’ sewaktu
praktikum. Masa perlu dibahagikan sebaiknya. Masa untuk bekerja, masa untuk
berehat, masa untuk makan dan masa untuk tidur. Semuanya perlu diambil
perhatian.
Oleh itu, saya ingin berkongsi beberapa tips untuk
menghadapi praktikum mengajar agar segala perancangan mengajar kita berjalan
dengan lancar.
1. Aspek Fizikal (Pakaian dan Tubuh Badan)
- Pastikan pakaian terutama baju kemeja dan seluar/baju kurung untuk wanita, diseterika dan disiapkan dengan rapi. Sebaiknya baju-baju tersebut diseterika pada malam sebelum pergi ke sekolah keesokan paginya. Kalau seterika pada pagi hari sekolah pun tak jadi masalah, cuma yang jadi masalahnya kalau bangun Subuh pun pukul 7 pagi, sempatkah nak seterika? Jangan pergi sekolah dengan baju ‘retak seribu’.
- Kasut perlu disiapkan dengan bersih. Untuk lelaki, kasut hitam perlu dikilatkan dan dibersihkan dengan baik. Bubuhlah Kiwi yang disapu dengan berus. Jika malas sekalipun, bolehlah gunakan Kiwi cecair, tiada masalah. Bagi wanita, pakailah kasut yang sesuai dengan anda, yang selesa. Jangan pula pakai kasut yang mempunyai tumit yang tinggi atau kasut yang menyerlah warnanya. Kemungkinan apabila mengajar nanti, akan mengganggu fokus anda untuk mengajar. Ataupun murid yang hilang tumpuan kerana terpegun dengan kasut ‘menyerlah’ anda.
- Sebaiknya bagi lelaki, cukurlah misai dan bagi yang mempunyai janggut, rapikanlah janggut anda. Jangan berserabut dan berselerak janggut dan misai anda. Ini boleh menunjukkan personaliti anda yang kurang diambil berat oleh anda sendiri. Untuk wanita, tudung boleh disesuaikan warnanya dengan baju yang anda pakai. InsyaAllah ia juga akan memberi kesan terhadap pengajaran anda di dalam kelas.
- Satu lagi aspek yang penting ialah pakailah jam tangan ke sekolah. Sebaiknya pakailah jam tangan besi yang sesuai digandingkan dengan kemeja bertali leher atau baju kurung yang menarik, agar keyakinan diri lebih terserlah ketika mengajar.
- Lagi satu, name tag jangan lupa.
2. Aspek Mental
- Tidur awal dan bangun awal. Amat penting untuk setiap bakal guru yang akan menghadapi praktikum iaitu perlu tidur awal. Sebaiknya tidur sebelum jam 11 malam dan bangun sebelum Subuh. Tetapi agaknya jam 11 malam adalah waktu yang terlalu awal untuk bakal guru tidur. Maklumlah, kerja terlalu banyak.
- Jangan terlalu tertekan atau stress dengan kerja yang bertimbun. Cuba untuk susun jadual dan lakukanlah kerja mengikut jadual yang telah disusun. Tips penting ialah jangan bertangguh dalam menyelesaikan kerja. Sewaktu praktikum, tiada masa berehat yang panjang untuk bakal-bakal guru ini.
- Biasakan membaca doa dalam setiap kerja yang dilakukan.
3. Aspek Sewaktu Di Sekolah
- Perkara pertama ialah sampai awal ke sekolah. Ini untuk mengelakkan dari bergelut dengan ‘jem’ atau pun masalah-masalah teknikal yang tidak dijangkakan akan berlaku. Datang awal juga boleh menunjukkan kesungguhan kita untuk menghadapi minggu-minggu praktikum.
- Rajinlah bertanya dengan guru pembimbing. Jika tidak berkesempatan berjumpa guru pembimbing, bolehlah bertanyakan pendapat kepada rakan-rakan guru yang lebih senior. Beramah mesra dengan mereka. Mungkin anda akan menggunakan khidmat mereka, jadi usahlah berkira untuk memberikan pertolongan jika mereka memintanya.
- Apabila ada waktu terluang, isikanlah dengan melakukan kerja-kerja praktikum seperti menyiapkan buku RPH, mengemaskini portfolio, memperbaiki kelemahan yang ada melalui penggunaan ABM/BBM dan sebagainya. Jangan membuang masa di kantin atau di padang. Ingat setiap saat amat berharga.
- Bersabarlah dengan karenah pentadbiran sekolah dan paling penting, bersabar dengan karenah murid-murid. Ini yang paling digeruni oleh kebanyakkan bakal-bakal guru. Sebaiknya, bersedialah dengan sedikit ucapan atau kata-kata pendorong semangat untuk murid-murid agar murid-murid dapat memberikan kerjasama ketika di’observe’ nanti.
- Buatlah kerja dengan ikhlas dan jangan pernah merungut. Setiap dugaan dan ujian yang datang adalah untuk mematangkan kita. Belajarlah dari kesilapan dan janganlah malu untuk bertanya.
Sekadar ini yang boleh saya kongsikan bersama. Saya juga
sedang belajar, jadi jika saya ada kekurangan, tegurlah saya. Mohon doa
rakan-rakan sekalian untuk minggu-minggu praktikum kami nanti. Semoga ianya
berjalan seperti yang dirancangkan, insyaAllah.
Selamat menjalani latihan praktikum untuk semua bakal-bakal
guru di seluruh Malaysia.
p/s: Kalau ada tips-tips tambahan, kongsilah sama-sama. Tq!!
No comments: