Apa yang dimaksudkan dengan mandi hadas/wajib ini?
Jawapan:
Mandi besar, mandi junub atau mandi wajib adalah mandi
dengan menggunakan air suci dan bersih (air mutlak) yang mensucikan dengan
mengalirkan air tersebut ke seluruh tubuh mulai dari hujung rambut hingga ke hujung
kaki. Tujuan mandi wajib adalah untuk menghilangkan hadas besar yang harus
dihilangkan sebelum melakukan ibadah solat.
Kenapa kena mandi wajib?
Jawapan:
1. Keluar Mani
Iaitu apabila mani tersebut terkeluar daripada kemaluan
seorang lelaki ataupun wanita, secara seronok mengikut kebiasaan dan dengan
terpancut, walaupun semasa tidur ataupun semasa jaga, dengan sebab memandang
sesuatu, berfikir dan mengingati atau dengan sebab bersetubuh atau melakukan
sesuatu perbuatan terhadap seorang yang hidup ataupun yang telah mati ataupun
binatang.
Dalil menunjukkan keluar mani itu mewajibkan mandi ialah
berdasarkan Hadith Ali bin Abi Talib:
Terjemahan: Aku seorang lelaki yang kuat keluar mazi, lalu aku tanya Rasulullah s. a. w. tentang hal itu lalu Baginda mengatakan, "Bagi keluar mazi wajiblah berwuduk dan bagi keluar mani pula wajib mandi.”
2. Bertemu Dua Tempatt Khatan Walaupun Tidak Keluar Mani
Maksudnya ialah berjunub dengan memasukkan kepada zakar atau
kemaluan lelaki atau kadarnya bagi sesiapa yang zakarnya terpotong ke dalam
kemaluan (faraj) yang mampu disetubuhi sama ada qubul atau dubur, lelaki
ataupun perempuan secara pilihan ataupun dipaksa dalam tidur ataupun jaga.
3. Haid dan nifas
Wanita yang kedatangan haid dan nifas, apabila kering darah
haid atau darah nifas, wajib mereka mandi sebelum menunaikan solat atau sebelum
diharuskan suaminya mensetubuhinya berdalilkan firman Allah dalam surah
al-Baqarah, ayat 222 (bermaksud);
“Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: ‘Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat’. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri”. (Al-Baqarah; 222)
4. Wiladah
Wiladah bermaksud kelahiran anak termasuklah keguguran
(sekalipun hanya segumpal darah atau segumpal daging). Menurut mazhab Imam
Syafi’ie, Imam Malik dan Imam Ahmad (mengikut satu riwayat darinya); wanita
yang melahirkan anak atau keguguran, ia wajib mandi jika ditakdirkan tiada
darah nifas yang keluar. Ini kerana dikiaskan kepada mani. Anak atau janin
adalah air mani yang telah menjadi kanak-kanak. Keluarnya anak atau janin dari
faraj dapat diumpamakan seperti keluar mani darinya, maka wajiblah mandi. Namun
jika ada darah nifas yang keluar selepas kelahiran atau keguguran tersebut,
maka hukumnya tertakluk dengan hukum wanita yang kedatangan nifas dan ia hendaklah
menunggu hingga kering darah nifasnya barulah mandi.
5. Mati
Seorang muslim yang mati wajib dimandikan sebelum dikafan
kecuali orang yang mati syahid.* Ibnu ‘Abbas r.a. menceritakan; Rasulullah
s.a.w. telah bersabda mengenai seorang lelaki yang mati ketika sedang dalam
ihram (haji); ‘Mandikanlah ia dengan air dan daun bidara, kemudian kafankanlah
dia dengan dua helai kainnya’”. (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim). Niat
mandi hendaklah dilakukan oleh orang menguruskan mandiannya.
(*Selain orang mati syahid, ada dua lagi jenazah muslim yang
tidak perlu dimandikan; Mayat yang tidak dapat dimandikan kerana dibimbangi akan
terlerai. Sebagai ganti ia hendaklah ditayammumkan.
Seorang lelaki mati dan tidak ada orang untuk memandikannya
melainkan seorang wanita ajnabi dan begitu juga sebaliknya. (al-Asybah Wa an-Nadzair, Imam as-Suyuti, hlm. 545-546)
Apakah perbuatan-perbuatan yang terlibat semasa mandi wajib?
Jawapan:
1. Menghilangkan najis pada badan sebelum mandi jika ada.
Rukun ini disebut dalam mazhab Imam Syafi’ie dan juga Imam
Ahmad. Dalilnya ialah hadis dari Ibnu ‘Abbas r.a. yang meriwayatkan dari
Maimunah r.a. yang menceritakan;
“(Semasa mandi wajib) Rasulullah mengambil wudhuk sebagaimana wudhuk untuk mengerjakan solat kecuali dua kakinya dan baginda membasuh kemaluannya dan juga kekotoran yang mengenainya, kemudian baginda mencurahkan air ke badannya, berikutnya beliau mengalih dua kakinya dan membasuh keduanya. Begitulah mandi Rasulullah s.a.w. dari janabah” (Riwayat Imam al-Bukhari)
2. Niat
Wajib berniat di permulaan mandi semasa mula-mula menjirus
air ke mana-mana bahagian badan; sama ada berniat melakukan mandi yang diwajibkan
atau berniat menghilangkan janabah atau hadas besar atau berniat mengharuskan
perkara yang dilarang tanpa mandi seperti solat, tawaf dan sebagainya. Niat
adalah wajib pada pandangan majoriti ulamak termasuk mazhab Imam Malik,
Syafi’ie dan Ahmad. Mereka berdalilkan hadis Nabi yang menegaskan;
“Sesungguhnya segala amalan bergantung kepada niat”.
Mazhab Imam Abu Hanifah
berpendapat; berniat dipermulaan mandi hanya sunat sahaja, tidak wajib.
3. Meratakan air ke seluruh badan
Semasa mandi wajib meratakan air ke seluruh badan
merangkumi; kulit yang nampak, rambut dan bulu, kulit di bawah rambut dan bulu
– sama ada bulu itu tebal atau nipis -, kawasan-kawasan berlipat serta luaran
kemaluan wanita (faraj) yang nampak ketika ia bertinggung. Rukun ini telah disepakati
oleh sekelian ulamak.
Wajib menyampaikan air ke bahagian-bahagian berlipat di
badan –sama ada lelaki atau perempuan-, bahagian dalam pusat, bahagian dalam
cuping telinga (yakni bahagian berlekuk), celah-celah ketiak, celah papan
punggung, celah-celah jari-jari tangan dan kaki dan kawasan-kawasan badan yang
lain yang dihukum sebagai luaran badan. Begitu juga, bibir mulut (juga wajib
dikenai air). Semua perkara tersebut telah disepakati oleh para ulamak.
Bahagian mata, yang wajib dikenakan air ialah bahagian luar kelopak mata. Tidak
wajib membasuh hingga ke dalam mata. Tidak wajib memasukkan air ke dalam corong
telinga, memadai membasuh luarannya sahaja iaitu pangkal lubang telinga. Jika
ada kekotoran di pangkal lubang telinga, hendaklah dicuci. (al-Majmu’, 2/228)
Jika di celah-celah kuku terdapat kekotoran yang menghalang
air dari sampai ke kulit, tidak sah mandi. Begitu juga, kalau di badan atau
rambut terdapat bahan-bahan yang boleh menghalang air dari sampai ke kulit,
tidak sah mandi melainkan dengan menanggalkannya terlebih dahulu. Jika rambut
kusut hingga air tidak dapat sampai ke akar rambut (yakni kulit kepala), tidak
sah mandi melainkan setelah rambut itu di keca-kecakan hingga air dapat
menembusinya dan sampai ke akarnya. (Al-Majmu’, 1/529, 2/228).
Jika ada seurat dua rambut yang tidak dikenai air semasa
mandi, adakah sah mandi? Menurut mazhab Imam Syafi’ie; tidak sah mandi. Bagi
Imam Abu Hanifah; sah mandi (yakni dimaafkan). (Al-Majmu’, 2/228).
4. Mengambil wudhuk.
Menurut Imam Daud az-Dzahiri dan Imam Abu Tsur; wajib
mengambil wudhuk semasa mandi wajib. Mengambil wudhuk adalah syarat sah mandi,
yakni menurut mereka; tidak sah mandi tanpa didahului mengambil wudhuk. Mereka
berdalilkan hadis-hadis yang menceritakan tentang cara mandi Nabi s.a.w. di
mana di antara yang dilakukan oleh Nabi semasa mandi ialah mengambil wudhuk.
Namun pandangan mereka menyalahi sekelian ulamak yang lain
yang sepakat menyatakan; mengambil wudhuk sebelum mandi adalah sunat sahaja,
tidak lah wajib. Dalam pengertian yang lain; menurut majoriti ulamak mengambil
wudhuk semasa mandi hanya disunatkan, bukan diwajibkan. Majoriti ulamak
berdalilkan hadis dari Ummu Salamah r.a. yang menceritakan; aku telah bertanya
Nabi s.a.w.;
“Ya Rasulullah s.a.w.! Aku adalah seorang yang menganyam rambut. Adakah perlu aku rungkaikannya untuk mandi janabah?”. Jawab Nabi s.a.w.; “Tidak perlu. Cukuplah kamu menuang air ke atas kepalamu dengan tiga cebukan tangan, kemudian kamu siramkan air ke badan kamu, maka dengan itu kamu menjadi suci” (Riwayat Imam Muslim).
Di dalam hadis ini Rasulullah s.a.w. tidak menyebut
tentang wudhuk, menunjukkan bahawa ia adalah sunat, tidak wajib. Imam Ibnu
Rusyd menjelaskan;
“Apa yang terdapat dalam hadis Ummu Salamah tersebut adalah rukun-rukun mandi yang diwajibkan”. (Bidayatul-Mujtahid, jil. 1, hlm. 62).
5. Menggosok
Menggosok seluruh anggota dengan tangan semasa mandi adalah
wajib mengikut pandangan Imam Malik dan disokong oleh Imam al-Muzani (salah
seorang murid Imam Syafi’ie). Namun mengikut pandangan majoriti ulamak;
menggosok adalah sunat sahaja. Yang wajib ialah memastikan air sampai ke seluruh
badan. Jika air dapat sampai tanpa menggosok, kekallah hukumnya sebagai sunat.
Namun jika air tidak dapat sampai melainkan dengan menggosok (contohnya; di
celah-celah jari yang rapat-rapat), maka ketika itu barulah hokum menggosok itu
berubah menjadi wajib.
6. Muwalat
Muwalat bermaksud berturut-turut dari mula mandi hingga
selesai tanpa berhenti atau melakukan pekerjaan lain. Menurut Imam Malik;
muwalat ini adalah wajib semasa mandi bagi orang yang ingat dan mampu
melakukannya. Adapun ulamak-ulamak yang lain; muwalat tidaklah wajib, akan
tetapi disunatkan sahaja.
7. Berkumur dan Istinsyaq
Berkumur dan Istinsyaq adalah wajib dilakukan semasa mandi
wajib mengikut pandangan Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad. Dalil mereka ialah
sabda Nabi s.a.w. kepada Ummu Salamah r.a. tadi;
“….kemudian kamu siramkan air ke badan kamu..”, di mana menurut mereka; mulut dan hidung termasuk dalam pengertian badan yang mesti dikenai air semasa mandi. (Lihat; al-Mughni, Ibnu Qudamah)
Menurut mazhab Imam Syafi’ie dan Imam Malik; kedua-duanya
hanya sunat sunat sahaja. Bagi Imam Syafi’ie; kedua-duanya adalah sunat muakkad
di mana jika ditinggalkan adalah makruh. Imam Daud pula berpandangan; yang
wajib hanya Istinsyaq sahaja. Adapun berkumur, tidak diwajibkan. Pandangan Imam
Daud disokong oleh Imam Ibnu al-Munzir.
8. Membaca Bismillah
Menurut Imam Ahmad; membaca Bismillah ketika bersuci dari
hadas (sama ada mengambil wudhuk atau mandi wajib) adalah wajib. Masa membaca
Bismillah ialah selepas niat dan sebelum mula melakukan perbuatan-perbuatan
untuk bersuci. (Lihat; al-Mughni, Ibnu Qudamah, jil. 1, hlm. 96). Namun
tuntutan membaca Bismillah semasa mandi ini tidaklah sekuat tuntutan semasa
mengambil wudhuk. Menurut pandangan majoriti ulamak; membaca Bismillah ini
hanya sunat sahaja, tidak wajib sama ada semasa mengambil wudhuk atau mandi
wajib.
Apakah perbuatan-perbuatan lain yang dilakukan oleh Nabi
ketika mandi wajib?
Jawapan:
Selain dari perbuatan-perbuatan di atas,
perbuatan-perbuatan lain yang disyariatkan semasa mandi
ialah;
Memulakan mandi dari sebelah kanan; iaitu menjirus badan
sebelah kanan, kemudian baru kiri. Tidak wajib tertib dalam memandikan angota
badan. Namun disunatkan bermula dari kepala, kemudian bahagian atas badan
dengan mendahulukan sebelah kanan.
Bagaimana caranya melakukan mandi wajib yang sempurna?
Jawapan:
Untuk melakukan mandi wajib dengan sempurna, ikutilah
langkah-langkah berikut;
Baca Bismillah sambil menghadirkan niat di dalam hati (iaitu
niat melakukan mandi wajib atau niat menghilangkan hadas). Kemudian basuh kedua
tangan sebanyak tiga kali.
Dengan menggunakan tangan kiri, basuh kemaluan (depan dan
belakang) dan bersihkan najis atau kekotoran di badan jika ada.
Ambil wudhuk dengan sempurna sebagaimana wudhuk untuk
mengerjakan solat. Jika ingin menangguhkan basuhan kaki ke hujung mandi
diharuskan. Namun yang afdhal ialah menyempurnakannya.
Kemudian lakukan mandian dengan bermula di bahagian kepala
terlebih dahulu. Mula-mula, ambilkan air dan selati celah-celah rambut dengan
jari-jari hingga rata air di kulit kepala dan akar-akar rambut. Setelah itu
jiruskan air ke atas kepala dan ulanginya sebanyak tiga kali cebukan.
Berikutnya, lakukan pula mandian di bahagian badan dengan
menjirus air ke sebelah kanan terlebih dahulu, kemudian diikuti ke sebelah
kiri. Semasa mandi, tangan hendaklah menggosok-gosok badan terutamanya
bahagian-bahagian yang berlipat yang dikhuatiri tidak sampai air jika tidak
digosok.
Akhiri mandian dengan membasuh kedua kaki dan menggosok
dicelah-celah jarinya. Menurut mazhab Imam Syafi’ie; Apabila selesai mandian,
disunatkan membaca doa sebagaimana doa yang sunat dibaca selepas mengambil
wudhuk .
Adakah perlu mengambil wudhuk sekali lagi selepas mandi?
Jawapan:
Mengambil wudhuk semasa mandi wajib hanya disunatkan sekali
sahaja iaitu di awal mandi. Telah ijmak ulamak bahawa tidak disyari’atkan dua
kali wudhuk dalam satu mandi. Ini berdalilkan hadis dari Aisyah r.a. yang
menceritakan;
“Rasulullah s.a.w. tidak mengambil wudhuk selepas mandi junub”. (Riwayat Imam at-Tirmizi, an-Nasai dan Ibnu Majah dari ‘Aisyah r.a.. Berkata at-Tirmizi; hadis ini hasan soheh).
Kecualilah jika seseorang telah melakukan
perkara yang membatalkan wudhuk selepas selesai mandinya. Maka ketika itu,
wajiblah ia memgambil wudhuk.
Adakah dengan mandi wajib boleh menggantikan wuduk?
Jawapan:
Ibnu Abdil Barr berkata:
“Orang yang mandi junub, apabila tidak berwudhu’, namun jika dia telah membasahi seluruh tubuhnya, maka ia telah melaksanakan wudhu’, berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala, “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat … … Jika kamu berjunub, maka mandilah.” (Surah al-Ma’idah, 5: 6) (Allah hanya memerintahkan supaya mandi. Tidak pula berwudhu’). Ini adalah ijma’, tidak ada perbezaan di antara ulama. Namun mereka juga sepakat akan sunnah berwudhu’ sebelum mandi, kerana berdasarkan (mencontohi) perbuatan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam. Selain itu, berwudhu’ lebih mempermudahkan mandi dan menjadikan mandi lebih tersa nikmatnya.
Allah Subhanahu wa Ta’ala menjadikan mandi sebagai mengakhiri larangan solat.
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu solat, sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan, (jangan pula hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub, melainkan sekadar berlalu saja, hingga kamu mandi.” (Surah an-Nisaa’, 4: 43)
Apabila seseorang telah mandi, maka ia tidak dilarang untuk melakukan solat. Selain itu, mandi dan wudhu’ adalah dua ibadah yang sejenis, maka yang kecil masuk ke dalam yang besar. Sebagaimana Umrah masuk ke dalam Haji.
Dipetik dari: Ibnu Qudamah, al-Mughni, jil. 1, m/s. 366-367.
“Orang yang mandi junub, apabila tidak berwudhu’, namun jika dia telah membasahi seluruh tubuhnya, maka ia telah melaksanakan wudhu’, berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala, “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat … … Jika kamu berjunub, maka mandilah.” (Surah al-Ma’idah, 5: 6) (Allah hanya memerintahkan supaya mandi. Tidak pula berwudhu’). Ini adalah ijma’, tidak ada perbezaan di antara ulama. Namun mereka juga sepakat akan sunnah berwudhu’ sebelum mandi, kerana berdasarkan (mencontohi) perbuatan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam. Selain itu, berwudhu’ lebih mempermudahkan mandi dan menjadikan mandi lebih tersa nikmatnya.
Allah Subhanahu wa Ta’ala menjadikan mandi sebagai mengakhiri larangan solat.
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu solat, sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan, (jangan pula hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub, melainkan sekadar berlalu saja, hingga kamu mandi.” (Surah an-Nisaa’, 4: 43)
Apabila seseorang telah mandi, maka ia tidak dilarang untuk melakukan solat. Selain itu, mandi dan wudhu’ adalah dua ibadah yang sejenis, maka yang kecil masuk ke dalam yang besar. Sebagaimana Umrah masuk ke dalam Haji.
Dipetik dari: Ibnu Qudamah, al-Mughni, jil. 1, m/s. 366-367.
Apakah hukum orang yang melewatkan mandi wajib?
Jawapan:
Mandi wajib boleh ditunda dari malam sehingga siang. Dengan
itu, pasangan yang berjimak boleh melewatkan untuk mandi wajib sehingga pagi
dan mengerjakan mandi wajib sejurus sebelum mengerjakan solat subuh, tetapi
pasangan itu disunatkan berwuduk sebelum tidur jika ingin melewatkan mandi
wajib mereka hingga ke pagi.
Orang yang melewatkan mandi wajibnya juga tidak membatalkan
puasa dan boleh terus berpuasa, dan puasanya tetap sah selagi mana dia tidak
membatalkan puasanya.
Seseorang itu boleh melewatkan mandi wajib sebelum solat.
Setelah masuk waktu solat, ia wajib mandi sebelum boleh menunaikan solat.
Bagaimana pula cara mandi wajib bagi seseorang yang patah tangan dan tangannya disimen?
Jawapan:
Menurut Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah rh. (Majmu' Fatawa,
21/396) jika terdapat sebab untuk melakukan tayammum, seperti ketiadaan air,
atau tidak dapat menggunakannya akibat sakit, maka tayammum akan menggantikan
wuduk dan mandi wajib. Maka seseorang yang junub hendaklah bertayammum lalu
bersolat, kemudian apabila ada air (diperbolehkan menggunakan air untuk yang
mudarat), maka hendaklah mandi menghilangkan janabahnya tersebut.
Dariapada Imraan ibn Hussain ra.
"Bahawa Rasulullah saw melihat seorang lelaki yang menjauhkan diri dan tidak bersolat dengan kaumnya, maka baginda berkata : Ya si Fulan, apa yang menghalang kamu dari tidak bersolat dengan kaummu? Dia menjawab : Ya Rasulullah, saya dalam keadaan junub, dan tiada air. Baginda berkata : Kamu hendaklah menggunakan tanah yang bersih, kerana ia mencukupi untukmu..... di dalam riwayat lain Nabi saw menjumpai air dan memberinya kepada orang yang telah menjadi junub tersebut, dan berkata : pergilah siram ini keatas dirimu." [Hadith riwayat al-Bukhari no.344 dan no.348].
Ustaz di sekolah ajar, 3 kali jirusan di kepala, 3 kali dia bahagian badan kanan dan 3 kali di bahagian kiri. Sekiranya saya menggunakan shower bagaimanakah caranya untuk berbuat begitu?
Jawapan:
Dah pakai shower, berdiri saja lah di bawah shower itu
sehingga benar-benar yakin bahawa air mengalir ke setiap lapisan kulit di
setiap anggota badan. sambil jari menyelati bahagian rambut yang tebal bagi
perempuan berambut panjang.Sanggul tu uraikan, jangan biar bergumpal sahaja.
Yang 3 jirusan itu hanya untuk memastikan air diratakan
dengan baik. Itu pun khusus untuk yang guna cetong atau gayung sahaja.
Kalau duduk di kampung lagi senang, mandi sungai, terjun
saja. Kalau nak 3 kali adakah kena naik atas darat kemudian terjun ke sungai tu
3 kali juga?
Wallahua'alam. Hanya ingin berkongsi.
Jika anda mempunyai persoalan berkaitan mandi hadas/wajib ini, sila tinggalkan komen anda di bawah. InsyaAllah saya akan berusaha mencari jawapannya untuk dikongsi bersama.
28 comments:
kalau kita menyentuh dan membasuh kemaluan tersebut untuk menyampaikan air tersebut ketika kita mandi wajib,kira sah ke mandi wajib tu.??
@awie bubu
Sah, sebab sememangnya perlu untuk diratakan air ke seluruh badan termasuk di kemaluan dan kawasan sekitarnya. Cuma jika kita telah mengambil wuduk untuk niat mendapatkan pahala sunat berwuduk itu, dan kemudian menyentuh kemaluan, hanya wuduk yg akan terbatal, mandi tetap sah.
Wallahu'alam..
ok.terima kasih admin. :)
@awie bubu
ya, sama-sama.. =)
Apakah contoh contoh bahan yang boleh menghalang air untuk sampai ke kulit ?
@Anonymous
Antara bahan yang boleh menghalang air dari sampai ke kulit:
1) minyak
2) cat
3) liquid paper
4) solatape yang terlekat pada badan
5) alat mekap yang kalis air
Ini antara contoh yang selalu berkait dengan diri kita. Ada lagi bahan lain yang termasuk yang mungkin tak saya sebutkan di sini.
Assalamualaikum . boleh ke mandi wajib menggunakan shower dan bagaimana caranya jika boleh?
@Anonymous
waalaikumsalam...
boleh mandi wajib menggunakan shower. Yg penting, rukun-rukun mandi wajib dpt disempurnakan iaitu:
1) berniat mandi wajib
2) meratakan air ke seluruh badan
Pertama, ia berniat di dalam hati ketika mandi itu bahawa mandi yang dilakukannya itu adalah bertujuan untuk menghilangkan hadas (bukan mandi biasa). Kedua, ia meratakan air ke seluruh badannya termasuk celah-celah rambut dan kawasan-kawasan yang berlipat di badan.
Cara bagaimana ia mandi (sama ada dengan menyelam atau menjirus atau berdiri di bawah shower atau air terjun) tidaklah menjadi syarat asalkan air merata ke seluruh badan (dari hujung rambut hingga ke hujung kaki).
Begitu juga, tidak disyaratkan bilangan jirusan tertentu. Jika dengan sekali jirusan sudah dapat meratakan air ke seluruh badan, memadai dengannya. Jika tidak, perlulah diulangi jirusan hingga diyakini air telah sampai ke serata badan.
Namun, makruh mandi dengan terlalu banyak air hingga menimbulkan israf (pembaziran). Di dalam hadis, diceritakan bahawa; “Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- mandi dengan hanya segantang air sahaja” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim dari Anas. Lihat hadis ini dalam Bulughul-Maram, bab al-Wudhu’).
Wallahua'lam...
Salam. Sy nak tnya. Jika kita telah selesai mandi wajib selepas haid tapi kita terdetik bahawa kalau masih terdapat kekuningan selepas haid kita akan mandi wajib semula, tapi tdk terdpt sebrg kekuningan pun. Adkah mndi wjib kita tadi sah? Atau kita harus mandi wajib semula?
Salam ..nak tanya 1 soalan...semasa mandi wajib, keluar keputihan difaraj dan saya hanya ratakan air je di faraj...dan selepas saya selesai mandi wajib, saya lihat di faraj masih lagi ada keputihan di pintu faraj...
Adakah sah mandi wajib saya..
Adakah keputihan yg keluar semasa mandi wajib boleh menyebabkan mandi tidak sah..
Terima kasih
Salam, terdapat beberapa pendapat berbeza berhubung sah mandi wajib bg yg mewarnakan rambut selain dr inai.
Ada pendapat menyatakan perlu meratakan air ke seluruh rambut. Manakala pendapat ke-2 menyatakan air hanya perlu sampai ke kulit kepala dan wanita yg bersanggul tidak perlu membuka sanggul untuk mandi wajib.
Mohon pencerahan. TK.
Assalamualaikum
apakah hukum mandi wajib berbogel. Mohon pencerahan.
Terima kasih
Adakah kesan warna kuning daripada tanah termasuk dalam perkara yang boleh menghalang air dari sampai ke kulit??
Adakah kesan warna kuning daripada tanah termasuk dalam perkara yang boleh menghalang air dari sampai ke kulit??
Adakah kesan warna kuning daripada tanah termasuk dalam perkara yang boleh menghalang air dari sampai ke kulit??
jikalau air mani yang keras,adakah ianya penghalang air sampai ke kulit
Saya ada 2 soalan.
1. Sah tak jika mandi wajib dalam keadaan bogel?
2. Sah tak mandi wajib itu jika tidak membaca doa selepas mandi wajib?
Bagaimanakah jikalau kita basuh kaki dahulu baru tangan... dan kita lupa nenyelati kuku... selepas mandi baru perasan...
Apakah hukum kalu tidak memasukkan air ke dalam hiding Dan mulut
Assalamualaikum...di pertengahan mandi wajib baru mengambil wuduk ia dikira sah atau tidak?
Assalamualaikum ustaz, klau kita terbangun lewat pada siang hari smasa bulan puasa sehingga hampir masuk pukul 12 tghri, tetapi malamnya telah bersetubuh atau habis haid..adakah masih sah lg puasa sy dan boleh trus mandi wajib serta ganti solat subuh sahaja??
salam,kalau masa mandi wajib,saya niat aku mandi wajib kerana allah.kemudian ada dtg satu bisikn menyatakan aku mandi junub.sedangkan hanya satu niat sje yg sye pakai..adakah sah mandi saya itu?? saya teruskan mandi dengan melawan bisikn itu dengan menyatakan niatku cuma aq mandi wajib.adakah sah mandinya??
Bagaimana pula jika cat hitam terkena pada rambut hitam? Apakah dimaafkan jika mandi wajib
Salam Ustaz, apakah sah mandi setelah selesai mandi dan meratakan air ke seluruh badan. Saya mendapati ada kesan kering air yang dikhuatiri air mani melekat pada bulu kaki namun tidak pada kulit. Adakah sah mandi saya dan solat saya sebelum itu atau saya perlu mandi semula dan qada solat?
Bagaimana mandi wajib dalam keadaan badan bersimen akibat kemalangan dan kawasan tersebut tidak boleh kena air
Bagaimana cara mandi wajib dalam keadaan badan bersimen dan kawasan tersebut tidak boleh kena air
Slm bagaimana dimaksudkan kuku yang tidak blh kenakan air?
slm kalau kita terlupa atau tidak membaca bismillah sebelum memulakan mandi junub adakah sah mandi junub kita?? terima kasih