20 July 2012

Manual Puasa

Alhamdulillah, dapat juga bertemu lagi dengan bulan yang penuh keberkataan, iaitulah bulan Ramadhan al-Mubarak. Sesungguhnya, kesyukuran yang tertinggi kepada Allah SWT kerana masih lagi memberikan kita peluang dan kesempatan untuk berada di bulan yang telah dijanjikan dengan ganjaran dan pengampunan yang berlipat kali ganda. Pada bulan inilah, umat Islam akan menyambutnya dengan penuh riang dan kesyukuran kerana inilah bulan ‘pesta ibadah’.

Pada bulan ini, umat Islam diwajibkan berpuasa di siang hari. Oleh itu, ingin saya kongsikan manual berpuasa untuk panduan pembaca sekalian. Mungkin adakalanya kita terlepas pandang atau terlupa atau sebagainya. Semoga kita dapat memperbaiki amalan puasa kita serta amalan-amalan lain agar diterima Allah SWT hendaknya, insyaAllah.



PENGERTIAN PUASA

Ertinya:

Menahan diri dari makan dan minum atau apa-apa jua yang boleh membatalkan puasa, sepanjang hari mulai dari terbit fajar hingga terbenam matahari dalam sebulan bulan Ramadhan.

Perintah wajib puasa turun pada bulan Sya’ban Tahun 2 Hijrah.

Perintah wajib puasa : Surah Al-Baqarah Ayat 183:
Bermaksud: Hai orang-orang yang beriman diwajibkan atasmu berpuasa, sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, supaya kamu menjadi orang yang bertaqwa


PERKARA WAJIB PUASA

Islam
Mukalaf
Berkuasa/Mampu untuk berpuasa, tidak uzur
Telah melihat anak bulan Ramadhan atau mensabitkan bulan Ramadhan dengan menggenapkan bulan Sya’ban 30 hari.


PERKARA SAH PUASA

Beragama Islam sahaja, lelaki, perempuan dan kanak-kanak yang telah mumaiyyiz.
Suci dari haid dan nifas.
Sempurna akal fikirannya sepanjang hari itu.
Bukan pada hari yang tidak sah puasa eg. Hari Raya Puasa, Hari Raya Haji dan Hari Syak (30hb Sya’ban).


RUKUN PUASA

Niat, di waktu malam mulai selepas Maghrib sampai sebelum terbit fajar.
Meninggalkan semua perkara-perkara yang membatalkan puasa sejak terbitnya fajar sampai terbenamnya matahari.


PERKARA MEMBATALKAN PUASA

Sekiranya
Memasukkan benda/sesuatu ke dalam jauh rongga seperti mulut, hidung, telinga, atau lubang-lubang kemaluan dengan sengaja.
Muntah dengan sengaja.
Mengeluarkan mani dengan sengaja.
Haid atau nifas.
Bersetubuh di siang hari (selain membatalkan puasa ia juga ada hukum tersendiri iaitu diwajibkan membayar kifarah).
Murtad (keluar dari Islam).
Gila (hilang akal).



PANTANG-LARANG PUASA

Iaitu perkara-perkara yang membatalkan pahala puasa, maknanya berpuasa tidak mendapat apa-apa pahala kecuali lapar dan dahaga (puasa yang sia-sia).
Berdusta, berbohong.
Mengumpat, mengata orang.
Membuat sesuatu yang boleh mendatangkan permusuhan.
Melihat benda-benda yang mendatangkan keinginan.
Marah.

Rasulullah s.a.w. bersabda:
Bermaksud: “Barangsiapa yang tidak meninggalkan cakap dusta (batil) dan perbuatannya, maka Allah tidak berhajat padanya dalam meninggalkan makan minumnya”. (Hadis Riwayat Muslim)

Bermaksud: “Bukan dinamakan puasa bila hanya sekadar menahan makan dan minum, tetapi puasa yang sungguh-sungguh itu adalah menahan diri dari percakapan yang tidak ada gunanya dan kata-kata yang keji”. (Hadis menurut Sahih Muslim)


SUNAT-SUNAT PUASA

Menyegerakan berbuka puasa apabila telah yakin waktu berbuka.

Rasulullah s.a.w. bersabda:
Bermaksud: “Allah berfiman: Hambaku yang lebih Aku cintai adalah mereka yang menyegerakan berbuka”.

Makan sahur walaupun sedikit.

Rasulullah s.a.w. bersabda:
Bermaksud: “Makan sahur itu berkat, oleh kerana itu jangan  kamu tinggalkan, walau hanya sekadar meneguk seteguk air, kerana Allah merahmati orang-orang yang makan sahur dan malaikat mendoakannya”.

Melambatkan makan sahur iaitu lepas daripada tengah malam dan sebelum waktu imsak.
Berbuka dengan buah kurma atau benda-benda yang manis.
Memperbanyakkan membaca Al-Quran.
Memperbanyakkan sedekah.
Beriktikaf siang hari dalam masjid.
Menghadiri majlis-majlis ilmu.
Menyediakan makanan untuk berbuka untuk orang-orang berpuasa.
Jangan bersugi setelah tergelincir matahari ke arah barat sehingga terbenamnya matahari kerana boleh memakruhkan puasa.


GOLONGAN YANG HARUS (DIBENARKAN) BERBUKA PUASA

Orang yang di dalam (perjalanan - musafir), tetapi wajib di qada’.
Orang sakit, wajib di qada’.
Ibu yang menyusukan anak, jika takut mudharat bagi dirinya, maka wajib qada’ dan jika takut mudharat bagi anaknya maka wajib qada’ dan fidyah


LAFAZ NIAT



(Petikan dari Kitab Tuntutan Ibadah: Perukunan Ibadah Sepanjang Zaman oleh As-Shaikh Ali b. Abdullah)



Semoga bermanfaat.



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Copyright© All Rights Reserved Pensil-tekan.blogspot.com