Tetapi, siapa yang sabar dan suka memaafkan, sesungguhnya yang demikian itu termasuk pekerjaan yang berat ditanggung.- (as-Syura: 43)
Justeru, wajar orang mampu menahan marah dianggap gagah. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Bukan gagah itu orang yang mengalahkan orang berlawan, akan tetapi gagah itu ialah orang yang mampu menahan marah daripada dirinya."
Perasaan marah sifat semula jadi manusia. Marah ada tempatnya mengikut kadar paling minimun. Memang ia tidak boleh dibuangkan terus dari dalam diri. Apa yang mampu dilakukan ialah menahan ia daripada merebak hingga membinasakan diri. Jika dizahirkan kena pada tempatnya, marah mendatangkan kebaikan.
Perasaan marah tergolong sifat muzmumah yang mendatangkan banyak keburukan daripada kebaikan. Imam Ghazali membahagikan marah kepada tiga kategori. Pertama, cepat marah tetapi cepat hilang marah. Kedua, lambat marah dan lambat redanya, manakala ketiga ialah lambat marah tetapi cepat hilang marah. Maka kategori ketiga lebih terpuji.
Perasaan marah timbul apabila ada perkara tidak diingini berlaku pada diri. Ditipu, dihina, dikhianati, dikecewakan dan sebagainya boleh menimbulkan perasaan marah. Kemarahan dizahirkan melalui perkataan, mimik muka, perbuatan atau perlakuan.
Justeru, perasaan marah mainan hati yang sifatnya selalu berdolak-dolak mudah mendorong perbuatan negatif. Tindak balas dilakukan mendatangkan mudarat kepada diri sendiri dan orang lain. Kemarahan yang kecil merebak bertambah besar. Keadaan tidak ubah seperti minyak tanah yang disimbah kepada api.
Api kemarahan yang tidak dikawal mudah menguasai seluruh badan. Mata menjadi merah, perasaan tidak menentu, urat leher timbul, gigi dikacip, bahagian tertentu menggeletar dan segala sifat luar biasa akan lahir.
Perasaan marah mengundang syaitan bertapak di dalam hati. Syaitan menghasut keadaan lebih marah dan melakukan tindakan lebih buruk. Kemarahan mendorong perasaan permusuhan dan pembalasan. Perasaan membenci, tidak puas hati memenuhi ruang fikiran.
Hal demikian semua ditegah oleh agama. Perpaduan umat menjadi musnah dan kejayaan Islam dinafikan. Umat Islam bakal dicemuh dan dipermainkan lantaran keadaan lemah akibat perpecahan. Perkara ini boleh berlarutan dalam tempoh lama, selagi tiada kemaafan lahir dalam diri. Syaitan pernah memberitahu Nabi Musa bagaimana dia mendekati manusia supaya melakukan perbuatan dilarang agama dengan katanya: Tiga perempat daripada masa yang paling baik untuk aku menggoda manusia ialah sewaktu mereka di dalam keadaan marah, kerana pada masa itu aku boleh memain-mainkan hati mereka seperti sebiji bola.
Di dalam diri syaitan sendiri dipenuhi perasaan marah sepanjang masa terhadap manusia. Syaitan marah dan berdendam kepada manusia apabila Nabi Adam dipilih sebagai khalifah di muka bumi. Syaitan berdengki tidak dipilih kerana berasakan dirinya lebih layak disebabkan asal kejadian lebih mulia daripada api berbanding Adam daripada tanah.
Perasaan marah syaitan mendorong enggan patuh perintah Allah supaya sujud kepada Adam. Akibatnya, syaitan terkeluar daripada golongan patuh kepada Allah yang diamalkan sebelumnya. Dengan penuh perasaan marah dan dendam, syaitan bersumpah menyesatkan Adam dan seluruh keturunan dengan segala tipu daya sehingga ke hari Kiamat agar mereka turut yang terlepas dari rahmat Allah.
Justeru, cara berkesan dilakukan melalui menyemarakkan api kemarahan dalam diri manusia. Untuk mengelak diri dikuasai syaitan, elaklah sifat marah. Jika timbul kemarahan bersegeralah memadamkannya dengan kemaafan. Menahan marah daripada merebak membuktikan kekuatan iman dan sabar. Sabda Rasulullah bermaksud:
"Sabar itu separuh daripada iman."
Kejayaan menahan sabar adalah kekuatan iman sejati. Mukmin sejati menahan diri daripada melakukan apa juga yang ditegah oleh Allah. Kekuatan menahan sabar satu kebajikan yang pastinya ada balasan baik. Firman-Nya:
Maka siapa yang suka memaafkan dan membuat kebaikan, pahalanya ada pada Tuhan. - (as-Syura: 40).
Mengelak melakukan keburukan pastinya satu kebajikan. Kejayaan itu ada balasannya. Firman-Nya:
Dan kami berikan orang yang sabar itu sebaik-baik balasan terhadap apa yang mereka kerjakan.(an-Nahl:96).
Banyak amalan untuk mengawal perasaan marah. Amalan paling berkesan dengan mendampingi diri dengan Allah. Hampirkan diri sujud kepada Allah melakukan apa yang disuruh dan menjauhi apa ditegah. Sekiranya berdepan apa yang ditegah, termasuk perasaan marah, segera bermohon keampunan daripada-Nya.
Amalkan selalu mengucap `astagfirullah halazim' bermaksud `aku bermohon ampun daripada-Mu Allah'. Mereka hampir dengan Allah, maka syaitan sukar untuk menghampiri. Firman-Nya bermaksud:
Dan orang yang jika mereka mengerjakan perbuatan keji, ataupun menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Tuhan, lalu memohon ampun kepada-Nya terhadap dosa mereka. Siapa lagi akan mengampuni dosa selain Tuhan? Dan mereka tiada mengulangi lagi perbuatan yang buruk itu, sedangkan mereka mengetahui. (Ali Imran: 135).
Untuk mengelak timbul perasaan marah elakkan diri terbabit dengan keadaan boleh menimbulkannya.
Jika diketahui kelemahan diri tidak dapat menahan kemarahan apabila sesuatu berlaku, awal-awal lagi tidak membabitkan diri dalam keadaan itu. Amalan itu lama kelamaan akan membentuk kekuatan diri menahan marah jikapun berdepan dengannya. Mengelak perasaan marah merebak dapat dilakukan jika segera meninggalkan keadaan itu.
Sekiranya berasa marah kepada seseorang, lakukan seketika dan kemudian terus beredar daripadanya. Cara demikian umpama memberi teguran yang dapat mendatangkan kebaikan. Orang yang dimarah itu dapat memikirkan kesalahan yang telah dilakukan.
Perasaan marah juga dapat dikawal dengan tidak bertindak balas dengan keadaan. Sikap berdiam diri dan menerima apa yang berlaku dapat mengawal perasaan marah. Suasana ini terutama membabitkan dua pihak yang sama-sama marah. Sabda Rasulullah bermaksud:
Jika diketahui kelemahan diri tidak dapat menahan kemarahan apabila sesuatu berlaku, awal-awal lagi tidak membabitkan diri dalam keadaan itu. Amalan itu lama kelamaan akan membentuk kekuatan diri menahan marah jikapun berdepan dengannya. Mengelak perasaan marah merebak dapat dilakukan jika segera meninggalkan keadaan itu.
Sekiranya berasa marah kepada seseorang, lakukan seketika dan kemudian terus beredar daripadanya. Cara demikian umpama memberi teguran yang dapat mendatangkan kebaikan. Orang yang dimarah itu dapat memikirkan kesalahan yang telah dilakukan.
Perasaan marah juga dapat dikawal dengan tidak bertindak balas dengan keadaan. Sikap berdiam diri dan menerima apa yang berlaku dapat mengawal perasaan marah. Suasana ini terutama membabitkan dua pihak yang sama-sama marah. Sabda Rasulullah bermaksud:
"Apabila seseorang di antara kamu berasa marah, hendaklah dia berdiam (daripada bercakap dan bertindak)." - Riwayat Ahmad.
Mungkin orang menganggap perbuatan seumpama itu dayus atau penakut. Allah mengetahui apa yang tersimpan di dalam hati. Niat yang baik dipermudahkan kejayaannya. Mengelak sesuatu kecelakaan dan keburukan di dunia akan menghindarkan azab di akhirat.
Apa perlu difikirkan kata orang. Janji dan pengiktirfan daripada Rasulullah itu lebih tepat. Rasulullah meletakkan taraf orang berjaya menahan perasaan marah sebagai paling berani dan kuat.
Sabda Rasulullah bermaksud:
"Orang yang paling kuat antara kamu ialah orang yang dapat mengalahkan nafsunya ketika marah. Dan orang paling menyantun pula ialah orang yang memberi kemaafan sedangkan dia berkuasa untuk membalasnya."
Membalas dendam dan membuat sesuatu mendatangkan kemarahan pihak lain akan menambahkan kekusutan dan permasalahan. Menang jadi arang, kalah jadi abu. Jalan yang mudah ialah kembali kepada kehendak Allah. Firman-Nya dalam surah Ali-Imran ayat 133-134 bermaksud:
Bersegeralah memohon keampunan kepada Tuhan kamu dan (memohon) syurga yang luas meliputi langit dan bumi yang disediakan bagi orang bertakwa, iaitu mereka yang membelanjakan hartanya dalam keadaan senang dan susah dan mereka menahan kemarahan dan memaafkan kesalahan orang, dan Allah amat mencintai orang yang berbuat demikian.
Justeru orang mukmin sejati bukan saja penyabar, tetapi juga bukan pendendam. Amalan memaafkan segera kesalahan orang lain membentuk hati yang senang dan tenteram. Tidak timbul rasa keluh dan marah yang menyakitkan hati. Bahkah dirasakan seperti dalam dirinya tidak pernah marah dan tiada orang lain mendatangkan kemarahan kepadanya.
Jika sifat mudah memaafkan diamalkan, Insya-Allah kita juga tidak akan menanggung kemarahan daripada orang lain. Sesungguhnya Allah terlebih awal memberi keampunan dengan rahmatnya. Firman-Nya bermaksud:
Janganlah sampai bersumpah-sumpah, orang yang mempunyai kelebihan dan kekayaan di antara kamu, bahawa mereka tidak akan memberi lagi kepada kaum kerabat, orang miskin dan orang yang berhijrah pada jalan Allah. Tetapi hendaklah mereka memberi keampunan dan berlapang dada. Tidakkah kamu mahu jika Allah mahu memberi keampunan kepada kamu sekalian. - (an-Nur: 22)
Sesungguhnya, perasaan marah berterusan biasanya diikuti dengan perasaan buruk sangka. Perasaan itu akan terus mencetuskan sifat buruk lain sehingga menimbulkan fitnah dan bohong. Segala perbuatan itu tercela.
Firman Allah bermaksud:
Wahai orang beriman, jauhkan sangkaan buruk, kerana sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa.
Membuat fitnah pula lebih bahaya daripada membunuh, manakala berbohong sebahagian sikap munafik. Jelaslah, mengapa perlu terus menyimpan perasaan marah. Sabda Rasulullah bermaksud:
"Orang mukmin itu bukanlah seorang pendendam."
Sesiapa tersimpan dalam dirinya perasaan dendam, maka itu tanda kecacatan imannya.
No comments: