10 September 2012

Siapakah Syiah?


Dalam artikel saya kali ini, saya ingin memberikan serba sedikit info mengenai fahaman Syiah, yang telah berjaya membentuk sebuah negara iaitu di Iran dan merangkumi 60% daripada penduduk Iraq. Sesungguhnya fahaman dan dakwah Syiah ini adalah suatu yang berbahaya dan perlu dipandang serius oleh semua pihak.

Golongan Syiah ini telah berpecah kepada beberapa kelompok. Antara kelompok terbesar ialah  Syiah Ja’fariyah/Imamiyah/Rafidhah (Imam Dua Belas), Syiah Zaidiyah dan Syiah Ismailiyyah. Di Malaysia, muzakarah Jawatankuasa Fatwa yang telah bersidang pada 3 Mei 1996 telah menyatakan pengharaman kepada segala penerbitan, penyebaran atau sebagainya yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. 


SIAPAKAH SYIAH?

Gelaran Syiah lazimnya ditujukan kepada setiap orang yang setia (wala’) kepada ‘Ali bin Abi Thalib dan Ahl al-Baitnya radhiallahu ‘anhum, sehingga ia menjadi nama gelaran yang khusus bagi mereka. (al-Fairuzabadi – al-Qamus al-Muhith, ms. 735, seperti yang dikemukakan oleh Hafiz Firdaus dalam bukunya ‘Jawapan Ahlu Sunnah kepada Syiah Rafidhah dalam persoalan Khalifah’)

Namun begitu, Syiah yang benar-benar kita (Ahlu Sunnah Wal Jamaah) tolak ialah Syiah Rafidah. Iaitu golongan yang menolak kekhalifahan dan keutamaan Abu Bakar, ‘Umar dan ‘Utsman. Mereka juga menolak para imam daripada keturunan Ahl al-Bait Rasulullah kerana mereka (para imam daripada keturunan Ahlu Bait) juga mengiktiraf kekhalifahan Abu Bakar, ‘Umar dan ‘Utsman serta mengutamakan mereka bertiga di atas ‘Ali bin Abi Thalib.


MENGAPA KITA MENOLAK SYIAH RAFIDHAH DAN IMAM DUA BELAS?

Mengapa kita menolak Syiaf Rafidhah? Jawapannya, kerana Saidina Ali sendiri menolak mereka dan Nabi Muhammad juga telah mengingatkan kita tentang golongan ini. Perkara ini dijelaskan oleh Rasulullah dalam sebuah hadith yang direkodkan oleh Imam Ahmad dari Saidina Ali bin Abi Thalib, “Akan muncul di umatku di akhir zaman nanti satu kaum yang bernama Rafidhah, mereka menolak Islam.”

Bukan itu sahaja, mereka sendiri telah mengaku bahawa mereka menolak untuk beriman kepada Allah dan Rasul. Sepertimana yang dikatakan sendiri oleh ulama mereka iaitu, Nikmatullahi al-Jazairi dalam bukunya al-Anwar Nukmaniyah, “Sesungguhnya kami tidak akan pernah sepakat dengan mereka (Ahlu Sunnah Wal Jamaah) tentang Allah, Nabi dan Imam. Disebabkan mereka mengatakan: 

“Tuhan kami adalah yang Nabinya Muhammad dan khalifah setelahnya Abu Bakar, dan kami Rafidhah tidak beriman pada tuhan itu dan Nabi yang tadi, kerana Rabb yang Nabinya Muhammad dan Khalifah setelahnya adalah Abu Bakar bukanlah tuhan kami.” (Dr Abdul Rahim Ballouchiy)

Mengenai Imam Dua Belas, ianya bermula dengan Imam Ali bin Abi Thalib sehingga Imam Abu Qasim Muhammad bin al-Hassan yang dikenali sebagai Imam Mahdi di kalangan Syiah.

1 ‘Ali bin Abi Talib r.a. (23 sebelum Hijrah-40H). Mereka memanggilnya sebagai ‘al-Murtada.
2 Al-Hasan bin ‘Ali r.ahuma. (2H-50H). Mereka menggelarnya al-Mujtaba.
3 Al-Husain bin ‘Ali r.ahuma (3H-61H). Mereka menggelarnya al-Syahid atau juga Sayyid al-Syuhada (penghulu para syuhada.
4 ‘Ali Zain al-‘Abidin bin al-Husain (38H-95H). Dipanggil al-Sajjad.
5 Muhammad bin ‘Ali (57H-114H). Dipanggil al-Baqir.
6 Ja’far bin Muhammad (83H-148H). Dipanggil al-Sadiq..
7 Musa bin Ja’far (128H-183H). Dipanggil al-Kazim.
8 ‘Ali bin Musa (148H-203H). Dipanggil al-Rida.
9 Muhammad bin ‘Ali (195H-220H). Dipanggil al-Jawwad.
10 ‘Ali bin Muhammad (212H-254H). Dipanggil al-Hadi. .
11 Al-Hasan bin ‘Ali, (332H-360H). Dipanggil al-‘Askari..
12 Muhammad ibn al-Hasan48 (256H- ) Mereka menganggapnya sebagai al-Mahdi atau mereka mereka memanggil juga al-Mahdi al-Qaim bi al-Hujjah. Dia sebenarnya meninggal semasa kecil ketika berumur 5 tahun pada tahun 261H, namun mereka menganggap hilang bersembunyi dan akan muncul semula sebagai al-Mahdi yang dijanjikan.

Ahlu Sunnah Wal Jamaah tidak pernah menafikan kewujudan dua belas insan mulia tersebut. Tetapi yang membuatkan Ahlu Sunnah berhati-hati ialah, apabila mereka memaksumkan 12 (sepatutnya 11, saya akan terangkan kemudian) imam tersebut, dan membuat Dua Belas insan tersebut sebagai teori Ahlu Bait mereka. Ali bin Husain bin Ali iaitu cucu Saidina Ali serta keturunannya dengan tegas menolak pengiktirafan Imam oleh golongan Syiah. Ali bin Husain dan keturunannya beritikad bahawa sistem Khalifah bercirikan warisan, maksum, dan penentu syariat agama tidak pernah ditetapkan oleh Allah dan Rasul. Disamping itu, mereka menjelaskan bahawa Saidina Umar, Abu Bakar dan Uthman adalah Khalifah yang sah, dan mereka bertiga memiliki keutamaan dan kemuliaan melebihi semua orang manakala mereka, (Ali bin Husain dan keturunannya) hanyalah manusia biasa.



TEORI IMAM DUA BELAS

Benar-benar wujudkah Imam Dua Belas ini? Jawapannya tidak wujud. Kerana teori Imam Dua Belas ini hanyalah dicipta oleh kelompok Syiah sendiri. Insan-insan yang yang diletak oleh golongan Syiah ini wujud dan mereka adalah insan yang mulia. Tetapi teori Imamiyah yang mereka cipta itu hanyalah imaginasi mereka sendiri. Perkara ini dinyatakan sendiri oleh mereka dalam satu ‘hadith’ (hadith ini tidak pernah ada dalam kitab-kitab hadith Ahlu Sunnah Wal Jamaah) yang diriwayatkan dari Al-Kulaini dalam Al-Kaafi (2/18) dari Zurarah dari Abu Ja’far, dia berkata: 

“Islam dibangun di atas lima perkara:… shalat, zakat, haji, shaum dan wilayah (imamah)…” Zurarah berkata: “Aku katakan, mana yang paling utama?” Dia berkata: “Yang paling utama adalah wilayah.” (Rujuk Badzlul Majhud, 1/174).

Mereka memasukkan Saidina Ali, Hassan dan Husin sebagai penguat kepada teori mereka. Sedangkan selepas kewafatan Hassan bin Ali menurut sumber mereka sendiri bahawa syiah itu sendiri telah berpecah kepada 14 hingga 20 kumpulan (Rujuk Kajian Moojan Momen dalam bukunya ‘An Introduction to Shi’i Islam: Sumber sekunder Hafiz Firdaus). Kalau benar sekalipun, keturunan Ali bin Husain telah terhenti sehingga kepada Hassan bin Ali bin Muhammad bin Ja’afar al-Askari. Ini disebabkan Al-askari tidak mempunyai anak.

Kerana terdesak untuk melengkapkan teori Imam Dua Belas. Golongan Syiah ini telah membuat satu teori tambahan dengan mewujudkan seorang lagi imam yang dikenali sebagai Imam Mahdi dengan meminjam iktikad Ahlu Sunnah Wal Jamaah terhadap Imam Mahdi untuk melengkap Dua Belas Imam. Selain itu, untuk menambahkan lagi keunikan teori ini, mereka mengatakan bahawa Imam Mahdi ini ghaib dan akan muncul satu hari nanti.

Teori Imam Dua Belas ini diperkuatkan lagi dengan memaksumkan kesemua mereka dari sebarang dosa dan mengetahui perkara-perkara ghaib, persis seperti Nabi Muhammad s.a.w. Hal ini dapat dilihat melalui ungkapan Al-Khumaini (Khomeini), 

“Kami bangga bahawa para imam kami adalah para imam yang maksum, mulai Ali bin Abu Thalib hingga Penyelamat Umat manusia Al-Imam Al-Mahdi, sang penguasa zaman -baginya dan bagi nenek moyangnya beribu-ribu penghormatan dan salam- yang dengan kehendak Allah Yang Maha Kuasa, dia hidup (pada saat ini) seraya mengawasi perkara-perkara yang ada.” (Rujuk Al-Washiyyah Al-Ilahiyyah, hal. 5, dinukil dari Firaq Mu’ashirah, 1/192)

Dakwaan para Dua Belas Imam sama taraf dengan Nabi juga boleh dilihat dari ungkapan Muhammad Ridha al-Mudzaffar, 

“Kami (Syi‘ah) percaya bahawa al-Imamah, seperti kenabian, tidak dapat wujud kecuali dengan nas Allah Subhanahu wa Ta'ala melalui lisan Rasul-Nya shallallahu 'alaihi wasallam atau lisan Imam rahimahullah yang diangkat dengan nas apabila dia akan menyampaikan dengan nas imam yang bertugas sesudahnya. Hukum (sifatnya) ketika itu sama dengan kenabian tanpa perbezaan. Oleh kerana itu manusia tidak memiliki wewenang menyangkut siapa yang ditetapkan Allah sebagai pemberi petunjuk dan pembimbing bagi seluruh manusia, sebagaimana mereka (manusia) tidak mempunyai hak untuk menetapkan, mencalonkan atau memilihnya. (Rujuk Al-Aqaid Imamiyah yang dikemukakan oleh Hafiz Firdaus dalam kertas kerjanya ‘Bahaya Syiah kepada Umat Islam’)




APA TINDAKAN KITA SELEPAS MENGETAHUI?

setelah mengetahui serba sedikit mengenai Syiah, kita perlu lebih berhati-hati dalam kehidupan kita kerana dalam kehidupan ini, akan sentiasa terdedah dengan perkara yang boleh menjejaskan akidah kita kepada Allah SWT. Kita perlulah lebih peka kepada isu-isu seperti ini dan lebih mempelajari ilmu pengetahuan, bukan sahaja dalam soal ibadah, atau lain-lain, malah yang lebih penting ialah soal akidah.

Bagi pihak berwajib pula, haruslah menggunakan kuasa yang ada untuk membenteras aktiviti ini. Seharusnya Fatwa yang dikeluarkan oleh Jakim bahawa Syiah ini sesat, dijadikan panduan dan ‘lampu hijau’ untuk melakukan tindakan terhadap setiap aktiviti yang mengundang kepada kerosakan akidah kita sebagai umat Islam. Moga Allah memberi jalan dan petunjuk kepada pihak yang bertanggungjawab.

Artikel ini telah diolah semula oleh penulis dari beberapa sumber, jika terdapat kesilapan dalam memberikan fakta, minta diperbetulkan. Terima kasih.

Sumber:
http://www.islam.gov.my/e-rujukan/syiah.html
http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/membendung-pengaruh-syiah-di-malaysia-1
http://www.yussamir.com/2009/02/diari-islam-ada-agenda-syiah.html



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Copyright© All Rights Reserved Pensil-tekan.blogspot.com