29 February 2012

Sukarnya Meminta Dan Memberi Maaf

Manusia, tidak kiralah kecil mahupun besar, tua atau muda, kaya atau miskin, selagi mana dia digelar manusia, maka selagi itulah tidak akan terlepas dari membuat kesalahan. Kadang kala kesalahan tersebut bukanlah sesuatu yang kesalahan yang besar, namun ia tetap dilihat sebagai kesalahan. Jika manusia itu sentiasa baik, tidak melakukan kesalahan atau kesilapan yang membawa kepada dosa, maka itu bukanlah yang dinamakan manusia, melainkan para nabi dan rasul Allah yang terpelihara dari melakukan dosa-dosa kepada Allah SWT.

Gambar Hiasan
Setiap kesalahan kita kepada Allah dengan berbuat dosa, kita boleh menghapuskan dengan segera bertaubat sebenar-benar taubat kepada-Nya. Namun, jika kita berbuat salah kepada sesama manusia, tiada yang lain dapat menghapuskan dosa tersebut, melainkan dengan memohon kemaafan kepada manusia yang kita berbuat dosa.


BERAT MEMBERI MAAF KERANA BERAT MEMINTA MAAF?

Ucapan kemaafan dan keampunan yang dipinta, yang diharapkan selalunya hampa. Ditambah pula dengan sukarnya kita untuk mengucapkan kemaafan atas kesalahan tersebut. Maka, adillah jika sukarnya orang lain untuk sukar memaafkan kesalahan kita. Si anak yang berbuat salah kepada orang tuanya, lebih sukar mengucapkan rasa maaf apabila berbuat salah. Berbeza dengan untuk meminta wang dari mereka. Begitu mudah dan lancarnya perkataan ‘minta duit’ itu dilafazkan.

“Cikgu, saya minta maaf, saya lupa nak siapkan kerja sekolah yang cikgu bagi”. Adakah selalu kita dengar ucapan sebegini? “Tu la, cikgu yang bagi kerja sekolah banyak sangat, ingat kerja cikgu saja ke yang saya kena buat, banyak lagi kerja lain yang kena setel!!”, atau ini jawapan yang selalu diterima? Itulah hakikatnya. Kenapa terlalu sukar untuk melafazkan ucapan, ‘maaf’?

Tidak hairanlah, kenapa sukar untuk memaafkan, kerana sukarnya juga untuk meminta maaf.



TAK JATUH SAHAM BILA MINTA MAAF

Sesetengah antara kita yang menganggap, bila meminta maaf, terus jatuh ‘standard’, terus jatuh saham. Ada yang lain merasakan, tak patut kita minta maaf kerana dia muda dari kita, dia lebih miskin dari kita. Namun, percayalah, jika kita dengan mudahnya mengucapkan, “saya mintak maaf”, “mak ayah, adik mintak maaf”,  maruah kita akan jatuh, merudum! Padahal, itulah ucapan yang lebih indah dari ucapan lain apabila kita bersalah. Dan ada kajian yang mengatakan, dengan meminta maaf, akan dapat mengurangkan stress seseorang.

Rajin-rajinkan lah meminta maaf apabila berlaku salah dan belajarlah memberi maaf bila diminta memberi maaf.

Sumber: Google Search



“SAYA MAAFKAN KAMU”

Allah SWT berfirman dalam surah al-A’raf ayat 199 yang bermaksud,

“Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta berpalinglah daripada orang yang bodoh.”

Jelas, Allah SWT menyeru kita agar menjadi seorang yang pemaaf. Dengan memberikan kemaafan kepada orang lain, sebelum tidur, maafkan kesalahan orang kepada kita, ingat kesalahan kita pada orang lain, insyaAllah, jiwa kita akan semakin tenang. Lihatlah kisah Rasulullah SAW dalam pembukaan kota Mekah yang terkenal dalam sirah. Rasulullah dengan ringan hati memaafkan kesalahan orang-orang Mekah yang pernah menentang Baginda dengan begitu hebat pada ketika itu.

Begitu juga dalam firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 263 bermaksud,

“Pemberian yang baik dan pemberian maaf adalah lebih baik daripada sedekah yang diiringi dengan sesuatu yang menyakitkan (perasaan si penerima). Allah Maha Kaya Lagi Maha Penyantun.”



INGIN JADI MULIA?

Marilah kita mengamalkan amalan memberi maaf. Bukan sukar, tapi ini bergantung kepada diri kita sendiri. Jom tambah semangat untuk mudah memberi maaf. Mari lihat pada hadis Nabi SAW yang bermaksud,

“Tidak akan berkurang sedekah akan harta, tidak akan bertambah atas seorang hamba dengan sebab memberi kemaafan melainkan bertambah kemuliaan dan tidak akan tawaduk seseorang terhadap Allah melainkan Allah akan mengangkat darjatnya.” – Riwayat Muslim.

Betapa besarnya kemuliaan yang diberikan dan betapa tingginya darjat seseorang yang memberikan kemaafan kepada orang lain, sehinggakan Rasulullah menyatakan secara pakej, kelebihan orang yang memberikan kemaafan kepada orang lain. Alangkah beruntungnya seseorang yang memiliki sifat kemaafan sebegini. Alangkah mudahnya hubungannya dengan manusia bila mudah memberi maaf, ditambah mudahnya hubungannya dengan Allah SWT, Tuhan Pencipta Alam.

Gambar Hiasan

Jadi, memohon maaf dan memberi maaf, adalah bukan mengikut musim, bukan mengikut mood, bukan mengikut waktu, malah ia perlu dijadikan tradisi seharian sebagai Muslim sejati. Taburkanlah kemaafan pada setiap waktu, setiap masa, sebelum lelapnya mata, buat sesiapa jua, walaupun dia tidak pernah mengundang kemaafan dari kita.



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Copyright© All Rights Reserved Pensil-tekan.blogspot.com