17 August 2012

Adab-Adab Di Hari Raya


Kita merayakan Aidilfitri dengan penuh kegembiraan selepas sebulan berpuasa. Kegembiraan yang kita kecapi ini harus dimulakan dengan adab-adab seperti yang disunatkan oleh Rasulullah SAW.


   Membersihkan Diri

Langkah untuk memastikan kita berada dalam keadaan bersih dan kemas pada pagi hari raya ialah dengan melakukan amalan sunat seperti memperkemaskan misai, janggut, bulu ari-ari, memotong kuku dan bersugi. Disunatkan juga mandi pada pagi hari raya sebagaimana mandi wajib, iaitu sebelum berangkat untuk solat Aidilfitri.

Ali bin Abi Talib ra pernah ditanya mengenai mandi, adakah diharuskan mandi setiap hari? Beliau menjawab, “Tidak harus melakukannya. Namun, mandi yang diharuskan ialah mandi pada hari Jumaat, hari Arafah, hari Aidiladha dan Aidilfitri.” (Riwayat al-Dailami).

   Bertakbir

Bertakbir pada 1 Syawal bersempena Aidilfitri merupakan suatu amalan yang disyariatkan. Takbir pada hari Aidilfitri bermula ketika terlihatnya hilal (anak bulan) dan berakhir setelah selesainya kemuncak hari raya, iaitu ketika imam selesai berkhutbah.

Allah SWT berfirman maksudnya,
“Dan juga supaya kamu mencukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur”. (Surah al-Baqarah: 185)

   Berwangi-wangian Dan Memakai Pakaian Yang Elok

Berpakaian cantik ialah sunnah pada hari ini. Tidak semestinya pakaian yang baru tetapi jika berkemampuan adalah lebih baik. 

Walaupun demikian, perlulah mengikut kemampuan dan tiada pembaziran dibenarkan. Semoga pagi hari raya kita akan memilih pakaian yang terbaik serta paling mahal mengikut kemampuan masing-masing menuju ke tempat solat hari raya. Disunatkan juga bagi kaum lelaki memakai wangi-wangian.


   Makan Sebelum Solat Aidilfitri

Mengikut apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW sebagaimana yang diriwayatkan daripada Anas ra, beliau berkata:
“Nabi SAW tidak keluar pada waktu pagi hari raya fitrah sehingga Baginda makan (terlebih dahulu) beberapa biji tamar dan Baginda memakannya dalam bilangan ganjil.” (Riwayat al-Bukhari dan Ahmad)


   Solat Sunat Aidilfitri Dan Mendengar Khutbah

Daripada al-Barra’ bin Azid bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,
“Sesungguhnya yang awal-awal sekali kita mulakan pada hari ini (hari raya) ialah solat.” (Riwayat al-Bukhari)


   Ucapan Tahniah Dan Saling Mendoakan

Sunat saling mendoakan dan mengucapkan tahniah antara satu sama lain. Kita boleh menggunakan apa-apa jua kalimah, asalkan ia mempunyai maksud yang sama. Bagaimanapun, kalimah yang digunakan pada zaman Baginda SAW adalah seperti yang disebutkan dalam sebuah hadis.

Berkata Wathilah, “Aku bertemu Rasulullah SAW pada hari raya dan aku katakana kepada Baginda, “Semoga Allah menerima daripada kami dan daripada kamu,” lalu Baginda menjawab, “Ya”. (Riwayat al-Baihaqi)


   Pergi dan Pulang Dari Masjid Melalui Jalan Berbeza

Disunatkan berjalan kaki menuju ke masjid untuk menunaikan solat sunat hari raya. Namun begitu, bagi sesiapa yang perlu menggunakan kenderaan kerana tempat solat terlalu jauh, ia dibolehkan dalam syarak.
Disunatkan juga mengikut jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali daripada mengerjakan solat sunat hari raya.
Jabir bin Abdullah ra berkata, “Nabi SAW melalui jalan yang berbeza pada hari raya.” (Riwayat al-Bukhari)


   Ziarah-Menziarahi

Amalan ziarah-menziarahi ini adalah bertepatan dengan suruhan agama Islam. Pada asasnya, hari raya ialah hari untuk bergembira, bermaaf-maafan dan hari untuk mengeratkan silaturrahim dalam kalangan umat Islam di samping meraikan kejayaan beribadah kepada Allah pada Ramadhan yang lalu.

Daripada Anas bin Malik, katanya “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, ‘Sesiapa yang ingin usianya dipanjangkan, maka hendaklah dia menghubungkan silaturrahim’”. (Riwayat Muslim)


Kita harus menjaga adab-adab menyambut hari raya supaya tidak merosakkan amalan kita sepanjang Ramadhan. Jauhi sambutan dengan melakukan perkara maksiat, hiburan melampau, pergaulan bebas, perbelanjaan yang membazir dan sebagainya. Penuhilah sambutan hari raya dengan penuh ketaqwaan dan aktiviti yang berunsurkan syariat.



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Copyright© All Rights Reserved Pensil-tekan.blogspot.com